Monday, December 13, 2010

Peniaga Asing

Boleh ke pendatang asing berniaga di negara ini?

ISU tentang pendatang asing di negara kita bukanlah perkara baru. Ia telah berlaku mungkin sebelum saya dilahirkan (1982). Walaupun sudah ramai rakyat yang komplen tentang isu ini tetapi hasilnya tetap sama.

Saya juga ingin berkongsi perkara yang sama tentang pendatang asing ini. Pada cuti umum Maal Hijrah yang lalu, saya berkesempatan untuk pergi ke pusat membeli belah di Jalan Silang di ibu kota.

Sebelum ke sana, saya sudah bayangkan apa yang akan saya lalui iaitu melihat ratusan pendatang asing dari pelbagai negara yang berkeliaran, melepak, membeli belah, tidur di kaki lima, bergurau senda tanpa rasa takut walaupun mempunyai balai polis bergerak.

Jangkaan saya memang tepat kerana boleh dikatakan majoriti 'rakyat Malaysia' itu ada di situ.

Jalan Silang seperti tempat mereka sehinggakan orang kita sendiri pun takut untuk ke sana. Ini belum kita lihat lagi di tempat-tempat lain. Cubalah ke Kampung Pandan dan lihatlah pertumbuhan dan pembiakan pendatang asing ini yang majoriti warga Indonesia.

Mereka dengan senang menyewa rumah, (ada juga yang sudah membeli dan buat rumah serta menjadi penyewa) bahkan ada juga yang berniaga di tepi-tepi jalan raya.

Jangan terkejut jika saya katakan bahawa ada juga rakyat tempatan yang menjadi kuli pendatang.

Perniagaan mereka bukan calang-calang dan kedai mereka bukannya seperti pondok mainan.

Mereka menjual jamu, membuka gerai makanan dan sebagainya. Saya ingin bertanya bagaimana mereka dengan begitu mudah dapat membuat semua ini? Jawapan saya mudah sahaja iaitu tiada pemantauan yang berterusan.

Saya juga difahamkan bahawa ada juga yang menjalankan perniagaan itu tiada identiti yang sah dan paling membuat hati saya terbakar apabila salah seorang mengatakan sungguh mudah masuk ke Malaysia dan menjadi warganegaranya.

Bayangkan jika kita ingin memasuki negara lain dan ingin menjadi warganegaranya? Jangan melihat negara jauh, kita boleh lihat di negara jiran sendiri. Adakan mudah untuk kita masuk ke negara Singapura?

Jauh sekali untuk menjadi warganegaranya. Usah kita bermimpi. Tetapi di Malaysia semuanya mudah walaupun saya tahu pihak berkuasa mengatakan ada dalang dalam penyeludupan pendatang ini.

Bagi saya, kerja pihak berkuasa sudah diselesaikan dan teka-tekinya juga sudah terjawab.

Teruskan menjejaki dalang ini dan kenakan hukuman yang setimpal kepada mereka.

Adakah ini yang anda lakukan setelah lebih dua dekad? Jika ya, saya ucapkan tahniah tetapi jika ya juga, mengapakah pendatang asing ini makin ramai dan merimaskan?

Ini belum lagi jika kita lihat di tempat-tempat lain seperti di Kampung Baru, Keramat, Wangsa Maju dan juga di negeri-negeri lain. Saya yakin di tempat pembaca juga begitu dan maafkan saya jika saya katakan bahawa di kawasan kediaman pihak berkuasa juga begitu.

Pernah suatu ketika saudara saya tidak menggalakkan saya pergi ke Hang Tuah Mall di Melaka. Katanya itu bukan tempat kita, tempat itu sudah menjadi seperti Kota Jakarta. Saya sendiri melihat serta mengakuinya.

Bukan warga Indonesia sahaja, malah Nepal, Vietnam, Bangladesh dan pelbagai bangsa ada di situ. Orang kita? Hanya sekerat dan seperti biasa semuanya takut dan tidak selesa ke sana.

MALAYSIA BOLEH

Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment