Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Thursday, July 7, 2011
bershit
Elak pertikai tindakan PM
Oleh FAISAL AHMAD
S. Ambiga memberi penerangan mengenai cadangan mengadakan perhimpunan Bersih 2.0 di Stadium Merdeka pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur, semalam. – utusan/SAIFUL BAHARI ASHARI
TINDAKAN yang diambil oleh Perdana Menteri iaitu menawarkan stadium untuk penganjur perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan adalah satu langkah yang bijak dan bertanggungjawab.
Tindakan penganjur menerimanya juga satu langkah bagus.
Bagus dari segenap sudut. Bagus dari sudut keselamatan serta imej negara dan bagus juga untuk politik kepada Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN). Akhirnya penganjur yang keras kepala sebelum ini tunduk kepada seorang Perdana Menteri dari parti yang mereka keji, caci dan hina.
Suara-suara batu api mula kedengaran sejak kelmarin sebaik-baik sahaja penganjur perhimpunan menyatakan persetujuan menerima tawaran Perdana Menteri supaya perhimpunan yang dirancang di jalan raya dipindahkan ke dalam stadium.
Ada yang kata Perdana Menteri bekerjasama dengan pertubuhan haram kerana bersetuju berunding serta membenarkan pertubuhan haram mengadakan perhimpunan di stadium.
Satu perkara yang kita harus ingat dalam hal ini. Selain menjadi Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak juga adalah seorang Perdana Menteri. Maknanya Najib pakai tiga baju utama. Ada lagi baju-baju lain yang dipakainya. Setiap baju yang dipakainya mempunyai tanggungjawab serta tugas yang berbeza.
Tanggungjawab serta tugas Najib sebagai seorang Perdana Menteri berbeza dengan dua tugasnya yang lain. Sebagai seorang Perdana Menteri, Najib bertanggungjawab ke atas semua rakyat negara ini tanpa mengira fahaman politik, agama, bangsa atau mazhab.
Dalam isu perhimpunan jalanan yang dirancang Sabtu ini adalah menjadi tugas beliau untuk memastikan tidak ada perkara-perkara buruk yang berlaku. Soal mereka pertubuhan haram atau halal itu dah jadi perkara kedua. Soal keselamatan rakyat yang perlu diutamakan.
Tambahan pula apabila benda pelik-pelik telah djumpai oleh polis kelmarin. Bermacam-macam perkara boleh berlaku jika kerajaan terus membiarkan mereka berhimpun dan berarak di jalan raya.
Jika perkara buruk itu tidak dilakukan oleh mereka sekali pun , boleh jadi ia akan dilakukan oleh pihak-pihak asing yang sentiasa menunggu peluang untuk menghancurkan Malaysia. Kita kena ingat balik apa yang dituturkan oleh Shamsul Iskandar dan anak Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah kata rakyat Malaysia harus mengambil semangat apa yang terjadi di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir yang mana dalam kejadian itu lebih 800 orang terbunuh dan ribuan yang lain cedera. Manakala Shamsul Iskandar pula menghasut agar kerajaan digulingkan melalui jalan raya.
Apakah kita mahu itu terjadi? Mungkin Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga tidak berniat untuk melakukan begitu, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang telah memasang niat untuk melakukan begitu dalam perhimpunan tersebut?
Polis telah melarang agar perhimpunan tidak dilakukan di jalan raya, tetapi penganjur bertegas hendak melakukannya juga. Dalam perhimpunan yang lepas-lepas pun sama juga, polis larang tapi mereka lakukan juga walaupun penganjurnya seorang Menteri Besar.
Tapi tindakan polis kali ini agak luar biasa berbanding dengan yang lepas-lepas kerana difahamkan polis telah menghidu sesuatu yang tidak baik yang telah dirancang oleh penganjur atau mereka yang terlibat. Polis telah hidu yang mereka akan melakukan hura-hara. Buktinya dengan penemuan pelbagai senjata kelmarin.
Sekiranya penganjur tetap mengadakan perhimpunan di jalan raya Sabtu ini dan berlaku keganasan yang boleh menyebabkan kematian serta kecederaan seperti mana yang diseru oleh Nurul Izzah, siapakah yang mereka salahkan dan siapakah yang perlu bertanggungjawab? Sudah tentu Perdana Menteri dan polis yang disalahkan dan mereka perlu menjawabnya.
Peristiwa Memali yang berlaku lebih 20 tahun lalu sampai ke hari ini pun masih lagi dijadikan modal pembangkang.
Kematian Teoh Beng Hock yang bunuh diri itu pun boleh membuatkan kerajaan berpeluh jantan untuk menjawabnya, bagaimana pula sekiranya berlaku satu kematian dalam perhimpunan Sabtu ini jika mereka terus berhimpun di jalan raya?
Tidakkah berbuih mulut kerajaan dan polis untuk menjawabnya? Itu jika berlaku satu kematian, bagaimana pula jika lebih daripada satu yang mati?
Satu perkara yang kita kena ingat, dalam kepala pemimpin-pemimpin pembangkang bermacam-macam perkara yang mereka fikir supaya timbul huru-hara demi mencari keuntungan politik kepada mereka dalam PRU akan datang.
Tidak mustahil mereka akan menimbulkan huru-hara sesama mereka atau mengupah orang tertentu melakukan huru-hara sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. Apabila itu berlaku, mereka cepat-cepat lemparkan kesalahan kepada polis dan kerajaan. Mereka akan ceramah keliling negara 24 jam sehari untuk memburuk-burukkan kerajaan serta polis di atas kecelakaan yang terjadi.
Semenjak kejadian rusuhan di Kaherah awal tahun ini ramai pemimpin pembangkang yang meleleh air liur melihatnya dan mahu kejadian itu berlaku di Malaysia. Untuk memastikan impian mereka tercapai mereka sanggup lakukan apa sahaja.
Contohnya dalam kejadian seorang peniaga beras yang meninggal dunia semasa dikejar Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di Kelantan awal tahun ini, seorang pemimpin Pas Kelantan dalam ceramahnya cuba menghasut rakyat agar bertindak seperti rakyat Mesir.
Beliau menerangkan kejadian di Mesir bermula daripada seorang remaja yang dipukul polis dan satu kempen dijalan melalui Facebook (FB) dan itulah yang membuat rakyat Mesir bangkit di Dataran Tahrir. Taktik serupa cuba diguna pakai dalam kes itu apabila satu laman FB diwujudkan kononnya untuk menuntut keadilan kepada mangsa dan laman FB itu turut dipromosi oleh Harakah Daily.
Kerajaan yang bijak adalah kerajaan yang mengambil pendekatan berunding dengan musuh. Apabila berunding bukan bermakna kalah. Sebab itu saya puji pendekatan yang diambil oleh Najib dalam hal ini. Beliau bijak.
Berunding dengan musuh tanpa perlu menggunakan senjata dan menitiskan setitik darah adalah lebih baik daripada menewaskannya dengan menggunakan senjata dan mengorbankan ramai orang.
Sebenarnya tindakan berunding dengan pertubuhan haram kali ini bukannya tindakan kali pertama yang diambil kerajaan. Perkara ini pernah berlaku di Baling pada tahun 1955 yang dinamakan Rundingan Baling. Pada masa itu kerajaan bukan sahaja berunding dengan pertubuhan haram, malah berunding dengan pertubuhan pengganas komunis yang diketuai Chin Peng.
Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Rahim Noor pernah pergi berunding dengan Chin Peng di Haadyai, Thailand pada tahun 1989 yang akhirnya menyaksikan Parti Komunis Malaya (PKM) meletak senjata. Jika tidak sebelum itu rakyat kita yang tinggal di kawasan yang bersempadan dengan Thailand tidak tenteram hidup kerana takutkan komunis.
Kenapa pula pada masa itu tiada pihak yang pertikai kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap pengganas-pengganas komunis dan komunis pula tidak pertikai orangnya yang telah mati kerana bertempur dengan pasukan keselamatan negara?
Hari ini apabila kerajaan mengambil langkah berunding dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan haram Bersih, ada pula pihak mempertikaikan dan berpura-pura bertanya soalan kepada kerajaan tentang tindakan yang diambil oleh polis sebelum ini.
Apabila kerajaan sudi berunding dengan pertubuhan haram dan membenarkan mereka berhimpun bukan bermakna pertubuhan itu sudah halal.
Masih ingatkah anda pada peristiwa Al Maunah satu masa dulu? Jika hendak bertindak kasar, pihak berkuasa tentera dan polis boleh bertindak kasar. Pasukan elit komando tentera dan polis kita boleh bertindak menembak mati ahli kumpulan berkenaan sekelip mata sahaja.
Tapi oleh kerana kebijaksanaan Perdana Menteri pada masa itu, Dr. Mahathir, Menteri Pertahanan, Najib serta dibantu kebijaksanaan anggota-anggota tentera dan polis pada masa itu mereka menggunakan kaedah rundingan. Akhirnya semua ahli kumpulan Al Maunah menyerah diri hidup-hidup.
Itulah yang dinamakan buat kerja menggunakan akal fikiran dan bukannya menggunakan emosi. Berundur setapak ke belakang untuk maju seribu tapak ke hadapan.
Tindakan Najib menawarkan stadium kepada penganjur adalah satu langkah bijak yang perlu dipuji. Ia boleh menyelesaikan banyak masalah. Anggota-anggota polis juga tidak perlu lagi dikerah bertungkus lumus untuk mengawal keadaan pada hari berkenaan. Mereka boleh beri tumpuan kepada tugas hakiki.
Sekiranya apa-apa perkara buruk yang berlaku dalam stadium adalah menjadi tanggungjawab penganjur. Mereka tidak boleh lagi salahkan kerajaan atau polis.
FAIZAL AHMAD ialah penulis blog RBF
Online (ruangbicarafaisal.blogspot.com)
No comments:
Post a Comment