Seksualiti Merdeka dan nasib kakitangan awam
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my
"PENGANJURAN Seksualiti Merdeka merupakan suatu hadiah penghinaan kepada kita semua" tegas Jas Salleh dalam blognya, Semar Emas (semaremas.blogspot.com) berhubung sebuah forum yang konon memperjuangkan hak asasi manusia bagi golongan pengamal hubungan sejenis.
Jelas amalan seks songsang ini adalah bertolak dari luar tabii dan merupakan amalan tidak sihat tetapi anehnya kelompok seperti Ambiga dan Majlis Peguam yang mendakwa menentang kezaliman tetapi menyokong penuh amalan kehidupan seperti ini.
Kata beliau, seharusnya kita semua menentang segala usaha puak-puak yang mengamalkan kehidupan amalan syaitan ini tetapi malangnya Pas hanya berdiam diri, sama seperti apa yang berlaku dalam isu memurtadkan umat Islam oleh sebuah gereja tempoh hari.
"Mereka (seolah-olah) bertindak menghalalkan perbuatan puak satanisme dengan melemparkan segala macam fitnah hasutan kepada UMNO dan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Ini merupakan suatu perkara yang amat membahayakan Islam, tauhid dan negara," katanya.
Dr. Ismail Ibrahim (profismail.blogspot.com) pula berkata, dalam era manusia sedar tentang pentingnya nilai-nilai moral dan budaya manusia tetapi kita di negara yang memberikan perlindungan kepada kepelbagaian agama rupa-rupanya ingin kembali kepada kehidupan aneh dan terkeluar dari nilai-nilai budaya ketimuran.
"Nampaknya golongan yang menganjurkan pesta itu (Seksualiti Merdeka) dan menggalakkan orang lain memujanya seolah-olah tidak lagi menghormati agama dan budaya majoriti rakyat Malaysia.
''Malah kita sekarang ibarat sebagai kumpulan penumpang sebuah kapal, yang sebahagian darinya akan menebuk lubang di lantai kapal itu, supaya semua kita tenggelam dalam lautan bahaya itu," katanya.
Blog Gelombang Rakyat (gelombang-rakyat.blogspot.com) pula menganggap Seksualiti Merdeka sebagai satu bentuk budaya baru yang bakal diiktiraf jika tidak dipantau.
Katanya, Datuk S.Ambiga sebagai pencetus program tersebut dengan sokongan Majlis Peguam bahkan mereka meminta pihak-pihak yang membela Perlembagaan Negara agar merujuk semula udang-undang menghalang hubungan sejenis.
"Apa macam? Pas tak mau lawan ke? Kalau setakat (Datuk) Hassan Ali seorang sahaja yang lawan, tak payahlah. Aku nak tengok reaksi muka-muka macam Mahfuz Omar dan Khalid Samad yang sekarang ni duk ternganga nakkan kuasa. Takkan punya. Alih-alih bertindak 'playsafe', (selamat) kemudian salahkan UMNO.
"Padahal yang membela golongan songsang ini pemimpin idola kamu, Ambiga. Lepas ni perhimpunan Bersih jangan pakai baju kuning sahaja. Pakai warna pelangi. Berarak dengan bendera pelangi. Kenapa pelangi? Tanyalah Anwar..." katanya.
Blog Empayar Pemuda (empayar-pemuda.blogspot.com) pula secara sinis membidas golongan ulama dalam Pas yang hanya membisu berhubung program tersebut disebabkan penganjurnya adalah Ambiga.
Katanya, walaupun ada suara kecil dari Pemuda Pas yang membantah program tersebut tetapi ia tidak memadai memandangkan Pas sebelum ini sering turun di jalanan berdemonstrasi untuk membantah sesuatu isu.
"Amatlah pelik apabila tiada bantahan jelas dan besar-besaran terhadap festival ini oleh sekumpulan manusia yang menganggap diri mereka pejuang agama Islam tersohor dan paling mulia di Malaysia iaitu Pas.
"Selama ini, Pas begitu lantang dan tegar berdemo menentang konsert-konsert artis luar negara apatah lagi jika artis tersebut merupakan golongan pengamal seks songsang seperti Elton John. Sedangkan artis luar negara ini bukan datang untuk mempromosi cara hidup mereka mahupun meliwat sesiapa di atas pentas.
"Bagaimanapun, kedatangan mereka tetap dianggap sebagai bahaya besar oleh Pas.
Blog Jiwa Paradox (alamijiwaparadox.blogspot.com) pula bersetuju dengan kenyataan Presiden Perkasa yang menyifatkan program Seksualiti Merdeka sebagai usaha mempromosikan budaya 'binatang' di kalangan rakyat.
Baginya, mereka yang mengamalkan seks songsang itu adalah lebih teruk daripada binatang kerana binatang yang tidak mempunyai akal pun dapat membawa nafsu ke tempat yang sebenar tetapi manusia yang waras dan diberikan akal fikiran tewas kepada nafsu seks luar tabii.
"Kenapa perlu diberikan hak kepada golongan ini sedangkan mereka tidak memberikan hak kepada tempat yang sepatutnya. Bukankah telah Allah tentukan hak lelaki adalah kepada wanita dan sebaliknya?
"Apa hak yang mereka mahu tuntut sedangkan mereka tidak meletakan hak pada tempat yang sepatutnya? Kenapa perlu diberikan sokongan kepada mereka? Adakah kita mampu untuk tanggung dosa mereka sedangkan kita semua tahu azab yang bakal diterima oleh golongan ini" katanya.
Sementara itu blog The Flying Kick (theflyingkick.blogspot.com) membidas kakitangan awam yang menyokong pakatan pembangkang sedangkan para pemimpin pujaan mereka itu berusaha untuk "memecat" mereka jika berkuasa.
Katanya, perlu diingat bahawa lebih 90 peratus kakitangan awam merupakan Melayu-Bumiputera dan jika apa yang dikatakan oleh Tony Phua iaitu projek khas mengurangkan kakitangan awam itu dilaksanakan, ini bermakna ramai kalangan kakitangan awam yang "gembira" apabila ada di antara rakan mereka dipecat.
"Setelah memberikan janji-janji langit dan bulan kepada kakitangan awam, akhirnya belang sebenar pembangkang atau lebih tepat lagi DAP, dibongkarkan oleh mulut orang kuat mereka sendiri. Semuanya dilakukan atas dasar penjimatan, sekalipun tujuan sebenar bukanlah kerana penjimatan sebaliknya kerana rasis.
"Menariknya, (Datuk Seri) Najib Tun Razak memuakan dan memanjakan kakitangan awam dengan pelbagai gula-gula sedangkan DAP dan pakatan pula melihat kakitangan awam sebagai satu pembaziran negara yang amat besar sehingga memerlukan mereka dipecat!" katanya.
Blog Pisau.net (www.pisau.net) menganggap apa yang dicadangkan oleh Tony itu sekurang-kurangnya dapat memenuhi hasrat kakitangan awam yang antikerajaan BN dapat merasa laba sesama mereka jika Putrajaya dapat diambil alih oleh pembangkang.
"Mengurangkan jumlah kakitangan awam yang majoritinya adalah Melayu adalah satu langkah yang baik. Memandangkan konsep Malaysian Malaysia dan kesamarataan harus dilaksanakan tanpa mengira bangsa mana yang menjadi majoriti di negara ini.
"Justeru, Pisau rasakan jika sistem merit ini dilaksanakan maka kakitangan awam akan dipenuhi oleh golongan cerdik pandai kerana kita semua tahu graduan universiti bumiputra bukannya pandai -- CGPA pun cukup makan dan mereka hanya mendapat tempat di universiti atas kuota sebagai bumiputra dan Melayu.
"Maka tempat sebagai penjawat awam harus diisi oleh graduan universiti yang tidak suka "berdemo" dan "berpolitik" yang semua orang tahu sudah tentu CGPA-nya cemerlang dan terbilang," katanya.
No comments:
Post a Comment