Wednesday, October 26, 2011

rugi beri air percuma

Akibat air percuma, anak syarikat kerajaan Selangor rugi

PEMIKIR TULEN
Selangor

HASRAT Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memberi air percuma kepada rakyatnya adalah untuk tunai janji pilihan raya dulu.

Tetapi hasrat yang baik sahaja tidak akan melahirkan natijah yang baik juga apabila Laporan Audit Negara mendedahkan anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, kerugian lebih RM112 juta kerana menanggung kos memberi air percuma kepada rakyat.

Malah bagi dua tahun sebelumnya KDEB rugi RM131 juta dan RM68 juta. Ini ditambah pula oleh sikap penggunaan air secara membazir dan tidak berhemah oleh sebilangan besar pengguna.

Kaedah pemberian air percuma ini juga tidak tepat kerana orang kaya atau yang berada di dalam zon selesa juga menikmati 20 meter padu air percuma yang sepatutnya hanya dinikmati golongan daif, miskin dan tidak berkemampuan.

Dalam pada itu, pemilik kediaman bertingkat yang menggunakan meter pukal ramai lagi yang gagal menikmati air percuma ini kerana mereka masih belum berhijrah ke meter individu. Ini juga menampakkan kegagalan kerajaan Selangor kerana masih lembab melaksanakan program penukaran meter ini.

Saya tertarik dengan cara Syabas melaksanakan program Tabung Budi yang sedang dan telah mengenal pasti pengguna yang miskin dan daif daripada pelbagai kaum untuk diberi air percuma dan dibantu menyelesaikan tunggakan bil air mereka.

Nasihat saya kepada Menteri Besar Selangor sebelum melaksanakan apa juga program untuk kebajikan rakyat, rancanglah dengan teliti terlebih dahulu. Buat penilaian daripada segi impak positif dan negatif program tersebut, kadar keupayaan bajet sama ada mampu atau membebankan kerajaan atau tidak serta perkiraan lain seperti pembaziran, kerugian wang rakyat dan pelbagai lagi.

Tidak kurang pentingnya ialah adakah nasihat pakar yang arif dalam bidang berkaitan telah dirujuk atau sekadar menggunakan teori sendiri atau mendengar nasihat pakar yang yes man sahaja.

Pendedahan tentang kerugian KDEB ini berserta kegagalan kerajaan Selangor memberi kebenaran membina loji Langat 2 adalah petanda jelas kerajaan Selangor tidak berdaya menangani isu kepentingan rakyat dengan bijak dan pertimbangan yang sewajarnya.

Oleh yang demikian, saya rasa matlamat untuk memenuhi konsep negeri berkebajikan sudah jauh menyimpang.

No comments:

Post a Comment