Insiden Dataran Merdeka: Polis nafi dakwaan lambat bertindak
19 April 2012
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, tuduhan itu adalah melulu kerana enam buah MPV peronda polis bersama pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) telah tiba lima minit selepas insiden itu berlaku.
"Malah disebabkan kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, dua detektif polis cedera di bahagian belakang ketika cuba meleraikan pergaduhan.
“Serangan itu dilakukan sekumpulan 30 hingga 40 orang yang berumur lingkungan 20 dan 30-an yang memakai baju hitam," katanya kepada pemberita di sini.
Mohmad berkata, jika benar kedatangan pihak polis lewat, tidak mustahil peserta berkenaan yang berkhemah di Dataran Merdeka sejak Sabtu lepas bagi membantah PTPTN boleh mengalami kecederaan yang lebih serius atau terbunuh.
Beliau berkata, disebabkan ketangkasan pihak polis juga seorang daripada anggota kumpulan penyerang itu berumur 28 tahun dan bekerja sendiri telah ditangkap untuk membantu siasatan dan ditahan reman sehingga 24 April ini.
Mohmad berkata, dalam kejadian itu seorang ahli perniagaan berumur 40 tahun cedera di mata dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, namun polis masih belum dapat mengenal pasti sama ada mangsa adalah penyerang atau peserta.
"Setakat ini polis telah menerima enam laporan daripada pegawai polis, pegawai DBKL serta seorang mangsa yang cedera. Polis masih tidak dapat mengesan punca mereka diserang dan kita akan merakam keterangan mangsa serta lelaki yang ditahan itu untuk siasatan lanjut," katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment