Monday, July 4, 2011

SPR Jawap Bersih

SPR jawab tuntutan Bersih

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@yahoo.com

TINGGAL lima hari sahaja lagi sebelum penentuan sama ada perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan diteruskan atau berjaya disekat pihak berkuasa. Namun, hakikatnya Bersih sendiri mungkin sudah hilang kawalan terhadap perhimpunan haram itu kerana diambil alih warga parti politik pembangkang dan bukannya penyokong sebenar lapan tuntutan asalnya.

Lapan tuntutan itu adalah bersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, gunakan dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Untuk memberi peluang Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjawab tuntutan Bersih itu, Institut Perkembangan Minda (Inmind) telah mengadakan sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media, wakil agensi kerajaan serta pelajar baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan, lapan tuntutan yang dikemukakan kini bukan semuanya ditujukan kepada SPR sementara sesetengah perkara lain dibangkitkan oleh parti politik.

Berkenaan senarai pengundi berdaftar, beliau menegaskan tuntutan ini tidak perlu dibangkitkan kerana jelas sekali ia bermotifkan politik semata-mata. Menurut beliau, daftar pemilih untuk lebih 12 juta orang pengundi telah dikemas kini sejak alamat mengundi mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja iaitu alamat pada MyKad pengundi bermula 2002.

"Sebelum itu, banyak pendaftaran yang tidak mengikut alamat rumah sebenar tetapi mengikut suka individu yang membawa senarai nama mendaftarkan pemilih.

"Kerana itu kita maklumkan supaya pengundi menyemak alamat berdaftar mereka untuk dibersihkan kerana SPR tiada kuasa untuk menukar alamat tersebut tanpa dipohon sendiri individu berkenaan," katanya.

Tambahnya, umum juga perlu faham seseorang itu berhak mendaftar alamat mengundi di kampung halamannya dan bukan di tempat dia bermastautin seperti diamalkan lebih 40 peratus pengundi berdaftar kini.

"Walaupun ada undang-undang menetapkan alamat perlu dikemaskini dengan JPN selepas tiga bulan berpindah, tidak ramai melakukannya kerana urusan harian tidak mengikut alamat pada MyKad.

"SPR hanya ikut alamat yang didaftarkan dengan JPN dan kami tiada hak mengubahnya. Malangnya, dicanang-canangkan pula kepada orang kampung kononnya pengundi hantu 'dah balik' oleh pihak tertentu," ujarnya.

Beliau turut menegaskan, adalah mustahil untuk seseorang mendaftar dua kali sebagai pengundi selepas aplikasi 12 digit individu pada Mykad dan sistem berkomputer. Untuk lebih telus, SPR telah melancarkan sistem pemeriksaan alamat berdaftar pengundi mulai 1 Julai lalu yang boleh diperiksa melalui laman web rasminya.

"Dengan menggunakan 12 digit individu pada MyKad, pengundi bukan sahaja boleh memeriksa alamat di mana dia berdaftar malahan nama semua individu (keluarga) yang berdaftar di alamat yang sama. Mereka juga boleh melaporkan jika ada individu tidak berkenaan berdaftar di alamat mereka kepada SPR untuk siasatan lanjut," jelasnya.

Dengan mengikut maklumat terkini daripada JPN, SPR bukan sahaja dapat menentukan alamat berdaftar individu, malahan menentukan sama ada penama masih hidup, warganegara dan banyak maklumat lain.

Wan Ahmad menjelaskan, SPR hanya akan berpandu kepada maklumat JPN mengenai kematian pengundi dan bukannya mengikut cakap sesiapa sahaja.

"Sejak 2001, JPN telah mempunyai sistem pemeriksaan atas talian dengan SPR menggunakan 12 digit individu pada MyKad yang dikemas kini setiap 24 jam, serentak mengemas kini maklumat SPR.

"Malangnya, maklumat kematian bergantung kepada waris untuk mengemaskini ia dengan JPN dan kesukaran paling banyak timbul untuk penduduk pedalaman di Sabah dan Sarawak yang sukar ke pejabat JPN," katanya.

Menurutnya lagi, tiada daftar pengundi di dunia yang bersih 100 peratus memandangkan faktor seperti kematian tidak boleh diagak dan berlaku sepanjang masa.

Berkenaan undi pos, Wan Ahmad memaklumkan pihaknya sedang membuat penambahbaikan tetapi tidak boleh memansuhkan terus kaedah itu kerana tidak adil kepada rakyat yang bertugas pada hari mengundi atau di luar negara.

Antara individu yang dibenarkan membuang undi melalui pos adalah polis, tentera, pelajar sepenuh masa di luar negara dan kakitangan kerajaan yang bertugas di luar negara berserta ahli keluarga mereka.

"Peraturan tentera menetapkan mereka perlu ada di dalam kem sementara sebahagian lagi bertugas di luar seperti mana polis yang bertugas pada hari mengundi.

"Terkini, kita akan kukuhkan lagi undi pos dan akan laksanakan undian awal mulai Pilihan Raya Umum Ke-13," ujarnya.

Selain itu, beliau menegaskan ejen parti-parti politik juga kini dibenarkan memantau undi pos di kem dan ibu pejabat polis hasil usaha penambahbaikan itu.

"Kelak, SPR sendiri yang akan menguruskan undi pos dan bukan tentera atau polis. Kita juga sedang mengkaji undi pos untuk petugas media," jelasnya.

Berhubung dakwat kekal, Wan Ahmad menjelaskan penggunaannya umpama satu langkah ke belakang sedangkan sistem 12 digit individu pada MyKad merupakan antara tercanggih di dunia.

"Tiada seorang pun rakyat kita yang mempunyai dua siri nombor berbeza, melainkan dia membuat MyKad palsu, dan kerana itu juga kita gunakan sistem biometrik dan mengikut maklumat asal JPN.

"Oleh itu, tidak perlulah kita patah balik ke belakang menggunakan dakwat kerana sistem itu digunakan negara yang tidak memiliki sistem seperti MyKad serta mempunyai berpuluh juta pengundi, kita cuma ada 12 juta," katanya.

Beliau memaklumkan penggunaan dakwat itu juga bercanggah dengan Perlembagaan negara dan pindaan perlu dibuat jika kaedah itu tetap mahu dilaksanakan.

"Sebelum pilihan raya umum pada 2008, kami dimaklumkan dua laporan polis telah dibuat menyatakan dakwat kekal dibeli dan dibawa masuk dari Thailand dan berisiko digunakan untuk mencalit jari penduduk kampung (yang tidak fahami penggunaannya).

"Perlembagaan negara melindungi hak pengundi berdaftar membuang undi walaupun jika dia menolak dicalit dakwat kekal dan jika tidak dipinda, pasti akan dicabar keputusan pilihan raya itu oleh pihak yang kalah," ujarnya.

Akhir sekali berkenaan 21 hari berkempen, Wan Ahmad menjelaskan tempoh kempen yang diberikan sudah berpatutan untuk rakyat dan negara ini.

"Kita sudah jelaskan tetapi ada antara mereka banyak terpengaruh dengan cara di negara luar. Indonesia contohnya berkempen selama satu bulan kerana mempunyai ribuan pulau dan lebih 100 juta pengundi.

"Kita kena lihat realiti di sini dan yang terbaik untuk negara. Apa gunanya kempen lama sehingga habiskan duit calon berkempen dan polis perlu kerja siang malam? Berapa banyak bajet negara akan habis," tegasnya.

"Saya rasa Ambiga sudah terikat kerana membiarkan dirinya digunakan (pembangkang) tetapi janganlah menuntut sehingga tiada ruang rundingan dan menggadaikan keharmonian, ekonomi serta keselamatan rakyat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment