Berhenti salahkan kerajaan
11 Mac 2012
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penawar, Hamimah Mansor, berkata, mereka harus berhenti bertelagah mengenai pembangunan tersebut agar pihak lain tidak mengambil kesempatan atas pertelingkahan itu.
“Apabila berlakunya pembangunan pasti ada halangannya. Termasuklah yang melibatkan penduduk sendiri. Janganlah kita menyalahkan kerajaan dan terus bertelagah mengenai pembangunan ini kerana pembangunan ini bakal membawa faedah besar buat penduduk.
“Malah apa yang lebih penting adalah jangan sampai orang lain mengambil kesempatan terhadap pertelingkahan yang berlaku. Kita tidak mahu unsur negatif ini mengambil kesempatan terhadap pembangunan yang bakal membawa manfaat buat penduduk ini,” katanya ketika merasmikan penutupan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyerahan Taklif anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Darul Ta’zim Daerah Kota Tinggi, semalam.
Hadir sama, Penyelaras YPK Daerah Kota Tinggi, Saodah Sudin; Pegawai Tadbir YPK Daerah Kota Tinggi, Norazmi Othman; Guru Besar SA Felda Sg Mas, Faezah Ismail; dan Ketua Umno Cawangan Felda Sg Mas, Nizam Ali.
Katanya, masyarakat khususnya warga peneroka juga perlu yakin dengan apa yang dilakukan Perdana Menteri untuk menyenaraikan Felda ke bursa saham.
“Hal ini kerana tidak mungkin beliau akan buat sesuatu perkara yang bakal merosakkan kepimpinan dan juga rakyatnya sendiri.
“Tanah, kebun serta aset peneroka selamat dan tidak akan dipajakkan. Malah beliau juga melihat banyak peluang boleh diberi kepada peneroka termasuklah penyenaraian Felda ke bursa saham.
“Banyak transformasi yang dilakukan Perdana Menteri untuk memperbaiki kelemahan dalam pembangunan negara yang mana kesemuanya membawa manfaat dan kebaikan buat rakyatnya,” katanya.
Terdahulu, majlis yang berlangsung di Sekolah Agama (SA) Felda Sg Mas itu dihadiri seramai 105 murid darjah enam dan juga darjah khas serta ibu bapa.
No comments:
Post a Comment