PKR dakwa 3 surat bukti hipokrasi Mahathir
1 Mac 2012
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, imej luaran Dr Mahathir sebelum ini seolah-olah mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai 'pro-Yahudi', sebaliknya beliau sendiri mengambil pendekatan berbeza dengan pemimpin Zionis.
"Sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi apabila disoal akhbar antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.
"Kemahuan ini merangkumi Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin, kepulangan pelarian Palestin, penghentian penerokaan tanah serta pengiktirafan negara Palestin yang merdeka oleh Israel dan jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Kementerian Luar mendedahkan tiga pucuk surat Dr Mahathir kepada Perdana Menteri ketika itu iaitu Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak.
Perdana Menteri semasa, Netanyahu juga pernah menyandang jawatan itu antara 1996 dan 1999.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menegaskan bahawa Anwar juga menolak hubungan diplomatik dengan Israel dalam wawancara tersebut.
Menurut Saifuddin, sebaliknya Dr Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan perdana-perdana menteri dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel.
Malah kata Saifuddin, hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan dalam suratnya kepada Rabin.
"Sikap ini diteruskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan melantik syarikat perunding komunikasi antarabangsa Apco Worldwide (Apco) sebagai perunding mereka.
"Antara penasihat APCO merupakan bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel, Doron Bergerbest-Eilon," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Malaysia sebenarnya mengambil sikap berat sebelah di dalam isu Palestin dengan hanya mengiktiraf pergerakan Fatah, tanpa mengambil kira ketua pergerakan Hamas, Khaled Meshaal yang dipilih rakyat Palestin.
Katanya, ini membuktikan kerajaan Umno-BN tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Israel.
No comments:
Post a Comment