Monday, December 6, 2010

Bukan Senang Memerintah

Kelantan, Selangor, Kedah gagal urus masalah air

KERAJAAN Pas Kelantan berjanji 17 tahun lagi masalah air di negeri itu akan selesai. Kerajaan Pas Kedah secara mengejut menaikkan tarif air dan masih gagal membekalkan air bersih kepada rakyat. Kerajaan PKR Selangor pula masih belum dapat menyelesaikan masalah bekalan air dan terus bertelagah dengan Syabas.

Begitulah senario yang berlaku di tiga negeri itu yang dapat disimpulkan bahawa negeri terbabit tidak mampu mengurus bekalan air dengan baik. Misalnya di Kelantan mengapa mesti menunggu hingga 17 tahun? Sedangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek, berjanji kalau BN diberi peluang memerintah Kelantan masalah itu boleh selesai dalam masa dua atau tiga tahun saja.

Ketidakcekapan mengurus air di Kelantan, Kedah dan Selangor telah menyebabkan seluruh rakyat menderita. Di Selangor Menteri Besar menyalahkan kerajaan Pusat kerana menswastakan bekalan air. Soalnya, mengapa ketika BN memerintah Selangor tidak timbul masalah air ini?

Apabila gagal mengurus maka dicari alasan dengan menuding jari ke pihak lain bagi menutup kelemahan diri sendiri. Kini di Selangor sedang giat diadakan ceramah bagi menjelaskan isu air kononnya untuk membela nasib rakyat.

Sebenarnya kerajaan Selangor tidak mampu membelanjakan wang subsidi air yang berjuta ringgit setiap bulan bagi menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya dulu. Itulah akibatnya berjanji tanpa mengkaji kesan buruknya, selain hanya mahu memancing undi.

Kini kerajaan Selangor cemburu dengan apa yang dilakukan oleh Syabas melalui Program Tabung Budi lalu memberi kata dua mahu membatalkan lesen pembekalan air yang diberi kepada Syabas jika program itu diteruskan.

Matlamat program Tabung Budi ini adalah baik dan satu kerja kebajikan dengan mengajak orang ramai membantu golongan miskin yang tiada bekalan air bersih dengan menyerahkan 20 meter padu air percuma yang mereka terima untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Salahkah usaha baik ini? Kalau kerajaan Selangor mampu melakukannya, buatlah. Mungkin Menteri Besar terlepas pandang idea ini yang sepatutnya beliau melaksanakannya. Daripada beberapa kenyataan yang lalu, saya rasa Syabas dan Puncak Niaga adalah seteru kerajaan negeri.

Di Kedah pun lebih kurang sama masalah yang dihadapi dengan menuding jari ke pihak lain bila gagal mengurus air. Sebab itu timbul tuduhan mengatakan berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa ketika pengurusan air diswastakan.

Pada pendapat saya masalah air ini boleh diselesaikan jika ia tidak dipolitikkan. Mungkin kerana takut kehilangan undi dan rakyat asyik bertanya bila boleh dapat bekalan air sempurna maka mereka akan menyalahkan kerajaan Pusat (BN) tidak mahu membantu.

Yang anehnya negeri lain tidak pula menghadapi masalah pengurusan air. Bukan semua negeri itu mempunyai 100 peratus bekalan air yang sempurna. Tetapi kerajaan negeri masing- masing berjaya menanganinya dengan baik.

Saya harap Menteri Besar Selangor, Kelantan dan Kedah patut belajar dengan Menteri Besar di negeri-negeri lain bagaimana mengurus dan mentadbir bekalan air kerana di negeri berkenaan pengurusan air juga diswastakan.

Air adalah keperluan asas rakyat. Jangan dikufurkan dengan memutar-belitkan fakta kepada rakyat. Tuhan tidak menunggu lama untuk membalasnya.

M. HANAFIAH A. SAMAD

Parit Yusof, Muar, Johor

No comments:

Post a Comment