Seksualiti Merdeka: Perkasa desak Ambiga didakwa
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak pihak berkuasa khususnya Jabatan Peguam Negara supaya mengambil tindakan mendakwa Datuk S. Ambiga kerana sikapnya yang semakin melampau apabila menyokong program Seksualiti Merdeka 2011.
Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris berkata, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah melakukan banyak perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan mengugat ketenteraman awam.
"Pihak Peguam Negara perlu mendakwa Ambiga jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai membuat siasatan. Sudah lebih 100 hari dia terlibat menganjurkan perhimpunan haram Bersih, Ambiga masih lagi bebas.
"Ambiga cuba membangkitkan kemarahan orang ramai khususnya kaum Melayu.
"Tindakan Ambiga ini sudah melampau apabila menyokong pula hubungan sejenis dan seks bebas yang jelas bertentangan dengan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Negara sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum bantahan terhadap Program Seksualiti Merdeka 2011 anjuran kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada Ketua Polis Negara (KPN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Memorandum itu diterima oleh Penolong Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf yang mewakili Tan Sri Ismail Omar.
Program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November ini akan dirasmikan oleh Ambiga malam ini.
Ia dipromosikan melalui laman web www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.
Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari ini ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.
Menurut Irwan Fahmi, memorandum bantahan diserahkan hari ini meminta PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas dengan membatalkan semua permit yang telah dan sedang diproses bagi menghalang aktiviti program itu.
"Dengan membenarkan program ini berlangsung, secara tidak langsung Malaysia telah bersedia menerima golongan rakyat yang berfikiran bahawa hubungan sejenis adalah hak asasi mereka, sedangkan perbuatan seks luar tabii adalah dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah agama-agama lain di negara ini," ujarnya.
Sementara itu, Ramli ketika ditemui memberitahu, beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada KPN untuk menentukan tindakan lanjut yang akan diambil.
No comments:
Post a Comment