Selangor politikkan isu air
DINO SAMURAI
Shah Alam, Selangor
Saya ingin merujuk kepada pendedahan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Forum Air Sedunia di Marseille, Perancis yang disiarkan di laman portal baru-baru ini.
Khalid Ibrahim yang mewakili Selangor ketika mendedahkan permasalahan air pada forum tersebut mendakwa penswastaan air tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada rakyat.
Pada pandangan saya, sebagai bekas pemimpin korporat yang berprofil tinggi, Khalid tidak sewajarnya menggunakan forum berkenaan sebagai medan untuk menghentam masalah yang beliau sendiri sengaja timbulkan.
Isu air di Selangor bukanlah satu isu yang baru. Ia satu isu yang masih tiada kesudahan dan ia sengaja diperbesarkan oleh pihak pembangkang termasuk konco-konco Khalid sendiri sehingga menyelubungi kebenaran.
Pelbagai isu berbangkit belum selesai. Misalnya penangguhan kelulusan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air dan penstrukturan semula industri air negeri yang masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri walaupun mereka sedar sekiranya masalah tersebut dibereskan segera, ia sudah tentu akan memberikan keuntungan serta manfaat kepada semua pihak.
Malah tindakan beliau selaku pemimpin negeri yang sering menyalahkan pihak-pihak terlibat seperti Syabas, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hatta UMNO ekoran masalah air di negeri tersebut, memperlihatkan kecetekan ilmu pemimpin itu.
Syabas telah berpenat-lelah, berusaha gigih dan memberikan komitmen 100 peratus dalam menyalurkan bekalan air bersih pengguna, namun mereka telah dipersalahkan sepenuhnya dengan dijadikan 'kambing hitam' apabila perkhidmatan yang ditawarkan sekian lama kononnya tidak memenuhi matlamat dan kepuasan hati kerajaan negeri.
Hasrat memburuk-burukkan Syabas dalam isu air negeri ini di dalam dan luar negara tidak lebih dan tidak bukan adalah bagi memenuhi matlamat kerakusan politik kerajaan negeri. Di sudut hati mereka, industri air ini akan digunakan bagi tujuan politik demi meraih sokongan rakyat di negeri itu.
Perkara sama juga berlaku apabila khidmat syarikat kutipan sampah, Alam Flora Sdn. Bhd., ditamatkan secara sembrono oleh kerajaan negeri. Tindakan ini akhirnya membebankan pengguna apabila saban hari ada saja masalah yang timbul di seluruh pelosok negeri dengan sampah yang gagal dikutip sehingga menggunung tinggi, sekali gus memberi kesan dahsyat kepada pengguna secara keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment