Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Tuesday, February 1, 2011
Pembangkang Suka Roboh
Hilang mata pencarian
Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my
PENIAGA, Mohd. Zuki Ismail menunjukkan tebing longkang yang pecah yang didakwa akibat kerakusan pihak penguat kuasa MPAJ sewaktu merobohkan gerai di Pangsapuri Pandan Perdana 700, baru-baru ini.
AMPANG 31 Jan. - Seramai 16 peniaga warga emas di pangsapuri Pandan Perdana 700 di sini kesal dengan tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan gerai mereka baru-baru ini.
Mereka yang sedih dengan apa yang berlaku itu menyifatkan tindakan MPAJ itu seolah-olah bertujuan menganiaya peniaga dan penduduk di pangsapuri itu.
Secara tidak langsung, kata mereka, tindakan itu telah menyentap punca pendapatan peniaga yang rata-rata sudah 12 tahun menjalankan perniagaan.
Seorang peniaga yang menjalankan perniagaan kedai makan, Ali Hasyhim, 67, berkata, tindakan MPAJ itu boleh dianggap keterlaluan kerana tidak mengambil kira latar belakang peniaga yang terlibat.
Katanya, sudah 12 tahun dia menjalankan perniagaan di situ dan kini dia sudah kehilangan punca pendapatan bagi menampung kehidupan dia sekeluarga.
"Mengapa MPAJ harus mengganggu peniaga di sini padahal kami bukanya mengganggu sesiapa pun, malah hasil perniagaan kami juga tidak seberapa.
"Biarlah kami menjalankan perniagaan seperti biasa, kerana inilah satu-satunya sumber pendapatan utama semua peniaga yang terlibat," katanya.
Dia juga mempersoalkan alasan mengganggu penduduk sebagai punca gerai di situ dirobohkan kerana sebahagian besar pelanggan gerai itu adalah penduduk di kawasan tersebut.
Ahmad Sulong pula berkata, gerai-gerai itu tidak terletak di tepi jalan yang mungkin boleh mengganggu kelancaran lalu-lintas, sebaliknya semua gerai terletak di dalam kawasan pangsapuri.
Malah, ujarnya, penduduk juga selesa dengan kewujudan gerai-gerai itu kerana menawarkan harga makanan dan minuman yang lebih murah berbanding di kawasan lain.
Seorang lagi peniaga, M. Govinda, 46, berkata, tindakan MPAJ merobohkan kedai runcitnya menyebabkan dia kerugian hampir RM15,000.
Katanya, dia sangat kesal dengan tindakan MPAJ itu kerana melalui perniagaan kedai runcit itu, dia dapat menyara anak-anaknya yang masih bersekolah.
"Biarlah kami menjalankan perniagaan seperti biasa kerana sudah 12 tahun kami berada di sini dan tiada penduduk yang membantah," katanya.
Katanya, walaupun peniaga terlibat ditawarkan berniaga satu kawasan lain berhampiran pangsapuri itu tetapi kadar sewa yang ditawarkan sangat tinggi.
"Peniaga dikenakan sewa sebanyak RM430 sebulan dan jumlah itu memang tidak mampu dibayarkan oleh peniaga kerana keuntungan kami tidak besar, sekadar cukup untuk menampung keluarga sahaja," katanya.
G. Moorty, 28, pula berkata, sudah dua kali dia membuat rayuan kepada MPAJ dan wakil rakyat kawasan itu, namun tidak pernah dilayan.
"Tiba-tiba MPAJ datang dan terus roboh gerai-gerai peniaga di sini tanpa ada sebarang notis.
"Tidak cukup dengan itu, barang-barang perniagaan dan duit semuanya dirampas dan sehingga kini masih belum dipulangkan lagi," jelasnya.
"Tindakan ini sangat kejam dan saya sangat kecewa dengan MPAJ yang langsung tidak membela nasib peniaga kecil seperti kami," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad menjelaskan, tindakan merobohkan gerai-gerai itu adalah disebabkan pemilik gerai di situ mengingkari notis untuk berpindah ke penempatan semula gerai di lokasi berhampiran.
Katanya, operasi tersebut juga dijalankan kerana pihaknya sudah mendapat aduan daripada penduduk yang tidak bersetuju gerai-gerai dibina di bawah rumah mereka sejak 2003 lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment