Kerjasama Yahudi tidak haram
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU 23 Mac - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, kerjasama dan urus niaga dengan golongan berbangsa Yahudi tidak diharamkan dalam Islam, selagi mereka tidak mempunyai agenda jahat.
Menurutnya, faktor bangsa semata-mata tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang sebarang hubungan kerana ia bukan penentu kepada dosa dan pahala.
Sebaliknya, kata beliau, perbuatan jahat yang diambil kira adalah seperti merampas tanah dan membunuh penduduk tidak bersalah seperti mana dilakukan oleh puak Zionis.
"Kerajaan yang dia (Yahudi Israel) sekarang ini iaitu kerajaan yang dibentuk oleh parti Zionis, yang ini kita tidak boleh berurusan dengan dia, apa sahaja pun urusan dengan kerajaan Zionis sekarang ini ertinya kita berurusan dengan kerajaan haram.
"Kalau kita bersekongkol dengan yang haram maka berdosalah, seperti budak mencuri motosikal, kalau kita membeli motosikal dia, ertinya kita bersekongkol dan bersubahat dengan perbuatan jahat mencuri," katanya selepas kuliah Jumaat di pekarangan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini, hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita ketika diminta menjelaskan isu kerjasama parti itu dengan Yahudi.
Beliau mengulangi pendirian yang dinyatakan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa kerjasama dengan bangsa Yahudi dibolehkan jika mereka tidak berpegang dengan ideologi Zionis.
Sebelum itu, Nik Abdul Aziz dalam kuliahnya berkata, ayat dalam surah al-Fatihah tidak menyebut bahawa umat Islam perlu berdoa agar dihindari daripada mengikut jalan yang dilalui orang Yahudi, tetapi menyebut perkataan 'maghdubi a'laihim' iaitu orang yang dimurkai.
"Perkataan murka ini disifatkan kepada golongan yang melakukan perkara jahat di sisi Allah, ada Yahudi merampas harta orang, membunuh nabi-nabi dahulu, ini perangai jahat Yahudi, tapi ada banyak juga Yahudi yang marah kepada golongan yang bersikap jahat begini.
"Zionis adalah kumpulan antarabangsa yang wujud lebih 100 tahun dulu untuk mengambil tanah hak milik orang Palestin, selama-lamanya dunia tidak akan selamat selagi ada Yahudi Zionis.
"Kesimpulannya, urus niaga dan kira bicara dengan Yahudi adalah tidak berdosa, yang berdosanya adalah kira bicara dengan Yahudi yang berparti Zionis," katanya.
No comments:
Post a Comment