Selangor mungkir janji agih air percuma
Oleh ROZIANAH RISMAN
kota@utusan.com.my
PETALING JAYA 4 Dis. – Kerajaan negeri pakatan pembangkang di Selangor dilihat telah memungkiri janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu apabila gagal melaksanakan pemberian air percuma sebanyak 20m3 kepada setiap penduduk di Taman Petaling Utama sejak 2008 lalu.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk di sekitar kawasan berkenaan yang kesal dengan tindakan kerajaan Selangor yang tidak habis-habis menipu rakyat.
“Mengapa mereka perlu berjanji sekiranya sukar untuk melaksanakan setiap apa yang mereka katakan.
“Sebelum PRU, bermacam-macam faedah yang ingin diberikan namun semuanya hanya tinggal cakap-cakap kosong sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kira-kira 70 wakil daripada setiap penduduk di Taman Petaling Utama berhimpun di hadapan taman perumahan mereka sambil menunjukkan kain rentang sebagai tanda menuntut janji terhadap kerajaan pakatan pembangkang pada pukul 10 pagi tadi.
Malah menurut Theng Book, sikap kerajaan yang hanya mementingkan golongan berada berbanding golongan miskin di sekitar kawasan tersebut disifatkan sebagai pemerintah yang tidak adil.
“Air percuma hanya diberikan kepada pemilik rumah banglo dan rumah teres sedangkan pemilik rumah pangsa dan flat tidak diberikan keistimewaan seperti itu.
“Jangan hanya menuding jari kepada pihak Syabas disebabkan isu ini dan laksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah yang adil kepada rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu menurutnya lagi, tindakan pemerintah pakatan pembangkang tersebut yang hanya ingin memberi bayaran subsidi air percuma mulai Januari 2011 juga dianggap sebagai tidak wajar memandangkan ia sepatutnya bermula sejak Mac 2008 lagi.
“Kerajaan Selangor ada berjanji akan melaksanakan pemberian air percuma pada awal tahun 2011 bagaimanapun, tidak semua akan menerima faedah tersebut memandangkan ramai pemilik rumah flat yang tidak mempunyai meter secara persendirian,” ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Raja Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik berkata, semua rakyat akan merasa tertipu sekiranya pemerintah yang diharapkan membantu mereka tidak mengotakan janji yang diberikan.
“Bukan setakat isu mengenai bekalan air sahaja yang diabaikan oleh pihak kerajaan Selangor malah banyak perkara yang berkaitan kebajikan rakyat tidak diberi perhatian.
“Kita mendengar banyak rungutan penduduk terutamanya di sekitar Petaling Jaya Selatan yang sedih sebab kerajaan negeri tidak membantu mereka yang kebanyakan terdiri daripada golongan miskin urban.” katanya.
Katanya, banyak kekurangan dan masalah dari segi kemudahan infrastruktur yang turut dialami penduduk tidak dihiraukan.
“Penduduk di sini bukan sahaja sering mengalami masalah lif yang selalu rosak malah mereka juga tidak mempunyai kemudahan seperti taman permainan, dewan, padang dan sebagainya.
“Malah keselamatan kanak-kanak juga tidak terjamin kerana sering terdedah dengan bahaya apabila setiap kali bermain di jalan raya disebabkan tiada taman permainan disediakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment