ARKIB : 10/09/2010
Pantau jualan mercun
Walaupun pihak berkuasa giat merampas mercun, peniaga masih juga terus menjualnya di pasar-pasar terbuka. - Gambar Hiasan
Saudara Pengarang,
MESKIPUN banyak rampasan mercun dan bunga api dilakukan pihak berkuasa, namun penjualan bahan larangan itu dilihat masih berleluasa di pekan-pekan sehari, pasar malam dan bazar Ramadan di sekitar daerah Temerloh.
Peniaga mercun dan bunga api dilihat bebas menjual bahan larangan itu tanpa rasa bimbang atau takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Dengan keadaan itu, kanak-kanak begitu mudah terpengaruh untuk membeli mercun apabila berkunjung ke kawasan berkenaan bersama ibu dan bapa mereka.
Ibu bapa yang berkunjung ke kawasan terbabit pula terpaksa melayan kerenah anak-anak masing-masing untuk mendapatkan mercun dan bunga api.
Sehubungan itu, pihak berkuasa perlu lebih kerap menjalankan pemantauan supaya penjualan mercun dan bunga api tidak dijual secara berleluasa sekali gus mempengaruhi kanak-kanak untuk mendapatkannya.
Mercun dan bunga api boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat seperti berlaku kebakaran atau kecederaan seperti putus jari dan buta mata.
Sepatutnya mercun dan bunga api tidak sewajarnya dijual secara terbuka kerana ia memudahkan kanak-kanak atau remaja untuk mendapatkannya. Penjualan mercun dan bunga api juga dikatakan merebak ke tanah-tanah rancangan oleh segelintir peneroka yang tidak bertanggungjawab.
Saya pernah bertanya kepada seorang kanak-kanak yang bermain mercun di sebuah tanah rancangan di daerah Temerloh.
Kanak-kanak terbabit mendakwa dia mendapatkan bekalan mercun dan bunga api daripada seorang peneroka berdekatan rumahnya.
Menurut kanak-kanak itu, dia mendapatkan mercun bola dengan harga RM1 untuk empat biji manakala RM1 untuk dua biji mercun ketupat. Dakwaan kanak-kanak itu membuktikan bekalan mercun amat mudah diperoleh dan penjual terbabit dikatakan hanya menjualnya kepada kanak-kanak di tanah rancangan itu.
Ini kerana penjual terbabit bimbang kegiatannya dihidu pihak berkuasa.
Masyarakat juga perlu dipersalahkan kerana secara tidak langsung melindungi penjual terbabit.
Bagi mereka, kemeriahan raya tidak akan dirasai selagi tiada bunyi mercun dan permainan bunga api.
ZAINOR
Temerloh
No comments:
Post a Comment