Komplot Guling Najib Didedahkan
Kuala Lumpur: Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang bersubahat dengan beberapa pihak menentang Malaysia, dengan angkuh pernah memberitahu Xavier Andre Justo bahawa beliau sedang “mengubah masa depan sebuah negara” dan akan meraikannya dengan segelas Champagne sebaik “Najib tumbang”.
Susulan hukuman penjara ke atas Justo pada 17 Ogos lalu, pendedahan terbaru menampakkan belang sebenar Rewcastle-Brown dan kesediaannya melanggar undang-undang dengan membantu Justo mengumpul AS$2 juta (RM8.62 juta) sebelum didakwa melakukan pengubahan wang haram sebagai bayaran e-mel yang dicuri daripada bekas majikannya, PetroSaudi International (PetroSaudi). Justo, warga Switzerland, kini menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan memeras ugut bekas majikannya. Bagaimanapun, pasukan penyiasat Thailand bagi kes itu merungkai tahap kesungguhan Rewcastle-Brown bersama rakan subahatnya bagi menggulingkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak. Menurut sumber yang rapat dengan pihak berkuasa Thailand, pendedahan itu antara lain merangkumi perbualan menerusi WhatsApp selama tiga bulan membabitkan Rewcastle-Brown, pengurusan kanan Kumpulan Media The Edge iaitu Tong Kooi Ong dan Ho Kay Tat serta Justo, yang menawar untuk menjual data dicurinya kepada pembida tertinggi. Pada 15 Julai lalu, akhbar New Straits Times (NST) melaporkan kenyataan bekas editor Sarawak Report yang mendakwa Rewcastle-Brown memalsukan beberapa dokumen untuk memfitnah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Najib, menerusi beberapa pendedahan portal berita itu. Editor terbabit, Lester Melanyi, dikatakan turut menamakan beberapa individu termasuk ahli politik terkemuka pembangkang sebagai antara yang terbabit dalam konspirasi menggulingkan kerajaan. Perbualan di WhatsApp itu, kata sumber, turut mendedahkan keakraban hubungan Rewcastle-Brown dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara; Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Mahu jatuhkan PM Dalam satu perbualan WhatsApp dengan Rewcastle-Brown pada 19 Mac 2015 lalu, Kay Tat didakwa menulis (terjemahan): “Artikel anda seolah-olah menggambarkan anda ingin menjatuhkan Perdana Menteri. Kami dituduh bekerjasama dengan anda dengan tujuan menggulingkan PM (Perdana Menteri).” Rewcastle-Brown didakwa menjawab: “Saya yang menulis berita ini, bukan anda. Penuhi komitmen anda dan saya akan pergi tanpa memberitahu sesiapa.” Beliau kemudian menyebut “mungkin kita telah mengubah hala tuju sebuah negara”. Mesejnya pada Jun lalu berbunyi: “Kami merancang satu lagi pendedahan sebelum pilihan raya negeri (Sarawak). Saya akan meraikannya apabila Najib tumbang. Saya sudah mendapat beritanya menerusi orang Anwar. Saya menggunakan Dr Mahathir untuk mendapatkan sumber maklumat lain.” Justo mendakwa dijanjikan AS$2 juta sebagai pertukaran data yang dicuri daripada bekas majikannya. Dalam temu bual di penjara bersama akhbar Straits Times Singapura baru-baru ini, Justo mendakwa tidak menerima bayaran yang dijanjikan oleh seorang ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia. Sumber Thailand kemudian mengesahkan Kooi Ong sebagai ahli perniagaan terbabit. Menerusi satu lagi temu bual, Justo mendakwa persetujuan berhubung urusan jual beli dokumen berkenaan dicapai di Singapura pada Februari tahun ini, disusuli perbincangan panjang lebar mengenai kaedah pembayaran terhadapnya. Kumpulan individu yang ditemui Justo di Singapura bagi berunding soal penjualan data terbabit, dinamakan dalam pengakuan 22 muka suratnya kepada polis Thailand. Justo turut mengulangi apa yang dikatakan polis Thailand baru-baru ini, iaitu pengakuannya disokong dengan dokumen termasuk rekod perbualan WhatsApp dengan pembeli berkenaan. “Apa yang ditulis dalam pengakuan saya itu, sebahagian besarnya dibuktikan menerusi perbualan e-mel, mesej WhatsApp saya dengan mereka,” katanya. Beliau mendakwa, Rewcastle-Brown bersetuju menerima AS$2 juta daripada pembeli dan memberinya AS$250,000 (RM1.07 juta) sebulan sebagai bayaran perkhidmatan rundingan. “Saya tidak tahu sama ada dia menerima duit itu atau tidak, (kerana) saya ditangkap. Saya tidak tahu,” katanya. Sumber Thailand berkata, dalam perbualan panjang lebar menerusi WhatsApp, Rewcastle-Brown turut menjelaskan bagaimana beliau akan membantu Justo mendapatkan AS$2 juta sebelum melakukan pengubahan wang haram. Awalnya, beliau cuba menggunakan SJS Limited di Singapura bagi menyalurkan dana berkenaan bersama abangnya yang juga Pengarah SJS, Patrick Rewcastle. Pada 19 Mac, Rewcastle-Brown mengesahkan komisyen bagi pemindahan haram itu dan berkata: “Lelaki itu mahu mengenakan bayaran 67,000 Euro (RM321,929). Saya yakin dia tidak akan menipu.” Rewcastle-Brown kemudian menawarkan Dana Bruno Manser yang juga warga Switzerland, sebagai saluran bayaran AS$2 juta itu dan pada 22 April menulis: “Dia boleh membuat bayaran ke Dana Bruno Manser jika dia mahu.” Beliau akhirnya bersetuju menjual Sarawak Report untuk membayar Justo. Berikut adalah sebahagian daripada terjemahan perbualannya dengan Justo: 19 Mei (4:32 petang): Dia ingin membayar menerusi syarikat BVI (British Virgin Island)!! Ia akan kelihatan teruk dalam akaun rasmi saya! Saya akan berbincang secara bersemuka. Itu lebih baik daripada berunding dengan KT yang teruk itu. 19 Mei (4:37 petang): Mereka akan kata saya mengkritik syarikat BVI tapi saya sendiri menggunakannya. Aduh. 19 Mei (5:11 petang): Saya akan berkempen bagi mengelak tempat berlindung cukai ini. Mereka akan menggelarkan saya hipokrit. Saya tidak akan membuat bising sehingga saya berjumpa mereka dan mencari penyelesaian dengan Tong. Sebelum ini, Rewcastle-Brown menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai mengarut. “Apa yang saya siarkan mengenai 1MDB dan diperjelaskan oleh The Edge serta disokong beberapa sumber rasmi adalah penjelasan yang konsisten, berbanding cerita 1MDB yang kerap dilihat mengelak serta berubah,” katanya. Mengaku perdaya Justo? Pada 24 Julai lalu, Kooi Ong dan Kay Tat mengeluarkan kenyataan sebagai menjawab temu bual Justo yang disiarkan Straits Times. Kedua-duanya mengaku memperdayakan Justo dan menganggap ia adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan bukti. Mereka turut menegaskan tidak membayar sesiapa untuk mendapatkan berita berkenaan. “Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” kata mereka. Polis Thailand menahan Justo, 48, pada 22 Jun lalu di kediaman mewahnya di pulau peranginan Koh Samui. Bekas Ketua Teknologi Maklumat PetroSaudi di pejabat London itu, mengaku mencuri data syarikat – bersaiz kira-kira 90 gigabait – ketika meninggalkan PetroSaudi pada tahun 2011. Beliau meminta lebih banyak bayaran daripada PetroSaudi pada 2013 tetapi tidak diendahkan. Susulan itu, Justo diperkenalkan dengan Rewcastle-Brown menerusi kenalan di Geneva yang mempunyai rangkaian di Malaysia. Justo kemudian menemui Rewcastle-Brown di Plaza Athenee di Bangkok dan Fullerton Hotel di Singapura. Di Singapura, Rewcastle-Brown ditemani oleh mereka yang dinamakan dalam pengakuan Justo. Ketika dihubungi, Rewcastle-Brown, Kooi Ong dan Kay Tat tidak menjawab panggilan. Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/80114 |
Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
No comments:
Post a Comment