Himpunan sejuta umat simbol perpaduan Islam – PPPMM
JOHOR BAHRU 21 Okt. – Semua pihak perlu melihat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Shah Alam, esok bukan sahaja sebagai satu simbol menentang gejala murtad tetapi juga langkah penyatuan awal umat Islam di negara ini.
Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi (gambar) berkata, perhimpunan tersebut perlu disertai seberapa ramai yang boleh bagi menghantar mesej bahawa akidah umat Islam tidak boleh sama sekali dicemari.
Beliau yang juga Pengerusi Angkatan Fi-Sabilillah Johor berkata, sebarang ideologi politik perlu ditinggalkan kerana perhimpunan itu tidak memerlukan pengaruh mana-mana parti, sebaliknya kesedaran yang tinggi dalam kalangan umat Islam.
“Kalau sebelum ini parti-parti politik Melayu tidak boleh bersatu kerana kekangan politik, diharap perhimpunan umat kali ini dapat menundukkan ego masing-masing untuk bersatu demi kepentingan ummah.
“Jika ada yang masih angkuh dengan jawatan dan parti politik masing-masing, ini menunjukkan keutamaan agama tidak lagi menjadi kepentingan dan nafsu serakah politik sudah menguasai diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Perhimpunan di Stadium Shah Alam itu dianjurkan oleh lebih 48 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan ia tidak melibatkan parti-parti politik.
Penganjurannya bagi membantah usaha pihak tertentu memurtadkan umat Islam di sebuah gereja di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini yang turut menyinggung Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda mezahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah umat Islam di negeri tersebut.
A. Rahman berkata, adalah satu perkembangan yang positif jika orang Islam dapat bersatu dalam perhimpunan itu sekali gus boleh menjadi landasan untuk penyatuan dalam perkara lain secara berperingkat-peringkat.
Menurutnya, umat Islam perlu sedar ancaman murtad yang sedang dihadapi melalui gerakan halus tanpa disedari dan usaha terancang pihak tertentu.
Beliau berkata, akidah adalah isu pokok kepada umat Islam dan amat malang bagi penganut sekiranya gagal bersatu dalam perkara asas yang tidak boleh dikompromi dalam apa juga keadaan.
“Adalah menyedih dan memeranjatkan apabila tindakan memerangi murtad dipertikaikan pihak tertentu. Sepatutnya, kita sama-sama menyokong sebarang bentuk usaha untuk memesongkan akidah umat Islam,” katanya.
Umat Islam yang mempertikaikan titah Sultan Selangor dan tindakan JAIS menyiasat gereja itu untuk memurtadkan umat Islam wajib diperangi dalam apa juga keadaan.
No comments:
Post a Comment