Monday, October 3, 2011

politik felda

Saman Felda saman politik

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

TUP! tup! sudah terdengar rungutan daripada peneroka Felda Kemahang 3 mengenai ketidakadilan dalam soal pengagihan sama rata wang RM11 juta yang dimenangi mereka di mahkamah tempoh hari hasil saman ke atas Felda.

Rasa tidak puas hati tentangnya itu muncul dua minggu sudah, menyebabkan 304 daripada 354 peneroka menyaman seorang peguam bela. Peguam bela tersebut adalah orang yang sama sebelum itu pada 13 Januari 2010 mewakili peneroka-peneroka terbabit untuk mendakwa bahawa Felda telah menipu kadar perahan minyak sawit peneroka. Disebabkan peguam bela yang mewakili Felda tidak hadir pada hari bicara, mereka menang teknikal di Kemahang 3.

Isu saman kadar perahan sawit itu tidak habis di situ. Ia menjangkit pula ke Moakil Pagoh, Gugusan Raja Alias, Gugusan Bera dan Jengka. Dikatakan kesemuanya bermotif keuntungan kewangan dan politik.Sedangkan ramai tahu kemenangan di Kemahang 3 hanya disebabkan peguam bela Felda tidak hadir sebab teknikal dan tiada penipuan oleh Felda yang berlaku.

Dipercayai Felda sendiri mempunyai garis panduan yang telus dalam menentukan kadar perahan sawit peneroka dengan Malaysian Palm Oil Board (MPOB).

Isu memburuk-burukkan Felda oleh pihak tertentu diyakini ramai tidak akan habis. Lebih-lebih lagi apabila sebilangan orang terutama sekali pakatan pembangkang seakan-akan sudah hilang sabar menantikan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13.

Jumaat lalu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang juga ahli jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman sekali lagi muncul di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kali ini dia membawa 'khabar baru'. Dia melaporkan kepada suruhanjaya itu bahawa Felda rugi RM500 juta manakala anak syarikat Felda iaitu Felda Global Venture didakwa tidak mencatat keuntungan tetapi diberi RM6 bilion (oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk memasuki pasaran antarabangsa.

Mazlan yang pernah bertanding tiga kali, dua di kerusi DUN dan satu ketika kalah di Parlimen Bera, disifatkan Datuk Ahmad Maslan yang juga penimbangtara dalam menyelesaikan kes-kes pertikaian membabitkan isu peneroka-Felda - sebagai penuh dengan muslihat.

"Saman-saman Felda ini berupa saman politik hanya untuk mempopularkan Mazlan dan suatu perangkap untuk peneroka," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengendalikan hal ehwal serta isu-isu peneroka.

Memperbetulkan dakwaan Mazlan itu, Ahmad menjelaskan, ahli jawatankuasa Pas itu sebenarnya tidak memahami tentang aspek pelaburan Felda di Amerika Syarikat dan Kanada. Pelaburan tersebut bersifat jangka panjang untuk menembusi pasaran oleochemical (minyak berasaskan sayur-sayuran dan bijirin), yakni suatu penanaman modal awal yang belum meraih keuntungan.

"Mana ada bila berniaga, sudah untung, tolong saudara Mazlan tunjukkan.Ini berniaga air liur ke? kata Ahmad.

Dalam pelaburan yang belum mencapai pulangan modal di Amerika Syarikat dan Kanada itu, Felda perlu membeli dan membina kilang untuk menembusi perniagaan.

"Jadi, kita perlu bersabar supaya kelak Felda dapat menguasai pasaran minyak bijirin dan minyak soya. Malah dari produk oleochemical ini, kita boleh hasilkan alat-alat solek," katanya.

Di sebalik tuduhan Mazlan itu, dia sebenarnya boleh mendapat maklumat tepat dengan cara meneliti laporan tahunan Felda yang diberikan kepada setiap Ahli Parlimen termasuklah wakil pembangkang.

"Dia boleh tengok tetapi sebenarnya dia cuba mempromosikan diri untuk menjadi hero atas tiket Pas bertanding di kawasan Felda pada PRU 13. Akibat dari kemenangan teknikal di Kemahang 3 itulah, dia pergi merata pelosok negara termasuk SPRM dengan mendakwa 'Felda telah tipu peneroka'. Saya beranggapan mungkin Mazlan dan peguam belanya itu mendapat keuntungan daripada hasil menghasut peneroka ," kata Ahmad.

Menurut Ahmad, di Felda Moakil Pagoh kini, sudah terdengar cakap-cakap sikap tidak beretika mengenai peguam bela yang dikatakan cuba membela peneroka dalam isu saman kadar perahan sawit ke atas Felda.

"Dikatakan ada satu perjanjian berasingan pula dibuat iaitu kalau peneroka tarik balik saman, peneroka terbabit kena bayar RM5,000 kepada peguam terbabit, saya sudah tanya beberapa peguam tentang perjanjian seumpama ini, ramai menyatakan ia tidak beretika. Nampaknya sebilangan peneroka Felda Moakil tersentak.

"Sebab itulah selaku penimbangtara, saya mahu memanggil peneroka atau pihak yang bertikaian ini supaya tidak membawa ke mahkamah tapi bawa ke timbangtara untuk diputuskan ," katanya.

Mengenai pinjaman RM6 bilion oleh Felda daripada KWSP, Ahmad memberitahu, daripada jumlah dipinjam itu, RM1.5 bilion digunakan membeli syarikat gula Robert Kuok yang diapungkan di Bursa Malaysia dan kini mencatatkan keuntungan banyak dari penyenaraian tersebut. Sejumlah RM2 bilion lagi digunakan untuk projek tanam semula kebun sawit peneroka yang sudah mencapai tempoh umur.

Kata Ahmad: "Kita kutip RM4 sebulan selama 20 tahun daripada peneroka sawit untuk tabung tanam semula sawit yang berjumlah RM9,600, namun ini masih tidak mencukupi. Untuk 10 ekar tanam semula ini, jumlah yang diperlukan antara RM17,000 hingga RM25,000. Kalau kawasan itu berbukit dan lembah, maka lebih tinggi lagilah kos kerja tanam semula ini.

"Kalau lebih RM17,000, kita bagi subsidi kepada peneroka, sebab itu kita perlukan duit yang banyak dan kerana itu jugalah kita pinjam dengan KWSP."

Mengenai tuduhan bahawa berkemungkinan Felda mencagar kebun peneroka apabila membuat pinjaman KWSP, Ahmad menafikannya.

"Felda ada RM20 bilion aset dan RM10 bilion tunai dan saham boleh dicairkan, jadi pinjaman KWSP tidak perlu dicagarkan kebun-kebun peneroka...kadar faedah KWSP itu tidak dikenakan ke atas peneroka," kata beliau sambil memaklumkan kepada Mazlan jika dia (AJK Pas Pusat itu) ada RM100,000 dalam bank, masakan dia akan mengeluarkan kesemuanya untuk membayar tunai pembelian sebuah kereta jika pada masa sama dia boleh menikmati pinjaman bank untuk berbuat demikian.

Semua ini seperti mana 'wayang' dimainkan Mazlan berupa saman politik ke atas Felda, tegas Ahmad.

Felda membantu, bukan menipu. Felda membela, bukan menganiaya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment