Sunday, July 3, 2011

hari penentuan

Menghadapi hari penentuan

Sapu Bersih Awang lega kerana pihak berkuasa tidak lagi asyik bermain dengan amaran berhubung perhimpunan haram Bersih 9 Julai ini.

Setelah menerima tekanan daripada majoriti rakyat pelbagai kaum termasuk lebih 2,800 aduan polis membantah perhimpunan itu, polis mula bertindak tegas menerusi pendekatan pencegahan.

Percubaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mahu menghidupkan fahaman komunis dan meresap ke perhimpunan Bersih, berjaya digagalkan.

Ramai di cekup termasuk beberapa Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada parti pembangkang. Malah ada yang ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) kerana dipercayai terlibat dengan anasir subversif. Banyak barangan dan bahan mempromosi Bersih turut dirampas. Awang percaya majoriti rakyat seakan mendapat keyakinan baru terhadap pelbagai langkah yang diambil oleh pihak berkuasa.

Tahniah kepada polis. Awang harap polis akan bertindak 'sapu bersih' sesiapa sahaja yang mencabar undang-undang dan cuba menggugat keamanan. Ini termasuk Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, timbalannya, Mohamad Sabu yang juga Timbalan Presiden Pas dan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Anwar sangat memerlukan perhimpunan itu untuk rangsangan baru politik beliau dan menutup isu moral termasuk rakaman video seks bersama wanita dipercayai pelacur. Satu kajian baru-baru ini mendapati, rating pemimpin PKR itu merudum teruk.

Harapan besar Ambiga dan Anwar bergantung kepada ramai ahli Pas menyertai perhimpunan itu. Seperti biasa, Pas mahu diperbodohkan oleh seorang yang dilihat oleh banyak pihak sebagai anti-Islam sementara seorang lagi pengkhianat Islam.

Awang yakin bukan semua ahli Pas akan termakan muslihat kedua-dua tokoh itu. Beberapa teman Awang dalam Pas juga bosan kerana parti itu terpaksa mencuci segala 'najis' yang ditinggalkan oleh Anwar. Anehnya peranan itu tidak dimainkan oleh DAP yang lebih banyak mencorakkan percaturan.

Dengan kata lain, perhimpunan Bersih itu nanti adalah satu lagi aktiviti membasuh 'najis' Anwar, yang tidak pernah berlaku kepada pemimpin pembangkang negara lain. Ambiga juga mesti disiasat habis-habisan termasuk dana luar yang menyusup kepada sekretariat Bersih. Fikirkan sejenak mengapa dia begitu angkuh dan keterlaluan? Bongkarlah semuanya, pastikan akan ada kejutan.

Semboyan berbunyi... Awang menyokong keputusan polis menutup rundingan selepas nasihat kepada penganjur perhimpunan Bersih tidak diendahkan. Maka suhu menjelang perhimpunan itu makin berbahang. Semalam, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, perhimpunan haram tersebut perlu ditentang habis-habisan kerana ia mendatangkan keburukan kepada negara.

Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak turut memberikan peringatan tegas kepada pihak penganjur terutamanya Ambiga. Selain pemimpin, begitu banyak pihak terutama NGO menyampaikan kata dua membantah penganjuran Bersih, sehingga tidak cukup ruang bagi media menyiarkannya.

Ini termasuk reaksi NGO dan warga kota ke atas kenyataan, Mohamad Sabu kononnya perhimpunan Bersih tidak akan sama sekali menjejaskan aktiviti mencari rezeki, pelancongan mahupun ekonomi di ibu negara. Malah beliau menempelak penjaja dan pemandu teksi agar cari makan di kawasan pedalaman jika tidak menyokong Bersih.

Pada Awang, ini satu penghinaan kepada pelbagai pihak dan warga kota yang cintakan keamanan. Awang juga simpati kepada Pas kerana Timbalan Presidennya mempunyai pandangan yang amat dangkal. Jika tidak boleh menggunakan hujah yang bernas, berdiam sahaja, jangan memalukan parti itu.

Awang boleh faham mengapa ramai ahli Pas yang terkilan apabila Mohamad Sabu menang sebagai pemimpin nombor dua parti. Ketika sebahagian pemimpin Pas hanyut ikut telunjuk Ambiga, syukur kerana banyak ulama tampil menolak perhimpunan tersebut, yang ternyata memudaratkan kepentingan Islam.

Semalam juga, para pemimpin pertubuhan silat mengadakan pertemuan sambil berikrar untuk berdepan dengan demonstrasi Bersih yang bermotif kotor dan jahat. Awang sangat setuju. Bersih mempunyai agenda tersirat untuk mencetuskan anarki dan bagi membuka pintu kepada campur tangan asing. Yang paling mendapat keuntungan besar ialah DAP dan Ambiga. Anwar pula menjadi pengkhianat sama dengan kisah seorang pembesar Umayiyuddin al-Aqami di zaman Bani Abassiyah.

Kerana bercita-cita besar mahu menjadi khalifah atau pembesar agung, Umayiyudin bersubahat dengan tentera Monggol yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Bani Abassiyah, empayar Islam yang terunggul ketika itu. Dalam kaitan Malaysia jika Bersih berjaya, ia akan menjadi titik permulaan kepada usaha merungkai Perlembagaan negara.

Maka sekiranya ramai yang membara jiwa mereka membantah Bersih, ia harus dimengertikan. ''Kami pergi untuk pertahankan keamanan dan mungkin takkan kembali,'' demikian antara kata-kata beberapa guru silat dalam perbincangan di Kampung Baru semalam.

Dengan kata lain, jika penganjur Bersih tetap berdegil, biarlah api dilawan api. Ambiga dan Anwar tidak boleh beraja di mata, bertakhta di hati. Beberapa hari menjelang Sabtu ini, akan menjadi penentuan sebenar. Apa yang berlaku sekalipun, pasrahkan sahaja demi kedaulatan negara bertuah ini. Semboyan sudah berbunyi.

Karpal dan iblis Pengerusi DAP, Karpal Singh melabelkan Utusan Malaysia sebagai 'Utusan iblis' pada satu perbahasan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Perkataan itu dihamburkan dalam nada marah ketika melahirkan rasa tidak puas hati terhadap media arus perdana termasuk akhbar tersebut kerana mendedahkan identiti anak guamnya, Anwar Ibrahim dalam kes perbicaraan video trio Datuk T.

Awang tidak faham mengapa beliau perlu melatah. Apa yang disiarkan oleh media ketika perbicaraan itu adalah fakta kes. Fakta tetap fakta. Ini termasuk laporan dua pakar dari Amerika Syarikat (AS) bahawa video itu adalah tulen dan pelakunya 99.9 peratus menyerupai Anwar. Orang ramai yang telah menonton video itu juga rata-ratanya yakin bahawa Anwar adalah orang berkenaan.

Pada zaman moden ini, rakyat semakin bijak menilai. Bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan nyiru! Lalu Awang teringatkan bagaimana Karpal pernah mendedahkan pada 1997 bahawa beliau mempunyai bukti Anwar terlibat dengan gejala seks sejenis.

Karpal jauh lebih ke hadapan mengaitkan Anwar biarpun ketika itu bukti belum kukuh. Apakah perbuatan itu wajar? Beliau juga pernah menasihatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu supaya bertaubat. Selepas Anwar menyertai pembangkang, Karpal seperti lalang, tutup mulut dalam isu moral Anwar malah bertindak menjadi peguam belanya.

Beliau juga pernah lantang mendesak Naib Presiden MIC, D.P Vijandran meletak jawatan dan diambil tindakan ekoran terbongkarnya skandal video seks. Apabila ia melibatkan skandal video seks Anwar, Karpal seperti tikus berdiam. Ternyata beliau bersikap dwi standard.

Pada sesi perbahasan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Ibrahim Ali bertindak segera menyanggah Karpal. Menurut Ibrahim, ia membuktikan Karpal adalah peguam samseng. ''Jika dia mengata Utusan itu iblis, dia sebenarnya datuk iblis,'' Mendalam sungguh maknanya. Biarlah orang ramai terutama umat Islam renungkan. Antara tindak-tanduk Karpal yang iblis berpesta terlalu gembira ialah kenyataannya 'langkah mayat saya sebelum (Pas) menubuhkan negara Islam'. Pendirian yang keras itu dipertahankan oleh Karpal sehingga hari ini.

Akhirnya Pas terpaksa menukar polisi daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara kebajikan, yang sebenarnya telah lama dipelopori oleh kerajaan BN. Itulah kejayaan terbesar Karpal, selain melindungi pengkhianat Islam untuk agenda DAP bagi menjayakan gagasan Malaysian Malaysia.

Sesungguhnya Awang tidak ambil pusing istilah iblis terhadap Utusan yang beliau hamburkan. Ia umpama seekor lalat yang menghurungi sisa makanan. Cuma Awang simpati beliau meniti usia tua dengan reputasi dan integriti sebagai peguam yang kini tercemar teruk. Karpal sudah tiada nilai dan tiada kelas. Dia yang menghina dirinya sendiri. Kasihan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment