Tuesday, August 9, 2011

kemiskinan membawa kepada kekufuran

Kesempitan hidup, berbuka puasa di gereja?

HARIZ CHONG
UiTM Shah Alam

SAYA terpanggil untuk mengulas berhubung isu serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja baru-baru ini. Sangat mengejutkan terutama sekali bagi penduduk majoriti negara ini ia berlaku tatkala umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Keadaan ini benar-benar membimbangkan kerana serbuan baru-baru ini bukanlah kali pertama dilakukan malah pernah kejadian yang serupa berlaku seawal tahun 2005 lagi.

Pada mulanya ketika pertama kali melihat situasi ini saya amat terkejut kerana tindakan Jais amat memalukan kerana menyerbu majlis keagamaan tanpa amaran, namun setelah diamati serbuan JAIS itu ada asasnya kerana terdapat laporan dan dikhabarkan terdapat orang Melayu dan beragama islam yang menghadiri majlis tersebut tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Dr. Hasan Mohd. Ali bertegas mempertahankan tindakan Jais kerana terdapat bukti majlis itu mempunyai unsur-unsur pendakwaan terhadap orang Islam, walaupun tindakannya mendapat tentangan daripada teman seperjuangannya.

Bagi saya dalam situasi ini, JAIS dan Dr. Hasan tidak wajar dikritik kerana tindakan mereka berdasarkan laporan dan bukti. Benar, kita perlu hormat menghormati walaupun berlainan agama tetapi di dalam situasi ini ia melibatkan maruah agama Islam.

Ada pihak mengatakan serbuan JAIS itu bertentangan dengan ajaran Islam tetapi apa yang membuatkan saya berasa sangsi ialah semasa pemeriksaan sedang dijalankan oleh pihak Jais, terdapat sebilangan orang Islam yang menghadiri majlis tersebut cuba melarikan diri melalui pintu belakang gereja tersebut. Dan lebih memeranjatkan orang yang menganjurkan majlis di gereja tersebut adalah orang yang beragama Islam!

Saya difahamkan mereka yang ditahan hanyalah sebilangan kecil yang dapat dikesan malah kegiatan ini dipercayai telah berkembang di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Kepada orang Islam yang ditahan, saya tidak menyalahkan anda 100 peratus kerana dikhabarkan mereka berkelakuan demikian kerana kesempitan hidup. Berdasarkan apa yang saya baca di akhbar-akhbar tempatan, gereja menyasarkan golongan yang mengalami kesempitan hidup dan juga golongan mualaf.

Pengakuan seorang ibu tunggal yang mengalami kesempitan wang dan terpaksa menyara anak-anaknya benar-benar menguatkan kebenaran situasi ini. Dia memberitahu pihak gereja berusaha mempengaruhinya untuk menerima bantuan kewangan termasuk menanggung pendidikan anak-anaknya namun dia telah menolak kerana terdapat jiran yang telah memandang serong kepadanya.

Tambahan lagi, terdapat seorang yang mengaku terlibat terpaksa menerima bantuan daripada pihak gereja kerana permohonannya untuk mendapatkan bantuan telah ditolak oleh Baitulmal atas alasan yang tidak munasabah.

Keadaan ini benar-benar menyedihkan kerana Baitulmal sepatutnya memainkan peranan mereka untuk membantu umat Islam yang mengalami kesempitan hidup kerana jika tidak akidah mereka akan mudah dipesongkan oleh pihak lain.

Kepada mereka yang ditahan dan juga yang sedang mengikuti pergerakan 'bawah tanah' ini saya ada soalan untuk anda, sanggupkah anda menggadaikan agama Islam demi wang ringgit?

Bertaubatlah dan ingatlah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang bersusah payah menegakkan agama Islam sehingga baginda mempertaruhkan nyawa demi agama yang suci ini. Bertaubatlah. Allah Maha Pengampun.

No comments:

Post a Comment