Bantuan BN tidak pilih kasih
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria berkata, ini membuktikan sikap keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada semua kaum di negeri ini yang layak menerima bantuan.
Beliau berkata, bantuan yang diberi kepada golongan yang tidak berkemampuan itu termasuk meringankan beban golongan ibu tunggal dan miskin serta golongan orang kelainan upaya (OKU).
Katanya, kerajaan BN menyalurkan bantuan tanpa mengira fahaman politik dan tidak mengamalkan pilih kasih seperti yang dibuat oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.
"Kerajaan negeri memberikan bantuan RM100 kepada pengundi yang sokong mereka sahaja.
"Ini satu sikap yang tidak adil dan mereka tidak telus walau melaungkan kerajaan yang bersih dan telus kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan Jasa Prihatin di Sungai Udang dekat sini baru-baru ini.
Seramai 17 orang menerima bantuan wang tunai RM100 dan hamper barangan makanan bernilai RM50.
Menurut Mahmud, bantuan tersebut adalah program kerjasama kerajaan Pusat dan Pusat Khidmat ADUN Sungai Acheh.
"Senarai penerima kita serahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta parti komponen seperti MCA dan Gerakan," ujarnya.
Jelas beliau, setakat ini seramai 150 orang miskin, ibu tunggal dan OKU di DUN Sungai Acheh sudah menerima bantuan berjumlah RM16,000 sejak awal tahun hingga bulan ini.
Mahmud menambah, bagi kes-kes seperti kebajikan dan rumah daif pihaknya akan memanjangkan permohonan mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.
"Ini adalah usaha BN membela nasib rakyat agar rakyat dapat menikmati bantuan yang sewajarnya bagi meringankan beban kehidupan mereka," katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Kang Mok Ling, 50, dari Sungai Udang di sini yang menghidap angin ahmar gembira menerima bantuan tersebut.
"Saya berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana prihatin dengan masalah rakyat," katanya yang menghidap penyakit itu sejak setahun lalu.
Suri rumah, Khor Ah Mooi, 74, pula memberitahu, dia bersyukur kerana BN banyak membantu rakyat yang kurang berkemampuan berbanding kerajaan negeri.
"Saya tidak boleh bekerja dan tinggal dengan anak-anak yang menanggung kehidupan seharian," katanya.
No comments:
Post a Comment