Minggu lepas saya menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di daerah Petaling Jaya. Namun apa yang amat mengecewakan ialah khutbah yang disampaikan begitu lantang menghentam usaha pelbagai pihak untuk menyatukan kuasa politik umat Islam di Malaysia. Fikirkan, perkara baik seperti bersatu-padu pun boleh diputar belit menjadi sesuatu yang negatif.
Khatib yang amat jelas menyokong parti Pas seterusnya telah memekikkan hujah-hujah mengapa umat Islam perlu bersatu di bawah naungan Islam, bukannya atas nama bangsa. Apa agaknya masalah khatib untuk bersatu dengan ahli-ahli parti lain yang rata-ratanya orang Islam? Adakah beliau menganggap perjuangan parti politik yang dilabel 'Islam' lebih tulen berbanding parti lain yang membuat keputusan untuk tidak mengeksploitasi label yang sama?
Malah, khatib tersebut turut sempat menghentam kempen Islam Hadhari yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Saya secara peribadi turut berpendapat bahawa Islam tidak perlu kepada label. Namun mana satu antara 10 prinsip-prinsip Islam Hadhari yang salah atau sesat? Jika khatib menganggap bahawa label yang dibawa dalam kempen Islam Hadhari salah, maka mengapa pula label Parti Islam Se-Malaysia betul? Tidak mungkin orang lain semuanya salah, dan Pas adalah maksum.
Namun setuju atau tidak, inilah hakikatnya suasana masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008, penuh dengan kebencian.
Hendak solat berjemaah, disuruh membenci. Hendak solat Jumaat, diajar membenci. Apakah nanti bulan Ramadan, hendak solat tarawih pun akan ada penceramah Pas yang mengapi-apikan kebencian di kalangan para jemaah? Sudah tentu.
Dahulu, masjid dan surau ialah tempat yang aman, menenangkan fikiran. Ahli-ahli jemaah mesra dan mudah melemparkan senyuman. Kuliah-kuliah agama sedaya upaya difokuskan kepada matlamat penyampaian ilmu.
Namun kini, masjid-masjid tidak ubah seperti premis hiburan di mana lelaki-lelaki berkopiah bergosip, para penceramah menyeringai dan ceramah mereka sentiasa sarat dengan satu tema seragam sahaja: Benci, benci dan benci. Tiada apa yang konstruktif. Jika dakwah Islam sarat dengan tema sebegini, saya tidak fikir ia akan mudah diterima.
Pas seolah-olah menguatkuasakan 'fatwa' baru sebagai syarat untuk melangkah masuk ke rumah Allah Taala iaitu jadi ahli Pas dahulu. Apakah seseorang Islam perlu mengisi borang keahlian Pas, membayar 'yuran' Kohilal, membaca 'kitab' Harakah dan menyumpah seranah parti lawan, maka baru beliau diakui telah menyempurnakan rukun-rukun Islam? 'Islam simbol' seperti ini nyata bukan Islam yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah SAW.
Firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab, ayat 21: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.
Sifat mulia Rasulullah SAW jelas kelihatan ketika memaafkan tindakan para penduduk kota Taif yang membaling batu kepada Baginda sehingga parah, walaupun ditawar sebaik-baik peluang untuk bertindak balas oleh malaikat Jibrail yang ingin membenam Mekah antara gunung-gunung al-Akhshabain.
Inilah sebaik-baik contoh akhlak Rasulullah SAW yang patut dijunjung oleh sebuah parti yang mengaku Islam, melebihi kata-kata mana-mana ulama yang mengharuskan carut-mencarut dan kata-kata yang kasar.
Ramadan bakal beberapa hari lagi dan seluruh umat Islam di negara ini menunggu-nunggu ketibaan bulan yang diberkati. Kita hanya manusia biasa yang tidak mampu meramalkan berapa kali lagikah nikmat Ramadan yang kita akan kecapi dalam usia yang singkat ini.
Alangkah malangnya jika peluang yang dibawa Ramadan dipersia-sia oleh para penceramah Pas yang cuma mahu melampiaskan nafsu amarah dan mengumpat.
Mereka yang mengaku berilmu sepatutnya lebih mengetahui dan menghayati firman Allah Taala dalam surah al-Hujuraat, ayat 11: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.
Andak Jauhar
Kota Damansara, Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment