Apakah Dajjal akan muncul di Malaysia?
Zaini Hassan
MINGGU ini saya tukar topik sedikit. Lari daripada kebiasaan. Saya mahu cerita mengenai kisah alam ghaib. Ia bukan cerita hantu atau jembalang, tapi ia adalah mengenai Dajjal yang kisahnya terkandung dalam ayat suci al-Quran.
Sama ada kita boleh kaitkan dengan suasana semasa, itu terpulanglah untuk ditafsirkan. Tapi hakikatnya alam maya ini seolah-olah sudah terlalu letih. Di negara kita yang tercinta ini, cakap politik hampir setiap saat. Tiada cerita lain.
Orang Melayu Islam di negara kita yang tercinta ini pula sudah berpecah belah. Melayu Islam, yang dulu merupakan majoriti rakyat Malaysia, kini sudah menjadi minoriti.
Menurut kepercayaan saya, orang Melayu Islam sudah berpecah kepada: Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal, Melayu NGO dan Melayu Atas Pagar.
Semua mereka buat hal masing-masing. Lebih 3 juta pula tidak mendaftar sebagai pengundi. Mereka langsung tidak peduli nasib anak bangsa mereka. Melayu sekarang bukan macam Melayu dulu lagi. Mereka sudah terkeliru atau dikelirukan.
Mungkin juga mereka dikelirukan akibat perbuatan Dajjal?
Tapi siapa itu Dajjal?
Menurut para cerdik pandai Islam, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dan berpesan kepada ummah supaya berwaspada dengan kemunculan Dajjal pada akhir-akhir zaman kelak yang akan menyesatkan ramai manusia.
Bagaimanapun Rasulullah tidak menyatakan secara terperinci rupa bentuk dan apa itu Dajjal.
Pelbagai andaian dan tafsiran dibuat tentang makhluk Allah ini. Ada yang mengatakan bahawa ia sejenis makhluk berupa raksasa bermata satu yang keluar dari gunung dan ada pula yang mengatakan makhluk ini menyerupai manusia.
Walaupun tafsiran dan andaian tentang Dajjal bermacam-macam, ada persamaan tentang ciri-ciri utama makhluk ini iaitu ia amat pintar dalam tipu muslihat dan bakal menyesatkan banyak manusia dari jalan Allah SWT.
Dalam bahasa Arab ada perkataan “dajala” yang bermakna menutupi.
Mengikut sesetengah cerdik pandai, Dajjal dikatakan sejenis makhluk jahat bermata satu yang amat tamak haloba terhadap kuasa sehingga mengakui dirinya sebagai Tuhan.
Apakah ia sama dengan Yajjuj Majjuj yang disebut di dalam kitab suci al-Quran yang digambarkan sebagai makhluk bermata satu celiknya sebelah kiri dan matanya tersembul laksana sebutir anggur.
Adakah Dajjal itu adalah manusia-manusia yang pandai menyaluti kepalsuan dan kejahatan dengan kebaikan-kebaikan yang diada-adakan untuk menyembunyikan jati dirinya yang sebenarnya jahat seperti tamak haloba dan ingin menguasai segala-galanya di dunia ini termasuk bumi Malaysia.
Adakah maksud matanya buta di sebelah kanan itu merujuk kepada manusia materialistik yang mengetepikan spiritualisme atau agama dan ingin menguasai dunia dan menentukan nasib manusia seolah-olah ia Tuhan.
Bagaimanapun iktibar yang perlu diambil daripada kisah Dajjal ini ialah Rasulullah mahu kita sebagai ummahnya terus berpegang teguh kepada Sunnah dan al-Quran agar tidak tersesat dari jalan Allah.
Kalau mengikut logika, makhluk raksasa bermata satu tidak mudah untuk menipu manusia, sebaik-baik kejadian Allah yang dibekalkan dengan akal.
Tetapi dalam sejarah manusia, yang memang pandai menipu manusia dan menyesatkan ramai manusia adalah manusia itu sendiri.
Dalam era teknologi maklumat yang serba canggih ini, kita menyaksikan fitnah-fitnah terhadap agama terutama terhadap Islam oleh kumpulan-kumpulan manusia yang memandang remeh dan rendah terhadap kehidupan beragama seperti institusi perkahwinan antara lelaki dan perempuan.
Mereka berlagak seperti penyelamat manusia dan seolah-olah mempunyai semua jawapan kepada permasalahan hidup manusia.
Kononnya mereka ingin mengajak manusia kepada kebaikan – suatu kehidupan baru dalam dunia baru yang lebih baik dalam suasana kebebasan mutlak mengikut nilai-nilai liberalisme dan humanisme.
Adakah penganjur-penganjur cara hidup baru ini adalah Dajjal atau pengikut-pengikut Dajjal?
Wallahu A’lam, Allahlah yang Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment