Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Tuesday, July 26, 2011
hak raja
Hak Raja Berperlembagaan
Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sewaktu bertitah di Majlis Wacana Ilmu di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, semalam.
Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan inayat dari-Nya juga, Beta dapat berangkat ke Universiti Teknologi Mara untuk mengatur kata - merangkai ayat, mengungkap pandangan - menzahirkan pendapat atas mauduk 'Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga'. Terkandung tiga kata kunci dalam mauduk yang akan dihuraikan; pertama: Institusi Raja Melayu, kedua: warga, dan ketiga: memupuk perpaduan.
Tema ini berpotensi mengundang pelbagai pandangan. Semoga di sebalik segala kepelbagaian pandangan itu, pada akhirnya nanti, kita akan bersua dalam satu laluan intelek yang membolehkan berlakunya pertemuan pemikiran secara objektif lagi rasional; menerima hakikat bahawa perbezaan pandangan itu sebenarnya adalah satu kekuatan yang dapat membantu berlakunya perseimbangan dan konsensus dalam hasrat membina satu persefahaman - satu semangat, untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka, gagah lagi perkasa, adil lagi saksama, makmur lagi sejahtera.
Sembilan Raja Melayu bersemayam di takhta pemerintahan di sembilan negeri berdaulat sebelum terbinanya sebuah Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu, adalah gabungan sembilan negeri berdaulat dengan dua Negeri Selat, dilahirkan setelah mendapat perkenan sembilan Raja Melayu, diperluaskan kemudiannya dengan penyertaan Sabah dan Sarawak untuk membentuk negara Malaysia.
Perpaduan dimulakan dari puncak takhta pemerintahan, di antara Raja dengan pembesar negeri, di antara pembesar negeri sesama pembesar negeri, di antara rakyat sesama rakyat dan yang lebih utama di antara Raja dengan rakyat. Terungkap kata-kata kesetiaan, 'Bahawa Raja dan rakyat berpisah tiada'. Betapa pentingnya ikatan Raja dan rakyat itu terkandung dalam titah amanat Sultan Alauddin kepada anakanda Baginda,
Islam, adat dan muafakat merupakan serapah sakti dalam menggariskan tatanegara sosial dan sivil hingga berjaya mendaulatkan pemerintahan Raja Melayu serta berperanan sebagai perekat sosial terselindung, berupaya menyatupadukan warga; dan betapa dalam budaya Kerajaan Kesultanan Melayu, tiga elemen utama tersebut berjaya disepadukan, berperanan sebagai instrumen berkesan, membendung sebarang kemungkinan yang boleh mencetuskan persengketaan.
Memupuk perpaduan adalah impian besar, adalah hasrat besar - adalah tugas besar. Impian, hasrat dan tugas besar tidak mungkin dicapai melalui formula yang terlalu simplistic. Ia tidak dapat dicapai melalui sambutan berunsur perayaan - melalui pesta - melalui jamuan - melalui perhimpunan.
Ia tidak dapat dicapai melalui slogan, melalui nyanyian, melalui adukan pelbagai tarian dalam irama yang satu, melalui pakaian batik yang seragam. Ia tidak dapat dicapai melalui program politik yang berpihak - melalui program agama yang berpuak - melalui program berbentuk kosmetik.
Usaha memupuk perpaduan memerlukan ramuan yang lebih kreatif, pendekatan yang lebih efektif, pelaksanaan yang lebih konsisten, minda yang lebih terbuka, Lebih dari itu ia menuntut kepada perekayasaan dasar, menuntut kepada program bertindak yang realistik lagi produktif, lahir dari ketulusan hati - dicetus dari kejujuran niat; dibeningkan dengan sifat rendah diri - diheningkan dengan sifat yang tidak angkuh.
Ia memerlukan pelaksanaan yang bersungguh oleh individu - oleh organisasi - oleh institusi yang benar-benar komited; hingga gerak kerja dan pendekatannya benar-benar menyentuh sanubari warga - dihayati warga; hingga memberikan keyakinan kepada warga akan hasil dan nikmat dari kejayaan pelaksanaannya.
Peristiwa tertentu yang berlaku di dalam negara kebelakangan ini semakin bercanggah dengan semangat perpaduan. Ia lebih berbentuk menongkah arus. Ia lebih menjurus kepada perpecahan. Suhu politik negara semakin panas. Gendang politik semakin dipalu, suhu politik semakin membara, mendidihkan lava-lava persengketaan, menanti masa untuk meluap. Suara perpaduan semakin jauh dibawa angin.
Suasana politik semasa semakin mencalarkan nama negara. Negara sedang menghadapi ujian berbentuk krisis persepsi, akibat dari pertentangan politik yang semakin memisahkan. Sentimen dan emosi semakin menguasai pemikiran warga, fakta dan kenyataan semakin kehilangan kekuatan.
Semangat berunding - semangat bersefahaman - semangat saling menghormati bagai tidak diperlukan lagi. Senario ini menuntut negara - menuntut warga melakukan pemeriksaan semula asas-asas andaian sedia ada dalam menghadapi era perubahan dan dalam menghadapi tuntutan kepada perubahan yang berlaku pada kadar terlalu pantas.
Ada asasnya kepada tafsiran bahawa faktor agama, faktor kaum, faktor budaya dan faktor bahasa menjadi penyebab kepada perselisihan; sama ada dicetuskan dari penggunaan kalimah Allah atau dicetuskan dari penggunaan perkataan tertentu di dalam sebuah novel. Benar, peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa pahit yang tercetus di antara Melayu dan bukan Melayu, tetapi kita juga harus bertanya sama ada perselisihan kaum itu semata-mata berpunca dari rasa allergy dan tiada toleransi di antara Melayu dengan bukan Melayu.
Hakikat yang ditemui kemudiannya, memperlihatkan terdapat banyak elemen lain, yang sedikit demi sedikit menyemaikan benih-benih keresahan. Sentimen perkauman hanya dijadikan kuda tunggangan apabila keresahan sudah tidak dapat dibendung lagi.
Apabila pemimpin menyedari kesilapan, bersedia mengakui kelemahan, insaf dan memilih untuk bermuhasabah, maka akan dilimpahkan rahmat oleh Ilahi; dan Allah Yang Maha Berkuasa akan membimbing umat-Nya menemui jalan yang diredai.
Hari ini tidak bijak, jika negara dan warga memilih untuk menafikan realiti hingga kabur pandangan kepada sebab musabab sebenar yang menjadi punca menjejaskan perpaduan. Adalah benar, persaingan politik semakin sengit; adalah benar isu agama dan isu kaum amat sensitif.
Namun persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum, untuk mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati warga yang lebih rencam; menyentuh integriti, rasuah, penyalahgunaan kuasa, agihan kekayaan, sistem penyampaian, pengangguran, perumahan, inflasi, pendatang asing, kebebasan media dan bermacam-macam lagi, perkara-perkara yang menyentuh kehidupan harian rakyat, perkara yang generasi muda terpelajar menuntut kepada pembaharuan. Keresahan-keresahan warga kini semakin menyalakan sekam kemarahan.
Bagaimanakah Raja dapat berperanan secara bermakna, sekiranya Raja senantiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran. Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja; menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggung jawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga. Malah dibimbangkan perbuatan melindungi Raja dari kebenaran akan semakin memisahkan Raja dengan warga.
Amat sulit untuk membicarakan soal integriti, soal kenegaraan, soal kesetiaan dan soal perpaduan kepada warga yang sedang mengharungi tekanan hidup. Amat mudah sentimen warga dieksploitasi dan amat mudah untuk mereka termakan janji. Preskripsi yang menyembuhkan hanya dapat diberikan jika sindrom yang sebenar dikenal pasti; lalu membawa ingatan Beta kepada dialog di antara Bendahara Paduka Raja dengan Sultan 'Alauddin ketika Baginda menziarahi Bendahara Paduka Raja yang sedang tenat sakit. Bendahara Paduka Raja secara tegas berdatang sembah dengan kata-kata berikut:
"Hendaklah jangan tuanku dengar-dengaran akan sembah orang yang tiada sebenarnya, jikalau tuanku dengarkan sembah orang yang sedemikian itu akibatnya tuanku menyesal. Yang kehendak nafsu jangan tuanku turutkan, karena banyak raja-raja yang dibinasakan Allah Taala kerajaannya sebab menurut hawa nafsunya."
- Petikan dari Sulalat-al Salatin
Berpandukan petikan tersebut amatlah penting untuk Raja tidak dilindungi dari kebenaran. Raja perlu disembah maklumkan secara berterus terang cerita sebenar. Raja jangan sama sekali dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri hingga Raja tergamak diperalatkan.
Di sebaliknya Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar. Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.
Istana mungkin dilindungi pagar tinggi secara fizikal, namun ia tidak menghalang kepada berita dan peristiwa menembusi jendela - menembusi pintu istana. Kerana Raja bukan monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa - tanpa jiwa, sekadar pelengkap, memenuhi adat rakyat beraja - negeri bersultan, sekadar simbol untuk menyempurnakan tugas-tugas keraian, sekadar hadir memenuhi acara dan istiadat.
Segala yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, ruang pendengaran dan ruang pertuturan Raja. Segala yang berlaku diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita, diimbangkan berita.
Hikmah dan kebijaksanaan amat penting untuk mentafsir secara saksama akan situasi rumit yang sedang berlegar dalam orbit negara ketika ini. Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan, tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua; tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama. Jika suhu politik semakin panas, dikhuatirkan impian untuk membina perpaduan mungkin akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan.
Oleh itu perlu ada institusi yang credible untuk menurunkan suhu yang semakin panas; perlu ada institusi yang kekal berkecuali; institusi yang dapat diterima untuk membantu menenangkan suasana. Untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas segala polemik politik.
Tetapi Raja juga ada amanah - ada tanggung jawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun - secara damai. Raja perlu menggunakan kebijaksanaan akal bicara, memilih sebaik ketika dalam ruang kuasa yang diperuntukkan untuk menenangkan situasi. Namun Raja tidak ada lampu ajaib mengupayakan Raja memupuk perpaduan dalam sekelip mata - dengan sebaris kata, jika suasana sudah terlalu berkecamuk.
Sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberikan nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara akan tanggung jawab masing-masing supaya Raja tidak disalah tafsir mahu mencerobohi sempadan dengan mencampuri secara langsung urus tadbir negara.
Bahawa Raja Berperlembagaan turut memiliki tiga hak untuk memenuhi peranannya, iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran yang boleh dilaksanakan secara bijaksana lagi berhemah.
Secara umum, peranan Raja terbatas bertindak atas nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat. Namun Raja juga tidak harus sama sekali tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan, jika nasihat yang disembahkan amat bercanggah dengan semangat Perlembagaan, amat bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta amat melanggar prinsip keadilan sejagat.
Tugas lebih langsung terletak di bahu pelbagai instrumen negara. Kredibiliti beberapa instrumen negara memerlukan usaha pemulihan persepsi dan ada yang memerlukan penambahbaikan selaras dengan dinamik dunia semasa dalam hasrat mengembalikan keyakinan warga.
Senario politik negara selepas Pilihan Raya kedua belas sangat berbeza . Perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang. Perlu ada penerimaan kepada realiti. Perlu ada fahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam. Perlu ada kematangan dalam menyampaikan teguran - perlu ada etika ketika menyuarakan kritikan.
Teguran dan kritikan untuk penambahbaikan, positif nadanya dan positif penerimaannya; tetapi teguran dan kritikan dengan tujuan mendatangkan keaiban peribadi dan merendahkan lawan politik, negatif coraknya dan negatif hasilnya. Perlu diterima hakikat menang kalah dalam demokrasi. Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan.
Ketika kesetiaan warga kepada negeri masing-masing begitu mendalam - ketika warga memiliki kebanggaan terhadap warisan, adat dan tradisi setempat, Raja-Raja Melayu telah mempamerkan jiwa besar memberi perkenan menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing untuk membolehkan penubuhan sebuah Persekutuan, sebuah negara bangsa yang lebih besar dan lebih agung.
Sesungguhnya Sembilan Raja Melayu pada hakikatnya telah membuktikan sebaik contoh semangat perpaduan dengan kerelaan menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing untuk membolehkan tertubuhnya sebuah Persekutuan di bawah konsep Federal isme. Majlis Raja-Raja adalah satu forum penyatuan membawa pemerintah negeri ke forum yang sama secara berkala dan telah membantu memperkukuhkan konsep Persekutuan.
Konsep Persekutuan yang dibentuk wajib difahami sedalam-dalamnya untuk memastikan berlaku keharmonian dalam hubungan Persekutuan dengan negeri. Perselisihan pemimpin akan mempengaruhi hubungan warga dan menjadi faktor penghalang kepada pencapaian perpaduan. Terkandung agihan kuasa di antara Pusat dan Negeri dan jaminan autonomi negeri secara selektif dalam bidang tertentu.
Pilihan raya kedua belas telah menukar landskap politik negara dan memerlukan tafsiran yang lebih konstruktif demi menjamin perpaduan warga tidak terjejas, demi mengelak tumbuhnya kembali sentimen kenegerian yang parokial sifatnya, yang berpotensi mencetuskan keretakan di kalangan warga.
Apa yang pada suatu ketika dahulu dianggap pada asas sebagai satu institusi Melayu kini diterima oleh semua pihak sebagai faktor penyatuan. Raja-Raja tidak sama sekali dipinggirkan malah merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat umum yang ketara memberi sumbangan kepada ketenteraman negara dan perpaduan warga.
Pemerintahan beraja di Malaysia pasti berupaya memenuhi peranan proaktif dalam memupuk semangat 'satu komuniti - satu negara' yang diimpikan. Disebabkan kedudukan istimewa mereka di dalam masyarakat, Institusi Raja-Raja bertenaga memenuhi peranan secara lebih bermakna.
Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Dalam dinamik politik yang sedang berlaku, bertambah penting bagi Raja untuk berada di atas segala yang sedang berlaku - bersifat berkecuali supaya dalam keadaan berlakunya krisis, Institusi Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak.
Sebagai payung negara, Institusi Raja wajib memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum atau agama seperti yang tersurat dalam salah satu dari Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu. Sebagai Ketua Agama Islam dan pelindung kepada adat Melayu, Institusi Raja bertanggung jawab memastikan kesucian Islam tidak tercemar dan identiti bangsa kekal dilindungi. Raja adalah payung kedaulatan negara.
Payung kedaulatan negara ini jangan sama sekali dirosakkan - jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah pun turun. Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga - lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan.
Semoga Raja Kita Selamat Bertakhta.
No comments:
Post a Comment