Peneroka sokong senaraikan FGVH
19 April 2012
Ia berikutan tinjauan yang dilakukan selepas para peneroka di Felda terbabit mendengar taklimat dalam program pendidikan pelaburan serta penyenaraian FGVH di Dewan Semai Bakti, Felda yang dianjurkan oleh Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), baru-baru ini.
Ketua Peneroka Felda Ulu Penggeli, Imran Daud berkata, sesi taklimat dan penerangan yang diberikan GWGF berjaya merungkaikan segala kekeliruan dan tanggapan negatif yang selama ini difikirkan oleh sesetengah peneroka.
“Sebelum ini, ada sahaja maklumat yang tidak tepat yang diperoleh sehingga membuatkan peneroka terkeliru dan tidak memahami matlamat penyenaraian FGVH.
“Namun, setelah taklimat dan penerangan diberikan, kami warga Felda memahami dengan matlamat FGVH dan secara tidak langsung dapat menghapuskan kekeliruan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, peneroka asal Felda Ulu Penggeli, Abdul Kadir Mohd Yusof, 58, berkata, setiap peneroka yang dikenalinya tidak membantah penyenaraian FGVH, melainkan pihak luar yang berniat serong dan cuba menghasut peneroka di situ.
Katanya, dia berpandangan setiap sesuatu yang dilakukan Felda adalah untuk kebaikan semua peneroka dan sebagai peneroka, dia menyokong sepenuhnya penyenaraian FGVH dalam Bursa Malaysia.
“Dalam pada itu, kami sebenarnya marah dengan injunksi yang dikemukakan lapan peneroka Felda sebelum ini yang seolah-olah sengaja melengah-lengahkan penyenaraian FGVH.
“Walau bagaimanapun, terbukti segala kesangsian sebelum ini berjaya dihapuskan menerusi majlis penerangan yang diadakan dan ini sekali gus menjadikan peneroka semakin tidak sabar untuk menikmati kemajuan yang telah direncanakan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerangan GWGF, Dr Ilyas Harun berkata, program jelajah penerangan berkaitan penyenaraian FGVH akan diteruskan ke seluruh negara ekoran masih ramai peneroka tidak faham dengan matlamat yang dilakukan dengan penyenaraian tersebut.
Beliau berkata, program jelajah yang diadakan di Felda Ulu Penggeli itu adalah program pertama yang diadakan dan ianya akan diikuti beberapa lokasi lain di seluruh negara secara serentak.
Program yang diadakan ini secara tidak langsung berjaya memberikan pendedahan dan maklumat berguna kepada peneroka, malah mereka juga menunjukkan minat dengan mengemukakan pelbagai soalan, sekali gus membuktikan peneroka semakin matang serta memahami dengan jelas matlamat FGVH.
“Saya lihat selepas penerangan yang diberikan, semua peneroka bersetuju dengan penyenaraian FGVH itu di samping dapat menangkis hasutan negatif daripada pihak luar,” katanya.
No comments:
Post a Comment