Pegangan tanah Melayu semakin mengecil, dihakis dan terus terhakis
Oleh Hassan Mohd. Noor
MINGGU lalu ketika melintasi kawasan bendang atau sawah padi di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, kelihatan anak-anak padi yang subur menghijau.
Syukurlah masih ada yang sanggup mengerjakan sawah ketika lebih ramai anak muda hanya berminat berada di bilik berhawa dingin walaupun sekadar operator pengeluaran.
Tidak pasti berapa lama tanah itu mampu bertahan sebagai sawah kerana di satu kawasan berhampiran jalan besar dan tali air, sawah itu sudah ditambak. Sebuah banglo juga sedang dalam pembinaan. Masih ada ruang kosong di situ yang khabarnya dijadikan tanah lot untuk dijual bagi membina rumah.
Di sebelah sawah yang sudah ditambak itu, masih kelihatan anak-anak padi yang sedang membesar. Adakah tanah itu mampu bertahan sebagai sawah? Lambat laun ia pasti mengikut ‘jirannya’ yang sudah ditambak dan bertukar status - tanah pertanian kepada perumahan - malahan mungkin akan bertukar pemilik.
Sebenarnya pemandangan sebegini sudah menjadi lumrah. Dulu sawah terbiar disebabkan tidak ada yang sanggup mengerjakannya. Ketika itu tanah terbiar akan bertukar menjadi kolam ikan, udang atau ditanam kelapa sawit. Kini tanah yang masih boleh dikerjakan itu juga sudah menjadi ‘buruan’ untuk ditukar statusnya.
Di kawasan Parlimen Permatang Pauh misalnya sudah lama sawah terbiar dan sesetengahnya masih subur telah dibangunkan dengan projek perumahan, kedai, pejabat, pusat membeli-belah dan institusi pendidikan. Ada juga sawah bertukar menjadi jalan raya atau lebuh raya.
Akhirnya saiz tanah sawah atau dikategorikan sebagai tanah pertanian yang kebanyakannya dimiliki orang Melayu semakin mengecil. Ini bermakna hak milik tanah orang Melayu terus berkurangan. Pada masa sama, tanah yang mampu menghasilkan makanan semakin berkurangan sementara jumlah penduduk termasuk yang tinggal di bekas tanah pertanian itu kian bertambah. Mereka juga memerlukan makanan.
Mungkin secara sinis kita boleh berkata, berapa sangat hasil tanah pertanian itu? Lebih baik kita mengimport makanan dari luar. Tetapi apabila harga makanan naik kerana diimport, maka siapakah yang akan mengeluh? Ketika negara pengeluar menghadapi bencana yang menyebabkan bekalan mereka juga berkurangan, kita juga gelisah. Ketika itu negara pengeluar makanan ini boleh ‘meletak harga’. Kita boleh membina kilang membuat makanan di atas tanah sawah tetapi tidak ada kilang mengeluarkan padi tiruan untuk dijadikan beras.
Hakikatnya, tanah terus berkurangan. Semakin ‘tua’ bumi ini, maka semakin berkurangan tanah - dihakis oleh pembangunan dan dihakis oleh pelbagai faktor alam. Mungkin inilah sebabnya kawasan pantai terpaksa ditambak untuk menambah keluasan tanah bagi tujuan pembangunan tetapi sekali lagi, kerja-kerja menambak itu juga memerlukan tanah. Akhirnya bukit bukau ditarah untuk menambak kawasan laut. Begitulah pusingan yang berlaku terhadap tanah di muka bumi ini.
Kembali ke Pulau Pinang, pegangan tanah Melayu di negeri itu juga semakin mengecil. Menurut satu laporan, ‘hakisan’ berlaku akibat tanah digadai termasuk kepada bukan Melayu atas pelbagai sebab. Tidak terkecuali kerana masalah hutang. Jika tidak tergadai kerana hutang pun, tanah Melayu hilang atas nama pembangunan. Baru-baru ini di daerah Timur Laut (sekitar kawasan Georgetown), dilaporkan tanah kubur pun turut diteroka untuk pembangunan. Akhirnya tanah perkuburan orang Islam juga semakin mengecil.
Justeru Melayu jangan cepat lupa diri lebih-lebih lagi apabila mereka mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Ada sesetengah waris menjadi ‘gelap mata’ setelah mereka mendapat tanah pusaka sehingga akhirnya tanah itu terlepas ke tangan orang lain. Sikap tamak juga membelenggu golongan ini. Jika dulu tanah yang diteroka oleh nenek moyang dikongsi bersama untuk mereka sekurang-kurangnya membina rumah atau bercucuk tanam, kini tanah itu mahu dipecah dan dibahagikan mengikut waris. Akhirnya tanah itu menjadi kecil dan kemungkinan terlepas ke tangan orang lain. Kerana merebut tanah pusaka, ada juga saudara mara yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa.
Orang sebegini sepatutnya malu kepada diri sendiri kerana hanya bergantung kepada tanah nenek moyang. Di tanah yang diwarisi itulah mereka membina rumah walaupun dalam keadaan sesak dan memusnahkan alam. Mereka tidak mampu membeli walau sebuah rumah apatah lagi sebidang tanah di kawasan lain yang dapat menambah pemilikan tanah atau harta keluarga yang diwarisi. Berapa ramai daripada kita mampu membeli tanah untuk menambah stok tanah yang diterokai keluarga terdahulu?
Ketika tanah yang diwarisi dibahagikan dalam jumlah yang kecil dan pada masa yang sama tidak ada penambahan stok tanah dilakukan, apakah yang bakal diwarisi generasi seterusnya? Lebih malang lagi apabila tanah itu terjual kepada orang lain. Ketika itu ke mana anak-anak cucu kita akan tinggal? Nak lari ke dalam hutan? Itu pun jika masih ada hutan dan hutan itu pula tidak menjadi milik sesiapa. Hari ini, boleh dikatakan setiap inci tanah sudah ada pemiliknya. Cuma apa yang akan berlaku ialah pertukaran hak milik daripada tangan A kepada B. Lebih malang lagi atas nama pembangunan, tanah itu akan terlepas juga. Pada era ini, kebanyakan tanah yang diambil tidak diganti dengan tanah sebaliknya ditukar kepada wang tunai atau mendapat sebuah rumah. Pertukaran hak milik juga berlaku apabila ada projek terbiar di tanah Melayu jatuh ke tangan orang lain. Begitulah hakisan pemilikan tanah yang melibatkan Melayu.
Di atas kertas, kita sudah hilang Tanah Melayu dan jangan sampai tanah yang menjadi milik Melayu akan turut lenyap dalam peredaran masa yang semakin mencabar ini. Mungkin jika tidak diawasi, suatu hari nanti tanah wakaf juga hanya tinggal nama. Jika dosa pahala, syurga neraka boleh diberi pelbagai tafsiran, inikan pula tanah wakaf. Ketika itu benarlah ‘bumi dipijak milik orang’. Semoga orang Melayu Islam tidak menerima nasib seperti Osama Bin Laden yang ‘dikuburkan’ di dalam laut.
TERIMA KASIH
Seperti yang diselak minggu lalu, penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara mara, sahabat handai dan pembaca yang menyampaikan ucapan takziah berikutan kematian Saleha Mohd. Noor pada 21 Mei lalu. Saya serta keluarga amat menghargai ucapan dan doa yang diberi. Semoga keluarga Allahyarham kakak saya diberi kekuatan untuk menghadapi semuanya ini. Kematian pasti datang cuma yang membezakannya hanya cara dan masa kematian itu. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Amin.
No comments:
Post a Comment