Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Saturday, March 19, 2011
Cara nak dapat PR bagi matkarpet
Nikah berhelah
Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
KANGAR: Ramai penjual karpet warga Pakistan dikesan berkahwin secara mudah dengan wanita Melayu di Selatan Thailand dipercayai dengan niat tersembunyi untuk mendapat taraf Penduduk Tetap (PR) dan seterusnya MyKad agar boleh terus tinggal serta berniaga di Malaysia.
Kegiatan itu terbukti apabila statistik pernikahan yang direkod Pejabat Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Thailand, mendapati ramai wanita tempatan berkahwin dengan lelaki Pakistan berbanding lelaki warga negara lain. Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, sepanjang tahun lalu 45 kes perkahwinan membabitkan wanita tempatan dengan lelaki Pakistan direkodkan di selatan Thailand dengan sebahagian besarnya dilakukan di wilayah Songkhla.
Menurutnya, jumlah perkahwinan membabitkan lelaki Pakistan itu tertinggi berbanding lelaki negara lain iaitu sembilan membabitkan warga Bangladesh, India (lapan) dan Nepal (tiga).
“Kami percaya pasangan terbabit bernikah di selatan Thailand menggunakan jurunikah yang diiktiraf pihak berkuasa agama Islam Malaysia dan kemudian mendaftarkan perkahwinan dengan kami untuk tujuan pengesahan,” katanya.
Menurutnya, kemunculan ramai warga Pakistan berkahwin dengan warga tempatan, khususnya wanita Melayu di selatan Thailand dianggap fenomena baru yang jarang berlaku berbanding pernikahan membabitkan pasangan lelaki atau wanita dari Thailand dan Indonesia.
“Pihak berkuasa Malaysia perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung perkahwinan mudah di selatan Thailand, terutama membabitkan warga Malaysia dengan penduduk dari benua kecil India iaitu Pakistan, India, Nepal dan Bangladesh serta warga asing lain dari seluruh dunia.
“Ini kerana kita curiga perkahwinan itu dilangsungkan dengan niat tersembunyi iaitu ingin memudahkan usaha mereka mendapat PR dan MyKad,” katanya.
Selain itu, menurutnya, berdasarkan statistik, seramai 782 daripada 3,260 kes pernikahan di selatan Thailand yang dicatatkan tahun lalu membabitkan warga Malaysia dengan warga asing dari 31 negara, termasuk dari Korea, Denmark, Sweden, Amerika Syarikat dan Iran.
Sementara itu, Shafie Kayem Manaf, seorang jurunikah bertauliah dari daerah Klonget, Songkhla ketika dihubungi semalam, mengaku melangsungkan pernikahan membabitkan ramai pasangan Malaysia dengan warga asing, terutama dari Pakistan, Bangladesh dan India.
“Saya pun terkejut apabila mendapati wanita tempatan hadir bersama pasangannya dari Pakistan untuk berkahwin di rumah saya. Selepas melepasi hukum syarak ditetapkan agama, saya bersama pembantu melangsungkan perkahwinan secara sah sebelum meminta mereka mendaftarkan dengan pihak Konsul Malaysia di Songkhla,” katanya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
No comments:
Post a Comment