Masalah penyewa di Pertama Kompleks
PENYEWA BLOK MENARA PERTAMA KOMPLEKS
Kuala Lumpur
KAMI mewakili penyewa Uda Pertama Sdn. Bhd., di Blok Menara, Pertama Kompleks, Kuala Lumpur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap syarikat pengurusan baru Pertama Kompleks.
Masalah yang dihadapi adalah:
(i) Ruang pejabat kami tidak mempunyai hawa dingin selama hampir dua bulan. Kami terpaksa memasang kipas angin sendiri kerana masalah ruang pejabat terlalu panas. Ada di antaranya terpaksa memasang split air cond kerana sudah tidak tahan dengan bahang panas sedangkan bangunan Pertama Kompleks dilengkapi dengan pendingin hawa yang berpusat. Tiada pertukaran udara berlaku dan menyebabkan masalah kesihatan kepada kakitangan contohnya sakit kepala, migrain, alergi dan lain-lain.
(ii) Kos elektrik tidak pula berkurangan walaupun tiada pendingin hawa di pejabat kami.
(iii) Lif sentiasa mengalami alami kerosakan dan kadang kala hanya satu lif yang berfungsi.
(iv) Tandas dan koridor pejabat tidak dibersihkan dengan sempurna.
(v) Ada berlaku kejadian pecah masuk pejabat dan kecurian barangan pejabat seperti peralatan komputer dan wang tunai. Keselamatan penyewa sudah tidak terjamin.
Penyewa-penyewa di Blok Menara Pertama Kompleks adalah terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta. Kadar bayaran sewa yang dikenakan adalah tinggi hampir mencecah RM20,000 sebulan.
Sudah banyak surat aduan dibuat kepada pihak pengurusan yang baru itu, namun tidak mendapat perhatian dan lambat membuat tindakan.
Selama ini di bawah Pengurusan Uda Pertama Management Sdn. Bhd., para penyewa selesa dan masalah yang timbul akan diambil tindakan segera.
Kami memohon Pengarah Uda Holdings Bhd., turun padang melihat dan meninjau sendiri keadaan penyewa- penyewa di blok menara ini.
Kami juga memohon jasa baik Uda Holdings Bhd., untuk mengambil perhatian dan tindakan segera bagi menyelesaikan masalah kami.
No comments:
Post a Comment