Senator: Tarik balik PTPTN pelajar tidak berprestasi
26 April 2012
Senator Chiew Lian Keng berkata ini bagi memastikan supaya pelajar yang mendapatkan bantuan PTPTN sentiasa memberi perhatian dalam pelajaran mereka dan seterusnya mengelakkan mereka daripada tercicir dalam pengajian.
"Saya merasakan baik kita tarik balik ataupun menghentikan sahaja pinjaman PTPTN kepada pelajar yang gagal mencapai keputusan baik dalam peperiksaan di universiti," katanya pada sesi perbahasan persidangan Dewan Negara.
Katanya pada masa yang sama, sebagai penggalak untuk pelajar, pinjaman PTPTN mereka yang mendapat keputusan cemerlang perlu ditukar sebagai biasiswa.
Sementara itu, Senator Saiful Izham Ramli berkata pelantikan Senator hendaklah dipandang berat kerana terdapat persepsi bahawa Anggota Dewan Negara tidak menpunyai kredibiliti dan pelantikan mereka dipandang remeh oleh orang ramai.
"Jangan perlekehkan integriti kami. Saya berucap bagi mempertahankan institusi Dewan yang mulia ini," katanya.
Bagaimanapun kenyataannya ditegur oleh beberapa Senator lain termasuk Senator Mohammed Najeeb Abdullah yang menyifatkan Saiful Izham mungkin terlalu beremosi ketika membentangkan hujahnya sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Timbalan Speaker, Doris Sophia Brodi juga meminta Saiful Izham untuk menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.
Persidangan Dewan Negara bersambung minggu depan. - Bernama
No comments:
Post a Comment