Durian runtuh 112,635 peneroka Felda atasi kadar BR1M
KUALA LUMPUR 3 April - Seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara dijangka menerima bonus atau 'durian runtuh' bulan depan sebagai tanda terima kasih kerajaan kepada jasa golongan itu.
Presiden Kumpulan Felda Global, Datuk Sabri Ahmad berkata, jumlah bonus berkenaan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mei ini.
Beliau memberitahu, 'durian runtuh' itu adalah sebagai tanda penghargaan usaha dan pengorbanan peneroka Felda yang bersusah payah membuka tanah hutan kepada ladang kelapa sawit, 20 tahun lalu.
"Apa yang saya pasti adalah 'durian runtuh' itu melebihi kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberi kepada rakyat yang layak awal tahun ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya, semalam.
Pada 31 Mac lalu, Najib berkata, beliau akan mengumumkan nilai 'durian runtuh' yang dijanjikan kepada peneroka berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) pada satu majlis himpunan raksasa warga Felda di Pahang pada Mei depan.
Sabri berkata, nilai pemberian itu dijamin menyamai maksud 'durian runtuh' kerana ia merupakan satu lonjakan berganda kepada bonus peneroka.
Menurut Sabri, 'durian runtuh' tersebut akan diperuntukkan melalui wang Felda sendiri dan bukannya daripada wang kerajaan.
"Saya pasti wang yang akan diterima nanti dapat merangsang aktiviti ekonomi warga Felda di kawasan pedalaman,'' ujarnya.
Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan injunksi lapan peneroka Felda di Pahang bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) daripada melupuskan ekuitinya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), Sabri menjawab, satu mesyuarat agung luar biasa akan diadakan 30 hari selepas keputusan itu diputuskan.
Semalam, Hakim Datuk Mariana Yahya dalam kamarnya telah menolak injunksi tersebut dengan kos yang akan ditaksir oleh Timbalan Pendaftar.
No comments:
Post a Comment