Haram kerjasama dengan Yahudi
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 26 Mac - Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan dilihat bercanggah pendapat dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila secara tegas menyatakan adalah haram untuk berurus niaga dengan Yahudi tanpa mengira fahaman yang mereka anuti termasuk Zionis.
Kenyataan itu dilihat agak mengejutkan ketika Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi baru-baru ini secara terbuka menyatakan adalah tidak salah atau tidak haram untuk orang Islam berurus niaga dengan Yahudi selagi Yahudi tersebut tidak mempunyai agenda jahat.
Menurut Nasrudin, fatwa berkaitan pengharaman menjalin urus niaga dengan Yahudi dikeluarkan oleh beberapa tokoh Islam kerana keseluruhan Yahudi Israel telah melakukan jenayah besar ke atas umat Islam yang berlarutan sehingga ke hari ini.
Menurutnya, sebarang hasil urus niaga yang mengalir ke Israel akan menyumbang kepada kekayaan ekonomi Zionis dan digunakan dalam pembelian serta penciptaan senjata bagi membunuh rakyat Palestin yang berjuang mempertahankan akidah serta tanah air mereka.
Lebih penting, kata beliau, Yahudi mempunyai sentimen permusuhan yang sangat tinggi terhadap para penganut Islam seperti dijelaskan dalam banyak ayat al-Quran.
"Fatwa ini dibina bukan kerana mereka dilahirkan berbangsa Yahudi tetapi disebabkan mereka melakukan satu jenayah besar ke atas umat Islam dan jenayah itu masih berlarutan hingga ke hari ini. Demikian adalah hukum yang berkait dengan muamalah atau urus niaga.
"Justeru tiada pengiktirafan dan persekongkolan dengan Yahudi di atas peta politik dunia hari ini," tegasnya dalam entri tidak bertarikh bertajuk 'Muamalah Dengan Yahudi' di blog Episod Sebuah Perjuangan di http://www.eperjuangan.com.
Berdasarkan carian, entri itu dipercayai ditulis pada 4 Oktober 2009 tetapi persoalannya mengapa Nasrudin kembali menyiarkannya.
Pada 23 Mac lalu, Nik Abdul Aziz menegaskan, kerjasama dan urus niaga dengan golongan berbangsa Yahudi tidak diharamkan dalam Islam selagi mereka tidak mempunyai agenda jahat.
Nik Abdul Aziz mengulangi pendirian yang dinyatakan oleh Abdul Hadi sebelum itu bahawa kerjasama dengan bangsa Yahudi dibolehkan jika mereka tidak berpegang kepada ideologi Zionis.
Nasrudin menambah, umat Islam tidak perlu panik mengenai perkembangan semasa berkaitan isu Yahudi kerana perbahasan mengenai hukum dagangan adalah berbeza dengan pemerintahan.
"Apa pun, kita lebih wajar berfikir dan merancang untuk terus meningkatkan sokongan moral, politik dan ekonomi kepada umat Islam di Palestin khasnya Hamas untuk mereka terus membina masa depan yang lebih baik (ketika) berdepan kekejaman Yahudi Israel berbanding kita berbincang dan berpolemik mengenai urus niaga dengan Yahudi," katanya.
No comments:
Post a Comment