ARKIB : 20/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 1
Percaturan politik di Marang
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
pengarang@utusan.com.my
MARANG merupakan daerah pinggiran laut namun ia bukan sahaja mengingatkan banyak orang tentang pantai yang kian rebis tetapi juga mainan politik yang tak habis- habis.
Seperti jalan lebar menghala ke Rusila tanpa pokok-pokok menebarkan bayang di laluan, kadangkala berdebu, begitu juga suasana politik di sini yang sering 'panas cering.'
Di laluan 'kawasan pusat tarbiah' Pas itu, ia seolah-olah menjadi tabu dan meresahkan jika akhbar Utusan Malaysia kelihatan dijual dan dibaca di warung atau bendera UMNO dan Barisan Nasional (BN) dipacakkan di tiang pinggir jalan.
Geografi politik Parlimen Marang yang terbelah dua menjadi simbol kepada pertentangan hebat dua parti politik Melayu yang berusaha mencari pengaruh dan kuasa.
Di sini kesan perpecahan yang nyata bermula, kononnya didasari atas nama perjuangan menegakkan negara Islam dan saudara seagama dikafirkan. Di sini juga, kemenangan dan kekalahan bertukar ganti bagi kedua-dua parti.
Setiap kali musim pilihan raya, Marang merupakan salah satu kawasan yang paling menjadi sorotan kerana di sini juga mudah tercetusnya kekecohan dan perbalahan yang memualkan dan di sini juga masa depan seorang presiden parti.
Ramai yang menyangkakan ia seakan-akan lubuk Pas, namun selain Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di mana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk kukuh sebagaimana Masjid Rusila, yang lain ternyata rapuh.
Abdul Hadi mula bertanding pada pilihan raya umum 1978 di DUN Marang tetapi kalah dengan kekurangan 64 undi kepada calon BN Tengku Zahid Tengku Musa dan berjaya merebutnya semula pada 1982 dengan majoriti 320 undi.
Pada 1986, beliau menang sekali lagi di DUN Rhu Rendang (nama baru DUN Marang selepas persempadanan semula) menewaskan Abdul Latif Muda dan mengekalkannya sehingga sekarang.
Tetapi bagi kerusi Parlimen Marang pada tahun itu, beliau yang turut bertanding kalah kepada Datuk Abdul Rahman Bakar dan kembali merebutnya pada 1990, terus menang pada 1995 dan 1999 tetapi tewas sekali lagi kepada Rahman pada 2004 dan memenangi semula pada 2008.
Dalam Pilihan Raya Umum 2008 di Parlimen Marang yang mencatatkan 74,813 pemilih, UMNO dan BN memenangi dua daripada empat kerusi DUN.
Di Alor Limbat ia dicapai melalui Alias Abdullah yang menewaskan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dengan majoriti 799 dan di Pengkalan Berangan melalui Yahya Khatib Mohamad (930 majoriti).
Pas pula menguasai Rhu Rendang melalui Abdul Hadi (majoriti 2,689) dan Bukit Payong melalui Mohd. Nor Hamzah (majoriti 115) manakala Abdul Hadi turut memenangi kerusi Parlimen (majoriti 2,747).
Dalam pilihan raya sebelumnya (2004) hanya Abdul Hadi calon yang memenangi kerusi tunggal di Marang (Rhu Rendang) ketika gelombang BN melanda parti itu yang meruntuhkan penguasaan sepenggal kerajaan Pas di Terengganu.
Kini medan persaingan kembali terbuka ketika Pas makin bersalut dengan isu dalaman seperti pertembungan antara kelompok muda dan tua di samping perubahan pendekatan yang menggusarkan dalam diam.
Langkah-langkah tempang makin jelas kelihatan setelah berkompromi dengan DAP yang jelas menolak negara Islam sehingga mendorong perjuangan ditukarkan kepada negara berkebajikan untuk membolehkannya bersama merebut kuasa.
Malah ia membantu parti yang dianggap cauvinis itu untuk kekal berkuasa dan menambah negeri untuk diterajui. Apatah lagi pimpinan pula dilihat seakan akur untuk menghakiskan segala kepentingan Melayu atas nama keadilan dan tidak pula bersedia memimpin kerajaan yang diimpikan malah menyerah kepada individu yang tahap moralnya jelas dipersoal.
Kekaguman terhadap Abdul Hadi dan harapan yang dipertaruhkan kepada juga dikatakan semakin menipis terutama di kalangan atas pagar dan orang UMNO sendiri yang ada ketikanya mengundi Pas.
Kalangan pemerhati berpendapat, ia sudah mula turut dirasakan di sini dan makin ramai yang mula memikirkan undi mereka tidak boleh dipermain-mainkan begitu sahaja apabila ia makin menyentuh untung nasib bangsa.
Namun di sini juga UMNO berdepan dengan masalah lazimnya iaitu keghairahan untuk menjadi calon dan mengangkat calon pilihan sehingga lupa diri dengan sanggup membentes kawan dan mengalahkan parti sendiri jika tidak berpeluang.
Apa pun soal siapa calon menjadi begitu penting di sini bagi kedua-dua parti dan sudah ada kelibat sepanduk yang dinaikkan di sini menuntut Pas dan UMNO mengetengahkan muka baru.
Justeru Abdul Hadi sendiri mungkin sukar untuk hanya bertanding satu kerusi (sama ada DUN atau Parlimen) sebagai talian hayat politiknya meskipun sebelum ini membayangkan sanggup melepaskannya.
Kalangan jentera UMNO percaya kerusi yang dimenangi boleh terus dipertahankan manakala kerusi Parlimen dan Bukit Payong boleh digoyah, biarpun masih tampak sukar di DUN Rhu Rendang.
Ramai yang mengharap pemilihan calon oleh pucuk pimpinan benar-benar menepati kehendak atau pilihan terbanyak tanpa menurunkan bidan terjun.
Di sini juga dikatakan bukan masanya lagi untuk UMNO meletakkan calon wanita sekadar menyediakan kuota atau terus memberi ruang kepada bekas-bekas wakil rakyat kerana masih banyak pilihan untuk memenangkan dan masih banyak ruang untuk mereka berbakti.
Namun ia juga bergantung kepada sikap kepimpinan atau mereka yang dibariskan sebagai kalangan yang mempunyai pengaruh dalam parti untuk tidak mementingkan kehendak diri sendiri semata-mata.
Ketika pilihan raya umum semakin hampir, ada yang percaya Ketua UMNO bahagian, Datuk Yahya Khatib Mohamad atau Timbalannya, Alias Abdullah merupakan pilihan terbaik bagi kerusi Parlimen.
Selain dianggap mampu mengimbangi Abdul Hadi, kedua-dua tonggak bahagian itu boleh memberi laluan ke arah suasana baru yang menyegarkan kepada DUN yang mereka wakili kini.
Yahya, anggota Exco kerajaan, lulusan pengajian Islam Universiti Malaya dan Alias peguam yang berlatarkan agama boleh diharapkan jika pengundi lebih utamakan orang yang boleh turut berkhutbah atau membacakan doa selamat, selain membantu menyelesaikan masalah rakyat.
Di Alor Limbat beberapa nama disorot dan tidak banyak kalangan membantah jika Yusof Mat Ali, seorang guru, pemimpin dan aktivis belia dipilih daripada beberapa nama lain termasuk Cikgu Rodzi Mohamad yang menampakkan ketokohan.
Di Pengkalan Berangan, nama yang menyenangkan untuk didengar termasuklah Jasmira Othman, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian lulusan sarjana muda syariah (kepujian) Universiti Malaya di samping Cikgu Abdul Latif Awang.
Manakala di Bukit Payong, bekas calon 2004, Zaidi Muda wajar turut dipertimbangkan bersama nama lain dengan komitmen yang ditunjukkan sebagai Pegawai Pembangunan DUN dan sokongan luas ahli UMNO setempat.
Di Rhu Rendang, Pegawai Pembangunan DUN, Nik Dir Nik Wan Ku muka baru yang mungkin wajar ditengahkan dengan tekad yang ditunjukkan untuk merubah keadaan biarpun pastinya berdepan dengan Abdul Hadi yang menyukarkan. Turut disebut Timbalan Pengerusi penyelaras DUN, Anuar Yahya pemegang ijazah sarjana muda kejuruteraan awam.
Ini waktu bagi seluruh penggerak UMNO untuk benar-benar bersama memenangkan siapa pun calon pilihan. Seorang pemerhati menggunakan analogi, "jangan biarkan nasi dagang basi sebelum petang."
No comments:
Post a Comment