Thursday, March 29, 2012

mana pergi 3 ratus juta

Hasan Ali persoal RM300 juta

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 26 Mac - Bekas Exco Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mempersoalkan dana RM300 juta di bawah geran 'Selangorku' yang dikatakan tidak direkodkan di dalam akaun Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keraguan tentang bagaimana program-program di bawah geran tersebut dilaksanakan sekiranya dana berkenaan tidak diletakkan di bawah akaun MBI.

Ini kerana, katanya, ketika membentangkan Bajet Selangor 2012 pada November tahun lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengumumkan dana sejumlah RM300 juta diurus selia secara terus oleh MBI yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri.

''Namun, saya difahamkan peruntukan tersebut tidak ada dalam akaun MBI. Jadi bagaimana kerajaan negeri mahu mengadakan program-program di bawah geran 'Selangorku'," katanya dalam soalan tambahan kepada Abdul Khalid pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Khalid tidak menjawab pertanyaan Hasan yang juga wakil rakyat dari Gombak Setia itu termasuk penjelasan dari mana dana RM300 juta tersebut diperoleh.

Sebaliknya, beliau hanya menyatakan program di bawah geran berkenaan telah dimaklumkan kepada Exco kerajaan negeri dalam satu retreat di Melaka pada Februari lalu.

Beliau berkata, pihaknya telah memaklumkan secara terperinci kepada Exco kerajaan negeri tentang bagaimana jumlah RM300 juta itu diperoleh termasuk usaha kerajaan negeri mengenal pasti hutang Talam Corporation Bhd., berjumlah RM391 juta sebelum ini.

''Kalau ada kelapangan, saya jemput Ahli Dewan Undangan Negeri untuk mendengar taklimat mengenai program 'Selangorku'," kata Abdul Khalid.

No comments:

Post a Comment