Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Sunday, March 13, 2011
Memoir DR M
Memoir Dr. M amanat bangsa
Oleh Zin Mahmud
SATU hari pada tahun 1971, Tun Dr. Siti Hasmah Ali yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan wanita pertama di Kedah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika memandu menuju hospital Arau, Perlis.
Seorang penunggang motosikal melintas di depan beliau dan ketika mengelaknya, Dr. Siti Hasmah Mohd terbabas melanggar sebatang tiang telefon sebelum keretanya terbabas masuk ke sawah padi.
Maka beliau dalam keadaan antara sedar dengan tidak sebelum berupaya melambai kepada orang kampung yang sedang lalu di situ untuk membantunya.
Sekumpulan orang kampung ketika sedang mengangkat sebuah rumah untuk dipindahkan ke tempat lain, suatu amalan biasa di kampung ketika itu.
Perkara pertama yang Dr. Siti Hasmah lakukan ialah bertanyakan sama ada penunggang motosikal itu selamat. Tetapi dia telah pun meninggalkan tempat itu.
Orang kampung berjaya mengeluarkan beliau daripada kereta yang remuk itu dan membawa ke hospital Kangar dengan menggunakan sebuah teksi.
Sesampai di situ, Dr. Siti Hasmah cuba menelefon Tun Dr. Mahathir Mohamad di kliniknya iaitu Klinik Maha di Alor Star, Kedah. Tetapi talian telefon itu didapati terputus.
Maka pemandu teksi yang membawanya ke hospital itu cukup baik hati untuk pergi ke Alor Star untuk memberitahu Dr. Mahathir yang kemudian bergegas ke Kangar.
Mengapa talian telefon itu putus? Sebabnya ialah tiang telefon yang menanggung wayar untuk talian dari Alor Star ke Kangar telah tumbang kerana dilanggar kereta yang dipandu oleh Dr. Siti Hasmah itu.
Mungkin sebahagian kalau tidak pun seluruh Perlis terputus hubungan akibat ketiadaan satu tiang telefon itu.
Perkara ini mungkin sukar untuk digambarkan oleh generasi muda hari ini yang mempunyai telefon bimbit dan boleh menghubungi sesiapa di dunia
Kisah ini adalah antara apa yang diceritakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memoirnya, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang diterbitkan Selasa lalu.
Tahun-tahun 70-an itu jauh bezanya berbanding tahun 2000 ini. Tetapi itulah kehidupan penduduk Malaysia pada zaman itu. Negara ini, walaupun ketika itu sudah merdeka tetapi ia belum membangun lagi.
Pada masa itu Dr. Mahathir terpinggir daripada gelanggang politik. Beliau dipecat daripada UMNO pimpinan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969. Tahun di mana beliau kalah mempertahankan kerusi Parlimen yang dipegangnya selama sepenggal sejak 1964.
Tetapi dalam keadaan dipinggir itulah beliau telah melakukan pemikiran mendalam mengenai politik, khususnya mengenai haluan bangsa dan negara.
Daripadanyalah lahir apa yang disebutnya sebagai falsafah politiknya. Iaitu cara mana hendak memajukan orang Melayu dengan pelbagai halangan di kelilingnya.
Sebagai seorang yang terpinggir daripada politik, maka sukar Dr. Mahathir untuk menyuarakan pandangannya. Tidak ada akhbar di negara ini yang mahu menyiarkan pandangannya.
Maka cara terbaik untuk mengutarakan falsafah politiknya ialah dengan menulis sebuah buku. Maka hasilnya ialah The Malay Dilemma.
Tetapi dalam bentuk buku pun, tidak ada siapa di negara ini yang sanggup menerbitkannya. Maka akhirnya sebuah penerbit Singapura , Donald Moore menerbitkannya.
Sebaik saja diterbitkan, kerajaan pimpinan Tunku terus mengharamkannya. Namun begitu banyak orang pergi ke Singapura dan membeli serta membacanya..
Kini The Malay Dilemma yang sudah pun diterjemahkan menjadi Dilema Melayu bebas dijual dan dibaca oleh sesiapa di negara ini.
The Malay Dilemma ini adalah tulisan yang merupakan suatu pegangan politik, kalau tidak pun satu teori mengenai masalah bangsa Melayu dan negara Malaysia, serta cara bagi mengatasinya.
Kisah mengenai The Malay Dilemma ini telah dikhususkan dalam bab 18 memoir ini.
Amalan
Dari segi amalannya secara praktikal pula terkandung dalam dasar-dasar dan tindakan-tindakan politik yang dilakukan oleh Dr. Mahathir apabila beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.
Maka kalau The Malay Dilemma itu adalah teks pemikirannya, maka pentadbirannya sepanjang 22 tahun itu adalah konteks di mana beliau berusaha melaksanakannya.
Tentunya sepanjang 22 tahun itu, beliau menilai semula apa yang dihujahkan dalam The Malay Dilemma.
Sebahagian daripada apa yang dicita-citakannya tercapai, dan sebahagiannya pula gagal. Tetapi secara keseluruhan, pentadbirannya adalah suatu kejayaan yang membolehkan beliau diletakkan sebagai Perdana Menteri Malaysia paling berjaya sehingga ini.
Secara umum, apa yang di nilainya itu terkandung dalam A Doctor in the House ini.
Memoir setebal 843 muka surat yang disiapkan dalam masa lapan tahun sejak beliau bersara ini merupakan suatu karya warisan kepada generasi akan datang. Ia bukan memoir atau autobiografi yang hanya menceritakan pengalaman hidup. Tetapi lebih penting lagi ialah hasil fikirannya mengenai politik atau pesanannya kepada generasi akan datang mengenai bangsa dan negara.
Seingat penulis, setiap kali bertemu beliau selepas persaraan untuk wawancara atau berdialog, Dr. Mahathir akan ditanya bila memoirnya akan siap.
Maka setiap kali ditanya, beliau akan menunjukkan manuskrip yang berada di depannya dengan penuh tanda-tanda suntingan.
“Ini sedang buatlah,” katanya dengan senyumannya yang terkenal itu.
Bagi mereka yang hanya mencari kisah menarik yang eksklusif dan sensasi semata-mata daripada buku ini mungkin akan berasa kecewa. Ini kerana buku ini sarat dengan sejarah dan hujah politik yang menuntut kemampuan intelektual.
Namun begitu, memoir ini adalah bacaan wajib bagi semua rakyat Malaysia yang menganggap diri mereka berpendidikan.
Memoir ini mengandungi tiga bahagian pemikiran politiknya. Pertama, pembentukan fahaman politik melalui pengalamannya semasa kecil melalui zaman penjajahan, British dan Jepun hinggalah kepada beliau dipecat daripada UMNO yang kemudian melahirkan The Malay Dilemma.
Kedua, pelaksanaan fahaman dan strategi politiknya bermula dengan penerimaan masuk semulanya ke dalam UMNO hinggalah beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Peringkat inilah terkandung tentang bagaimana beliau berusaha melaksanakan fahaman politiknya yang tertera dalam The Malay Dilemma , serta penilaian terhadap usahanya.
Tentulah bahagian ini terbahagi dua iaitu semasa beliau belum menjadi Perdana Menteri, dan ketika menyandang jawatan itu
Ketiga adalah bahagian paling pendek iaitu satu bab, terakhir. Tajuknya Legasi dan Dilema Baru. Ia mengisahkan apa yang difikir oleh Dr. Mahathir mengenai apa yang berlaku selepas menjadi Perdana Menteri, iaitu sepanjang pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Maka apa yang terkandung dalam bab ini boleh dikatakan sebagai amanatnya kepada generasi akan datang. Sama ada generasi akan datang mahu menerima amanat ini atau tidak, itu soal lain. Tetapi Dr. Mahathir telah memberikan pandangannya dengan segala hujah-hujahnya, walaupun tidak lengkap dan pembaca mungkin masih dahagakan lagi buah fikiran beliau.
Sememangnya memoir ini tentulah dirancang sebagai kisah hidup Dr. Mahathir daripada lahir hinggalah beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tetapi oleh kerana lapan tahun buku ini baru dapat diterbitkan selepas persaraannya, maka hendak tidak hendak, apa yang difikirkan mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas persaraannya wajar juga diambil kira.
Dokumentari
Kisah hidup beliau secara umumnya sudah banyak diketahui. Baik melalui media cetak, buku-buku yang ditulis orang atau filem-filem dokumentari. Begitu juga dengan pemikirannya, sama ada diulas oleh penyokongnya atau pengkritiknya sememangnya banyak telah tersebar.
Tetapi apa yang membuatkan keunggulan memoir ini adalah pemikirannya yang disuarakannya sendiri secara hampir keseluruhannya. Memoir ini bukan kisah peristiwa semata-semata tetapi ia menghujahkan suatu pemikiran. Ia adalah buku serius, bukan buku cerita.
Bagi mereka yang hidup bersama waktu dengan Dr. Mahathir, sama ada sebagai pegawai dan kakitangan yang bekerja untuknya, atau ahli-ahli parti yang mendokongnya, atau wartawan yang sentiasa mencatat mengenai beliau, kisah politik beliau hinggalah ke hari ini adalah cerita hidup bersama.
Malah kalau hendak dikira pun, seluruh rakyat Malaysia dewasa yang hidup di bawah pentadbirannya dari tahun 1981 hingga 2003 akan melihat memoir ini sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka juga.
Tetapi bagi generasi kemudian, umpamanya yang berusia 40 tahun ke bawah, lebih-lebih lagi 30 tahun ke bawah, zaman pentadbiran Dr. Mahathir semakin menjauh dan mereka lama-lama akan kurang faham mengenai perjuangan beliau serta para penyokongnya.
Maka di sinilah memoir ini penting untuk ditatap oleh generasi akan datang. Ini kerana cabaran-cabaran terhadap bangsa dan negara pada masa akan datang memerlukan pemahaman terhadap mengapa pemimpin-pemimpin lalu membuat sesuatu keputusan atau dasar. Lebih-lebih lagi soal mengapa Dr. Mahathir melakukan sesuatu perkara.
Di akhir memoir ini sedikit sebanyak Dr. Mahathir ada menghuraikan mengenai mengapa beliau tidak setuju dengan penggantinya, Abdullah terhadap beberapa isu. Maka hujah dan penjelasan ini penting bagi generasi-generasi akan datang dalam mewarisi negara ini.
Tetapi bagi kedua-dua generasi, sama ada generasi muda atau yang sudah semakin berusia dan pernah hidup dalam pentadbiran Dr. Mahathir, bahagian pertama buku ini, iaitu kisah ketika beliau masa kecil hinggalah memasuki politik adalah paling penting. Lebih penting daripada bahagian-bahagian seterusnya.
Ini kerana pengalaman beliau semasa penjajahan British, Jepun dan Siam mencorak pemikiran politiknya yang kemudian terungkap dalam The Malay Dilemma dan cuba dilaksanakan semasa pemerintahannya, dengan akhirnya memoir ini menjadi penilaian terhadap dirinya sendiri. Justeru ia menjadi amanat, kalau tidak pun wasiat untuk masa depan.
Apakah yang boleh dipelajari daripada pengalaman semasa kecilnya?
Pertamanya wajar diakui bahawa beliau adalah seorang Melayu yang berjaya. daripada seorang biasa, bukan bangsawan, menjadi profesional. Berjaya dalam kerjaya dan keluarga.
Lebih penting lagi, beliau mempunyai prinsip dan menetapkan perjuangannya melalui kemampuan pemikirannya. Kemudian berjuang dalam politik hingga berjaya menjadi pemimpin utama negara. Berjaya pula memimpin negara hingga berlaku perubahan daripada hanya sebuah negara merdeka kepada negara hampir maju.
Masa kecilnya membentuk dirinya. Jika banyak lagi orang Melayu mencontohi cara hidup beliau, terutamanya generasi muda, besar kemungkinan bangsa Melayu turut berubah. Apabila bangsa Melayu berjaya maka negara Malaysia juga akan cemerlang.
Dalam hidupnya, kepentingan kejayaan dalam pendidikan adalah jelas. Formal dan tidak formal.
Tentunya tidak semua orang Melayu mampu menjadi seperti beliau. Tetapi kalau sebahagian besar orang Melayu boleh menjadi sepertinya, atau sebahagian daripada pencapaiannya, tentulah perubahan lebih baik pasti berlaku.
Zamannya tentu jauh berbeza dari hari ini. Tetapi banyak pengajaran dapat diperoleh daripada insan yang bertuah ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment