Monday, April 16, 2012

pr xbagi pampasan

Rayu diberi pampasan rumah
SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
16 April 2012
Rayu diberi pampasan rumah
PADANG TEMBAK - Kira-kira 30 keluarga merayu terus diberi peluang menduduki tanah yang didiami sejak 50 tahun lalu walaupun kediaman mereka bakal dirobohkan esok (Selasa).

Presiden Persatuan Penduduk Kampung Boundary 5, Santok Singh berkata, mereka menerima surat arahan dari Mahkamah Sesyen Georgetown 4 April lalu yang mengarahkan tanah itu dikosongkan pada 17 April.

 Beliau berkata, tanah seluas 1.6 hektar itu akan dibangunkan dengan projek perumahan oleh swasta dan menyebabkan penduduk kampung yang semuanya beragama Sikh buntu mengenang nasib yang bakal menimpa mereka.

 “Kebanyakannya menetap di sini lebih 52 tahun dan kami tidak mahu berganjak kerana tidak ditawarkan sebarang pampasan. Ini berlainan dengan 24 keluarga yang sudah meninggalkan kampung ini kerana diberi pampasan wang tunai.

 “Pemaju cuba mengelirukan penduduk dengan memberi pampasan dalam nilai yang berbeza iaitu dari RM70,000 hingga RM150,000. Kami sahaja yang tidak menerima pampasan dari pemaju manakala 24 keluarga itu menerimanya tiga tahun lalu,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, mereka bukan anti pembangunan sebaliknya menuntut keadilan supaya diberi pampasan setimpal iaitu sebuah rumah bagi setipa keluarga yang berada di atas tanah itu.

 “Kami tidak mahu wang sebaliknya rumah ganti memandangkan harga rumah di negeri ini terlalu mahal dan tidak setimpal dengan wang yang diberi pemaju. Ini yang membuatkan kami menolak tawaran itu,” katanya.

 Ditanya mengenai bantuan yang dihulurkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk membela nasib mereka, Santokh berkata mereka sudah menghubunginya untuk memaklumkan masalah itu memandangkan kampung itu berada dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Air Putih yang diwakili Guan Eng.

“Saya ada berjumpa dengan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan menghubungi Guan Eng semalam (Sabtu) bagi menyuarakan masalah dialami. Karpal beri jaminan bahawa operasi perobohan tidak akan berlaku. Tetapi itu hanya perbualan tanpa ada dokumen hitam putih.

 “Kerajaan Negeri harus memainkan peranan membela nasib rakyat yang tertindas. Kami hanya mahukan hak kami dan berharap Guan Eng selaku orang paling berkuasa di negeri ini dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

 Sementara itu, Penasihat Kebangsaan Hindraf Makkal Sakthi, N Ganesan berkata, mereka mahu pihak bertanggungjawab seperti Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri memandang serius masalah berkenaan.

 Beliau berkata, jika masalah itu berlarutan, mereka akan berjuang seperti yang dilakukan di Kampung Buah Pala.

 Sebelum itu, kira-kira 50 penduduk Kampung Boundry 5 berhimpun di hadapan kampung mereka bagi meluahkan rasa kesal dan mempesoalkan tiada bantuan kerajaan untuk membela mereka.

 Perhimpunan aman itu dijalankan hampir sejam bermula pada pukul 9.15 pagi dengan masing-masing membawa sepanduk yang antaranya bertulis “Kami mahu hak kami, tolong kami”, “Jangan rampas tanah dan hak kita”, “Jangan menipu rakyat miskin” dan “Kami mahu keadilan”.

No comments:

Post a Comment