‘Bersatu atau kita terus lenyap’
DENGAN kemungkinan Perhimpunan Agung UMNO 2011 merupakan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), para perwakilan yang membahaskan usul dan meluahkan pandangan perlu sedar kelangsungan parti kini di tangan mereka.
Dalam satu pertemuan dengan pihak media yang turut dihadiri oleh wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, MOHD. RAFIE AZIMI dan NURUL ANUAR KARI di Parlimen, semalam, Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Dalam Negeri, DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN (gambar) mengingatkan peranan dan tanggungjawab berat setiap perwakilan yang menjadi wakil ahli-ahli mereka dan bukan hanya diri sendiri, terutama sekali dalam mendukung program transformasi yang digerakkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
UTUSAN: Apa yang Datuk Seri boleh kongsikan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2011 minggu depan?
HISHAMMUDDIN: Kita telah memutuskan bahawa perhimpunan kali ini akan ada tiga usul yang akan dibincangkan iaitu yang pertamanya untuk membahaskan ucapan dasar Presiden seperti kebiasaannya. Usul kedua pula khusus mengenai isu ekonomi manakala usul ketiga berkaitan aspek pendidikan, sosial dan agama. Jurucakap di peringkat negeri juga telah dikenal pasti dan saya sendiri telah berbincang dengan mereka serta mendengar perkara-perkara yang diluahkan oleh ahli di peringkat akar umbi.
Kita juga perlu sampaikan mesej kepada setiap perwakilan bahawa UMNO mesti bersatu sekarang ini. Bersatu atau terus lenyap. UMNO adalah faktor penyatuan masyarakat Melayu di negara ini. Penyatuan itu bukan di kalangan ahli UMNO semata-mata, malah penyatuan seluruh bangsa Melayu.
Justeru, tugas kita sekarang adalah untuk memastikan Perhimpunan Agung UMNO itu berjalan lancar bermula saat ini, diikuti dengan perasmian dan persidangan sayap parti sehinggalah kepada ucapan dasar dan penangguhan nanti. Apa yang dapat saya perhatikan setakat ini ketiga-tiga Naib Presiden UMNO terlibat dalam memastikan kelancaran perjalanannya serta mendapat bimbingan daripada Timbalan Presiden dan Presiden sendiri.
Antara isu yang dibangkitkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah mengenai sekatan terhadap beberapa media alternatif. Apa pendirian Datuk Seri berhubung perkara ini?
Kita bincang perkara ini di peringkat pengurusan dan berpendapat jika kita mahu sekat ke dewan sekalipun, masih ada skrin besar di luar sana yang boleh diikuti oleh media. Jika tidak ada skrin itu sekalipun, mereka tetap masih dapat membuat liputan dalam situasi dunia tanpa sempadan hari ini. Malah apa yang saya sebut sekarang pun mungkin sudah mendapat liputan. Jadi kita kena realistik dalam perkara ini. Cuma pihak pembangkang dalam menuduh kita melakukan diskriminasi perlu juga mencermin diri. Sebab kalau media membuat liputan yang tidak memihak kepada mereka, mereka juga tidak teragak-agak untuk membuat sekatan.
Sejauh mana Perhimpunan Agung UMNO ini mencerminkan proses demokrasi dalam UMNO?
Apa yang saya sebutkan itu juga menunjukkan bahawa luahan ahli-ahli kita melalui proses sedia ada boleh sampai sehingga ke pucuk pimpinan. Sebab itu tidak benar sama sekali jika orang mengatakan bahawa UMNO tidak demokrasi. Ini kerana kita akan membawa 617 usul dari 157 Bahagian. Daripada jumlah itu, 116 usul adalah berkaitan politik, 24 usul ekonomi, 78 usul agama, 44 usul sosial, 115 usul pendidikan dan 193 usul-usul lain.
Ini menunjukkan bahawa apabila kita gubal dan membuat draf usul yang akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung nanti, sedikit sebanyak luahan ahli di peringkat akar umbi itu diambil kira.
Namun tidak ramai memahami perkara ini. Sedangkan dalam konteks kita mahu berdemokrasi pun mestilah ada salurantertentu supaya suara mereka dapat didengari. Malangnya orang tidak melihat kepada perkara itu sebaliknya lebih menimbangkan kepada retorik dan tuduhan. Akhirnya sistem sedia ada yang pada saya cukup demokratik terlepas pandang.
Proses Transformasi Politik (PTP) tidak lekang dikaitkan dengan UMNO kebelakangan ini. Adakah proses ini dapat dilihat pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini?
Perlu saya tegaskan bahawa PTP itu berhubung kait dengan satu proses. Maknanya perubahan yang kita lakukan itu bukanlah semata-mata untuk berubah. Sebaliknya ia mesti mengambil kira landskap, bukan sahaja apa yang berlaku di negara kita tapi juga di seluruh dunia. Dalam erti kata lain, apa jua perubahan yang mahu kita lakukan itu mestilah diimbangi dengan kepentingan yang lebih besar. Ia telah kita tunjukkan dalam aspek pemansuhan akta-akta seperti tahanan kediaman terhad dan buang negeri serta pembebasan tahanan di bawah akta berkaitan.
Juga menerusi pembentangan mengenai akta perhimpunan aman yang sedang di bawa ke Parlimen ketika ini. Ia merupakan satu proses dan tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata. Ini yang perlu dilihat dan dirasai oleh rakyat apabila tiba masanya kerana ia merupakan satu proses perubahan yang cukup bersejarah. Dari segi PRU-13 pula, kita harus menyedari bahawa ia merupakan PRU pertama yang akan dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Beliau banyak mendengar dan amat memahami nadi rakyat. Banyak perubahan telah dilakukan mengikut kehendak rakyat.
Adalah mustahak untuk kita menunjukkan kepada dunia bahawa sebagai induk, tiada perhimpunan yang lebih penting bagi menggambarkan betapa kita bersatu selain ketika persidangan agung. Ia pula bukan untuk dibuktikan oleh Presiden secara peribadi tapi dari segi kepimpinan dan transformasi yang dibawakan oleh beliau.
Parti politik di mana sahaja di dunia hari ini juga dilihat perlu mendapatkan sokongan daripada kumpulan bukan tradisi. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sokongan tradisi semata-mata tetapi juga daripada golongan muda dan mereka yang berada di atas pagar. Dalam era politik baru, mendampingi rakyat, mendekati pengundi dan memenangi hati mereka adalah sangat penting.
Sejauh mana PTP ini boleh merubah budaya berpolitik dalam UMNO?
Kerana itu saya tegaskan PTP adalah satu proses yang sangat bermakna dan ia merupakan tindakan yang amat berani. Justeru, apa jua yang disebutkan di luar sana, akhirnya sejarah akan mencatat apa yang kita lalui hari ini sebagai detik yang boleh mencorak dan mewarnakan suasana serta landskap negara mungkin untuk tempoh 54 tahun akan datang. Dan semuanya itu bermula dengan kepimpinan Perdana Menteri dan pasukannya. Itu sebab kita perlu bijak mengimbanginya dan saya tidak boleh mengatakan ya atau tidak (mengubah budaya berpolitik), tetapi mereka yang berkepentingan mesti berasa puas hati bahawa tindakan yang kita lakukan ini tidak menjejaskan kedudukan mereka.
Apakah bakal ada usul-usul bersifat tekanan atau secara spesifik menjurus kepada PRU-13?
Usul yang menekan tidak ada tapi lebih kepada teguran. Sama ada usul itu juga menjurus kepada pilihan, apa yang boleh saya katakan ia lebih kepada isu-isu dalaman iaitu bagaimana tekad kita sejak dua tahun lalu terutamanya untuk membawa perubahan. Juga muhasabah diri dan melihat kepada kekangan kita dalam membawa transformasi hari ini. Sebab itu apabila kita mahu membincangkan usul pada persidangan agung kali ini, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ia mungkin merupakan persidangan agung yang terakhir sebelum PRU-13.
Ini menunjukkan bahawa kita perlu memastikan suara UMNO bukan sahaja dapat didengari, malah suara itu juga perlu padu. Selain itu, perlu juga difahami apa yang dituntut oleh pucuk pimpinan iaitu bagaimana untuk kita meniti perubahan ini dan yang paling penting ialah kesatuan parti. Bagi saya, tidak ada cara yang lebih baik untuk menunjukkan semua itu melainkan pada persidangan agung kita. Ini juga bagi membuktikan bahawa pada akhirnya, semua ahli kita bersatu di sebalik pelbagai kritikan terhadap kita.
Pada hakikatnya, ini bukan satu perkara yang unik untuk zaman kita sebab bila kita melihat kepada sejarah UMNO itu sendiri, setiap ahli kita berdepan ujian dan cabaran. Kita pernah diramalkan berdepan dengan perpecahan namun akhirnya kita bersatu kembali.
Nasihat kepada perwakilan yang akan menyertai Perhimpunan Agung UMNO kali ini?
Yang penting adalah semangat dan roh UMNO. Dalam dua kali perjumpaan dengan wakil negeri sebelum ini, saya melihat mereka faham bahawa persidangan ini amat penting. Saya juga berharap perbahasan yang kita dengar nanti akan membincangkan perkara-perkara yang besar kerana apa yang berlaku dalam UMNO sekarang merupakan perubahan yang perlu dihayati oleh semua. Apabila Presiden kita menekankan mengenai PTP, kita buktikan menerusi pindaan perlembagaan kita terlebih dahulu. Ia termasuk dalam soal penambahan jumlah perwakilan dan itu juga menunjukkan kemahuan kita untuk berubah. Kalau dulu kuasa undi hanya di tangan 2,800 orang perwakilan, hari ini jumlah yang boleh mengundi ada di tangan lebih 140,000 ahli. Ini menunjukkan bahawa UMNO bukan sahaja boleh menerima perubahan tetapi lebih penting lagi mampu untuk terus melaksanakannya.
Tapi saya akui ia mungkin masih belum memadai. Sebab itu proses transformasi dalam parti itu juga banyak bersandar kepada sokongan perwakilan pada persidangan itu kelak. Berubah bukan semata-mata untuk perubahan, tetapi perlu berubah kepada sesuatu yang lebih baik agar parti kita diterima rakyat. Perubahan dalam erti kata meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri. Misalnya dalam PRU-13, politik adalah permainan angka dan disebabkan itu kita perlu meletakkan calon boleh menang. Bukan mudah untuk melepaskan kuasa yang ada tetapi jiwa besar pemimpin dan perwakilan UMNO telah membolehkan ia dilakukan. Calon-calon baru ini amat memerlukan sokongan padu setiap ahli, khususnya daripada kalangan mereka yang tidak dicalonkan. Mereka ini wajar menunjukkan semangat untuk terus membantu kemenangan parti walaupun tidak dicalonkan semula.
Saya yakin ahli UMNO amat matang dan sedar bahawa perubahan serta pengorbanan mesti dilaksanakan serta-merta. Namun, kadang kala kita terpaksa mendesak untuk melakukan perubahan dan pengorbanan yang wajar sebelum semuanya terlambat. UMNO telah melalui pelbagai ujian sebelum ini. Daripada tunduk menyerah, sejarah menunjukkan bahawa kita mampu bangun daripada ujian yang mencabar itu dan menjadi lebih kuat lagi.
Tetapi, cabaran kali ini bukan sahaja memerlukan kekuatan malahan lebih daripada itu kerana cabaran ini tidak hanya unik kepada Malaysia dan sedang melanda seluruh dunia dalam pelbagai aspek. Disebabkan itu, Perdana Menteri telah melaksanakan transformasi dalam kerajaan, ekonomi dan politik.
Apa harapan Datuk Seri daripada Perhimpunan Agung UMNO kali ini?
Secara peribadi saya mengharapkan kita keluar daripada persidangan itu nanti dengan semangat untuk memastikan mandat daripada rakyat pada PRU-13 akan dapat diterjemahkan daripada kesatuan, perpaduan dan kekuatan kepimpinan UMNO. Begitu pun dalam masa sama kita juga tidak boleh mengelak bahawa UMNO akhirnya akan melihat kepada perkara asas iaitu kesatuan kita adalah kesatuan Melayu. Dalam perkara ini, suka atau tidak kita kena lihat kepada kedudukan dan pembelaan kepada orang Melayu. Tapi pada masa sama, ada konteks lain yang lebih luas yang perlu kita lihat iaitu dalam kerangka BN. Tetapi janganlah kita mencampuradukkan platform ini dengan platform lain.
Para perwakilan wajar memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Presiden UMNO dalam menentukan arah tuju perjuangan parti seperti mana yang telah sama-sama mereka persetujui sebelum ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan kita perlu berhadapan dengan PRU-13 tidak lama lagi. UMNO perlu terus menunjukkan kepimpinan terbaik dalam suasana politik baru , bukan saja agar UMNO kekal relevan tetapi untuk kelangsungan BN di mata rakyat. Perlu diingat, kita bukan lakukan semua ini hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment