Selamatkan Malaysia
SEPERTI yang dijangka, penganjur Bersih tetap mengadakan perhimpunan haram di beberapa lokasi berhampiran Dataran Merdeka. Walaupun terdapat perintah mahkamah melarang demonstrasi diadakan di dataran tersebut, ribuan ahli dan penyokong pembangkang mengasak untuk tetap berada di situ.Sebagaimana perhimpunan Bersih tahun lalu, kali ini, turut menyaksikan tindakan ganas dan liar sebahagian peserta. Beberapa anggota polis cedera termasuk seorang kritikal akibat dibelasah beramai-ramai. Kereta polis diterbalikkan, beberapa motosikal dibakar, pagar berduri dirempuh dan bermacam-macam lagi. Pengerusi Bersih, S. Ambiga seperti hilang kawalan apabila puak-puak politik ‘merampas kuasa’ dalam perhimpunan yang awalnya dijanjikan aman. Paling kuat menghasut ialah Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang dalam ucapan mereka mengerahkan semua peserta mara ke Dataran Merdeka biar apa pun yang berlaku. Misi utama penganjur ialah untuk menduduki Dataran Merdeka sehingga sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini iaitu mahu mewujudkan senario ala demonstrasi Dataran Tahrir di Mesir.
Realiti tetap realiti. Keganasan yang dicetuskan semalam sekali lagi menyerlahkan sikap sebenar pembangkang dan penganjur Bersih. Nama sahaja bersih tetapi amat kotor dan menjijikkan. Ambiga dan pemimpin-pemimpin pembangkang itu perlu dipertanggungjawabkan. Dari awal lagi, Awang melihat Bersih bermotif politik iaitu untuk membakar sentimen rakyat agar menjatuhkan kerajaan di luar proses pilihan raya. Lebih-lebih lagi, rating sokongan rakyat kepada pembangkang makin merosot. Kerana bimbang pembangkang akan tewas teruk pada pilihan raya umum akan datang maka demonstrasi menjadi jalan keluar mereka. Walaupun jumlah yang hadir ramai tetapi Awang sedikitpun tidak teruja. Beberapa program tertentu yang tidak dicanangkan secara luar biasa pun mampu mencatatkan jumlah kehadiran yang besar. Contohnya pelancaran Program Janji Ditepati di Batu Pahat yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak dihadiri lebih 70,000 orang terdiri daripada semua kaum. Cuma yang menganggu fikiran Awang ialah lebih ramai orang Cina menyertai perhimpunan Bersih kali ini. Difahamkan, lebih 50 peratus peserta adalah orang Cina. Apakah ia ekoran langkah kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga makin ramai berani melanggar undang-undang atau ia manifestasi daripada agenda DAP?.
Pun begitu, orang ramai terutama warga kota terdiri daripada semua kaum marah dengan apa yang berlaku semalam. Majoriti Melayu, Cina, India dan etnik lain yang mendokong keamanan menolak perhimpunan tersebut. Apa sahaja jika dilakukan secara ekstrem dan keterlaluan akan mengundang rasa meluat rakyat. Dalam pada itu, Awang ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh anggota polis atas kesabaran dan pengorbanan mereka menjaga keamanan semalam. Mereka adalah hero negara. Syabas. Di sebalik serangan peserta Bersih, cercaan dan provokasi, pasukan polis dapat menanganinya dengan penuh profesionalisme.
Kepada pihak berkuasa, apa yang berlaku semalam harus menjadi pengajaran. Pada Awang, strategi banyak berkompromi dan berlembut dari awal nampaknya tidak membawa kesan sebaliknya boleh mengundang mudarat lebih besar. Kuasa yang ada harus digunakan untuk memastikan kepentingan majoriti rakyat. Kepada rakyat Malaysia, berdoa dan bangkitlah untuk menyelamatkan negara ini terutama daripada individu seperti Anwar yang menggunakan demonstrasi seperti itu untuk muslihat yang dahsyat. Insaflah, ia bukan lagi soal membendung nafsu manusia tetapi melawan sang dajal.
No comments:
Post a Comment