Monday, November 14, 2011

biasalah bila pembangkang mula berniaga

Pelajar KUIS dakwa terseksa

SAYA merupakan salah seorang mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan kini berada di tahun akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Teknologi Rangkaian).

Saya amat tertarik dan tersentuh dengan luahan hati seorang ibu kepada pelajar KUIS yang mengadu tentang masalah kewangan yang menimpa anaknya di KUIS dan beberapa kepincangan yang berlaku di KUIS yang telah disiarkan di sebuah portal berita baru-baru ini.

Saya selaku salah seorang mahasiswa di KUIS berasa terpanggil untuk turut meluahkan beberapa permasalahan yang telah menghantui mahasiswa di KUIS.

Antara masalah yang begitu merunsingkan mahasiswa di KUIS adalah mengenai ‘paksaan’ untuk mewajibkan semua pelajar supaya tinggal di asrama pada sesi kemasukan yang akan datang iaitu pada awal November ini.

Sebenarnya paksaan untuk mewajibkan semua pelajar tinggal di asrama ini telah bermula pada sesi yang lepas, namun ia semakin diketatkan pada sesi kemasukan yang akan datang.

Paksaan untuk mewajibkan pelajar untuk tinggal di asrama ini ditentang keras oleh kami kerana bebanan yuran asrama yang semakin tinggi dan ia tidak termasuk dengan yuran pengajian lagi. Sebagai contoh, asrama di KUIS mempunyai empat jenis iaitu A, B, C & D. Asrama jenis D adalah yang paling murah sekali di KUIS.

Jika sebelum ini yuran asrama jenis D ini berjumlah RM550 setiap seorang (4 orang untuk 1 bilik), kini yuran asrama jenis D tersebut telah meningkat kepada RM700 lebih setiap seorang (tanpa ada penambahbaikan pada asrama jenis tersebut). Kenaikan ini juga berlaku kepada asrama jenis A, B & C yang yurannya mencecah kepada lebih RM1,000.

Masalah kewangan yang dialami oleh pelajar KUIS ini telah menjadi semakin teruk apabila ada sebilangan pelajar yang gagal mendapat pinjaman kewangan dan ia ditambah pula dengan kos sara hidup yang tinggi dengan terpaksa menanggung kos pembelian buku-buku pengajian dan yuran pengajian di KUIS yang mahal serta sentiasa meningkat saban tahun (pernah meningkat sebanyak 100 peratus).

Selain itu, akibat daripada kekangan kewangan yang menimpa mahasiswa di KUIS, bukan sahaja terdapat sebilangan pelajar KUIS yang terpaksa bekerja separuh masa untuk menanggung kos sara hidup yang tinggi dan yuran yang mahal di KUIS, malah terdapat juga beberapa mahasiswa yang terpaksa menangguhkan pengajian dan berhenti pengajian di KUIS akibat daripada masalah kewangan yang telah menimpa mereka.

Oleh yang demikian, saya selaku antara ribuan mahasiswa KUIS yang terseksa dengan masalah yuran, kewangan dan kos sara hidup yang tinggi di KUIS ini mengharapkan supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pihak pengurusan tertinggi KUIS dan kerajaan Selangor dapat mengambil tindakan susulan dengan secepat mungkin untuk menangani masalah ini.

MAHASISWA TERSEKSA

KUIS

No comments:

Post a Comment