Polis akan panggil Mat Sabu - Khalid
PETALING JAYA 29 Ogos - Polis sudah membuka kertas siasatan untuk menyiasat Mohamad Sabu berhubung kenyataannya yang mendakwa Parti Komunis Malaya (PKM) adalah hero sebenar dalam peristiwa Bukit Kepong dan bukannya anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, Mat Sabu akan disiasat di bawah Seksyen 505 B Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat.
Beliau berkata, polis akan memanggil Timbalan Presiden Pas itu untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat.
"Kenyataan Mat Sabu itu dilihat menyakitkan hati anggota pasukan keselamatan selain mengguris perasaan keluarga 16 orang yang terkorban dalam tragedi itu," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi penugasan Ops Sikap Ke-24 di Kilometer 32, Merbau Sempak di Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor hari ini.
Khalid dalam pada itu turut menempelak Mat Sabu sebagai orang yang kurang membaca buku sejarah.
Sehubungan itu, ujarnya secara sinis, Mat Sabu perlu membaca semula buku sejarah dan bertanya kepada orang yang arif mengenai sejarah itu, selain melawat sendiri Bukit Kepong.
"Saya rasa Mat Sabu perlu melawat sendiri Bukit Kepong, tengok dengan mata kepala sendiri bagaimana keadaannya di sana, bertanya dengan orang-orang kampung yang masih segar dalam ingatan mereka tragedi tahun 1950 itu," katanya.
Khalid berkata, sehingga semalam, sebanyak 49 laporan polis terhadap Mat Sabu telah diterima di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment