Friday, April 27, 2012

tolong orang kampung

ARKIB : 26/04/2012

Farid tekad ubah hidup orang kampung

Muhammad Farid Saad (lima dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil masyarakat di Pulau Betong, baru-baru ini. - UTUSAN/ismail kamadin
BALIK PULAU 25 April - Apabila menyebut tentang Balik Pulau, penulis teringat sindiran orang tua dulu-dulu, "di sana terpelau, di sini terlepas".
Walaupun ia satu sindiran lama tetapi ia kini dilihat semakin nyata sejak kerajaan DAP Pulau Pinang mentadbir selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.
Ini membuatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang bersikap endah tidak endah terhadap pembangunan di Balik Pulau khususnya di kawasan yang diwakilinya.
Katanya, terdapat ramai lagi keluarga berpendapatan rendah dan miskin khususnya warga emas yang memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri.
Pemberian RM100 yang cukup dibangga-banggakan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak berupaya membantu memandangkan tiada sebarang dasar atau projek lain diperkenalkan untuk memperbaiki kehidupan golongan terbabit.
"Dengan pendapatan kurang daripada RM1,000 ditambah dengan tanggungan beberapa orang anak, nilai RM100 tidak cukup.
"Akibatnya, masalah sosial seperti penceraian melonjak tinggi dan jumlah bilangan ibu tunggal juga bertambah. Ia berpunca daripada kemiskinan tetapi masalah tersebut tidak diambil serius.
"Pada masa sama, isu tanah dan pembangunan infrastruktur di sekitar Balik Pulau juga semakin banyak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, kewujudan masalah-masalah di Balik Pulau bukan lagi melibatkan orang Melayu, malah kaum Cina juga berasa berang dengan keadaan itu.
Menurutnya, pernah berlaku masyarakat Cina membunyikan hon kenderaan dengan kuat sebagai tanda protes semasa pembangkang mengadakan ceramah di kawasan itu baru-baru ini.
Muhammad Farid yang menjadi ADUN Pulau Betong selama dua penggal berkata, beliau bertekad untuk membantu menaik taraf kualiti kehidupan penduduk di kawasan itu sejak pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat pada 2004.
Oleh itu, jelasnya, beliau mengutamakan kebajikan penduduk terutama pembangunan pendidikan di kerana ia merupakan salah satu cara bagi membantu penduduk berpendapatan rendah dan miskin untuk melepaskan diri daripada kancah kemiskinan seterusnya berupaya menjadikan kehidupan mereka lebih selesa.
Beliau menjelaskan, bantuan kewangan hanya merupakan strategi jangka masa pendek untuk membantu mereka melalui kesukaran pada masa depan.
Malahan ia tidak menjanjikan penyelesaian muktamad kepada masalah kemiskinan, sebaliknya pendidikan merupakan satu aset yang boleh mengubah kehidupan seseorang.
Maka pada 2004, beliau membuat kajian sendiri dan mendapati kebanyakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus menjadi pekerja kilang tanpa mengikuti kursus kemahiran terlebih dahulu sedangkan perkara itu amat penting.
"Ini adalah puncanya mereka berpendapatan rendah dan berkeadaan miskin kerana tiada kemahiran atau sijil," ujarnya.
Berikutan itu, beliau telah memperjuangkan hak penduduk di kawasannya dengan memohon penubuhan sekolah, kolej dan universiti.
Selain itu, beliau juga memastikan murid yang mempunyai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dapat memasuki sekolah berasrama penuh dan pelajar lepasan SPM pula boleh meneruskan pengajian mereka ke universiti atau kolej.
"Bagaimanapun, terdapat juga pelajar yang agak lemah dalam keputusan SPM mereka tetapi ia tidak bermakna mereka dipinggirkan oleh masyarakat kerana saya percaya semua orang layak mendapat peluang lain untuk berjaya dalam hidup mereka dengan sedikit pertolongan.
"Maka, matlamat saya sekarang adalah mahu memastikan kira-kira 400 pelajar lepasan SPM setiap tahun dapat melanjutkan pengajian dan sekurang-kurangnya mendapat sijil sebelum bekerja. Kita akan memberikan sebarang bantuan untuk menolong mereka," katanya.
Menerusi pembinaan sekolah baru iaitu Sekolah Menegah Kebangsaan Pondok Upeh dan menaik taraf Sekolah Vokasional Balik Pulau, hasrat tersebut diharapkannya mampu dicapai.
"Selain itu, Politeknik Balik Pulau yang bernilai RM98.8 juta juga sedang dibina dan ia akan siap pada September 2013, manakala kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) sudah pun beroperasi selama dua tahun di Kompleks Balik Pulau," ujarnya.
Di samping itu, Muhammad Farid berkata, beliau juga membincang dengan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi supaya dapat menubuhkan sebuah kampus yang akan menyasarkan kepada golongan suri rumah agar mereka dapat meningkatkan pengetahuan.
"Sekiranya saya diberikan peluang menjadi wakil rakyat sekali lagi, saya mahu memastikan tiada lagi pelajar lepasan SPM menjadi pekerja tidak berkemahiran dan pembangunan Balik Pulau lebih terserlah pada 10 tahun akan datang," katanya mengakhiri temu ramah.

No comments:

Post a Comment