Thursday, January 19, 2012

saman kerajaan johor

Saman MB, Kerajaan Negeri
AZIZAN INCHE HARUN
January 19, 2012
saman mb
JOHOR BAHRU – Kesal diarah keluar secara paksa dari Rumah Rakyat SEDC Tampoi, di sini pada 2002, seramai 44 penduduk melalui Tetuan Hassan Karim and Co memfailkan saman kepada Menteri Besar, (MB) Datuk Abd Ghani Othman dan Kerajaan Negeri.

Peguam yang mewakili pen­­­duduk, Hassan Abdul Karim berkata, mereka ber­buat demikian kerana kecewa apabila tanah tapak rumah yang dijanjikan dengan pembinaan rumah baru untuk mereka telah dibina bangunan SPRM dan sebuah pasar raya.

Dakwanya, pada asal dahulu, penduduk bersetuju keluar dari Rumah Rakyat SE­DC itu dengan harapan akan dibenarkan kembali menduduki rumah baru seperti janji MB.

“Sekitar November 2009, penduduk mulai menyedari sebahagian tanah tapak rumah mereka seluas 30 hektar telah dibina bangunan lain.

“Penduduk telah menghantar notis tuntutan ganti rugi kepada MB dan Kerajaan Negeri pada Mac 2010 kerana mungkir janji," katanya di sini, semalam.

Hassan berkata, penduduk menuntut MB dan Kerajaan Negeri membina rumah kos rendah di atas tapak tanah Rumah Rakyat SEDC Tampoi yang dianugerahkan secara percuma.

Menurutnya, secara alternatif sekiranya rumah tersebut tidak dibina, penduduk menuntut supaya dibayar ganti rugi wang tunai sebanyak RM35,000 setiap seorang.

“Selepas tiga kali mediasi yang diadakan gagal pada tahun lepas, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah menetapkan perbicaraan penuh pada Mac depan.

“Bagaimanapun MB dan Kerajaan Negeri telah memfailkan permohonan untuk membatalkan writ saman dan penyataan tuntutan penduduk pada Disember tahun lepas dan bakal dibicarakan pada Februari depan,” katanya.

Hassan berkata, sebanyak 999 unit Rumah Rakyat SEDC Tampoi telah dibina pada 1976 dengan perjanjian selepas tiga tahun penduduk boleh membeli rumah itu dengan harga RM8,000.

Menurutnya, bagaimanapun pihak berkenaan ingin menjual rumah itu dengan harga RM14,000 sedangkan jumlah itu dianggap terlalu besar oleh penduduk pada waktu itu yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

“Semua penduduk diarahkan keluar sehingga berlaku kontroversi dan memaksa campur tangan polis apabila penduduk enggan berpindah dari rumah itu.

“Ketika itu datang MB cuba menyelesaikan masalah dan menyuruh penduduk berpindah sementara kerana dalam masa dua tahun Kerajaan Negeri akan membina rumah kos rendah di tanah tapak penduduk dan mereka boleh kembali menetap di situ,” katanya.

Katanya, akhirnya penduduk merasa kecewa dengan janji tersebut apabila sebahagian tanah yang dinyatakan telah dibangunkan dengan kompleks SPRM dan sebuah pasar raya.

No comments:

Post a Comment