Sunday, September 19, 2010

Lee Kun Yu

ARKIB : 18/09/2010

LEE KUAN YEW MEMBOHONGI SEJARAH

MENTERI Mentor Singapura tidak perlu pura-pura berasa sedih kononnya Singapura dipaksa keluar dari Malaysia. Janganlah membohongi sejarah. Soalnya, apakah negara itu akan menikmati kemerdekaan tanpa menyertai Malaysia pada 1963?

Kalaulah Tunku Abdul Rahman menolak permintaan Singapura untuk keluar dari Malaysia, hingga sekarang beliau tidak merasa jadi Perdana Menteri.

Jadi, eloklah beliau tidak campur tangan dalam urusan Malaysia. Kami rakyat Malaysia hidup aman dan sejahtera kecuali bagi mereka yang sama fikiran dengan Lee Kuan Yew dan suka mengadu-domba rakyat semata-mata kemaruk kuasa.

Mereka ini seperti Lee Kuan Yew yang suka mengapi-apikan perkauman dan sering menganggap golongan minoriti disisihkan. Lee Kuan Yew tidak layak mempersoalkan hak istimewa orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan dan kontrak sosial negara ini.

Ini kerana keadaan di Malaysia jauh lebih baik daripada negara itu. Lihat apa yang berlaku di Singapura. Apakah mereka cukup adil kepada rakyat yang berbagai kaum itu? Apakah Singapura sebuah negara demokratik memberi kebebasan bersuara seperti di Malaysia? Tanyalah media massa di sana. Apakah ada ‘press freedom’ seperti media massa di Malaysia?

Sebenarnya, kita di Malaysia tidak berminat untuk bercakap negatif tentang Singapura kerana menghormatinya sebagai jiran. Tetapi sebaliknya Singapura tak habis-habis cemburu dan menuduh itu dan ini kepada Malaysia.

Kita pun faham inilah sifat ‘infiority complex’ orang yang berasa menjadi hero tetapi tiada siapa mahu mengiktirafnya. Singapura mahu menjadi hero kepada Asia Tenggara. Soalnya, bolehkah Singapura hidup tanpa jirannya, terutama Malaysia dan Indonesia?

Lee Kuan Yew jangan bermimpi mahu menjadikan Malaysia seperti Singapura yang tidak demokratik itu. Apa lagi dasar Malaysian Malaysia yang diwariskannya kepada DAP di Malaysia mahu disemarakkan kembali dengan membangkitkan isu perkauman.

Itulah yang mungkin melukakan hati Lee Kuan Yew apabila berpisah dari Malaysia. Beliau sedang bermimpi untuk suatu ketika Singapura kembali bersatu bersama Malaysia sebagai suatu cara menghidupkan semboyan Malaysian Malaysianya. Tidak mustahil DAP juga menunggu saat itu.

Kalau saya meminta rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu supaya sedar akan hal ini, tentu akan ada orang menuduh saya bersikap perkauman.

Maka sudah sewajarnya sempena Hari Malaysia bagi rakyat yang tahu menghargai hati dan budi, waras pemikiran serta tahu menilai realiti dan kebenaran menolak permainan pelampau politik yang mahu merosakkan perpaduan rakyat dan keamanan negara.

Biarkan pelampau politik yang hanya mengutamakan kepentingan peribadi itu menjadi luncai yang terjun dengan labu-labunya. Apakah kita sanggup mengorbankan segala kenikmatan yang dikecapi selama 53 tahun merdeka ini?

Tepuk dada cari jawapannya. Jangan biarkan para pendusta berjiwa rakus itu menjahanamkan masa depan agama, bangsa dan negara.

M. HANAFIAH A. SAMAD

Pekan Baru, Parit Yusof, Muar, Johor

No comments:

Post a Comment