4 beradik tak sabar kembali bersekolah
HULU SELANGOR 17 Feb. – “Saya seronok kembali ke sekolah,” kata Abdul Aziz Mohd. Ridzuan, 12, yang terpaksa berhenti sekolah sebelum ini akibat kedaifan hidup.
Bersama-sama Abdul Aziz, tiga lagi adiknya, Siti Hajar, 10; Abdullah, 8 dan Siti Hawa, 7, juga telah mendaftar di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung semalam.
Pelajar tahun enam itu menitiskan air mata ketika ditemuramah wartawan Utusan Malaysia kerana terlalu rindukan sekolah.
“Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh 5A dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah),” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Kisah empat beradik yang tidak bersekolah itu disiarkan dalam Utusan Malaysia awal minggu ini dan sejak itu pelbagai pihak menghulurkan bantuan.
Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah menawarkan Abdul Aziz dan adiknya, Siti Hajar mengikuti pengajian di asrama penuh yang ditanggung sepenuhnya oleh yayasan tersebut.
Abdul Aziz berkata, dia akan me lapor diri di sekolah berasrama itu apabila proses pertukaran sekolah selesai.
Sementara itu, abangnya, Abdul Rahman, 14, yang berjalan kira-kira tiga kilometer setiap hari untuk ke sekolah menerima sebuah basikal sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
No comments:
Post a Comment