Air yang tenang jangan disangka tiada buaya...
PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Johor kawasan Tenang bakal diumumkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok. Ia berikutan kematian Allahyarham Datuk Sulaiman Taha minggu lalu. Pilihan raya kecil ini perlu diberikan tumpuan oleh semua parti komponan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan ia tidak terlepas ke tangan pembangkang.
Ini memandangkan DUN Tenang amat penting kepada BN bagi mengukur kemantapan dan trend sokongan yang berterusan daripada rakyat selepas berjaya mencapai kemenangan cemerlang dengan majoriti berganda dalam dua pilihan raya kecil di Parlimen Batu Sapi, Sabah dan DUN Galas, Gua Musang, baru-baru ini.
Ia juga boleh dijadikan kayu pengukur atau indikator terhadap prestasi Johor dalam perlaksanaan transformasi politik secara besar-besaran yang diutarakan dan sedang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan BN untuk menjelajah ke negeri-negeri, peringkat Bahagian dan Cawangan diseluruh negara pada tahun depan yang bakal menjelang beberapa hari lagi.
Hasrat pakatan pembangkang untuk merebut kerusi DUN Tenang itu agak terserlah bila DAP awal-awal lagi telah membuat persiapan rapi menyusun jentera kempen seolah-olah mahu meletakkan calonnya. Tetapi akhirnya konvensyen pakatan pembangkang di Pulau Pinang bersetuju bahawa calon Pas dikekalkan bertanding di kawasan itu. Biarpun dari kaca mata politik Pas Johor dilihat tidaklah begitu menonjol seperti di Kelantan ataupun Kedah.
Kedudukan Johor yang dulunya sebagai kubu kuat BN kian merosot apabila telah ditembusi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu. Ia kini diambilalih oleh Sabah dan Sarawak sebagai simpanan tetap "fixed deposit" BN. Keputusan pembangkang itu mungkin memandangkan DUN Tenang masih menjadi 'kubu kuat' UMNO yang diterima baik oleh rakyat negeri itu.
Namun, kedudukan BN Johor khususnya DUN Tenang dalam pilihan raya umum lalu tidaklah begitu menggalakkan apabila majoriti yang diperoleh calon BN banyak merosot pada PRU-12 (2008) jika dibandingkan dengan PRU-11 (2004) dulu.
Penganalisis politik melihat kemerosotan majoriti BN di kawasan itu sejajar dengan kemerosotan majoriti dua per tiga BN di Parlimen yang dinafikan oleh pakatan pembangkang pada PRU-12. Keputusan itu sedikit sebanyak melibatkan pengundi-pengundi DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis.
Ini kerana kedudukan pengundi DUN Tenang yang hampir sama banyak antara pengundi Melayu dan bukan Melayu juga mewakili nisbah kependudukan di Semenanjung Malaysia. Jumlah pengundi Melayu di Tenang ialah 49 peratus, manakala Cina ( 38 peratus ) dan India (12 peratus).
Dalam hal ini, langkah atau jaminan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang baru meletakkan jawatannya secara rasmi untuk "turun padang" membantu jentera kempen BN di Tenang patut dialu-alukan. Ia juga amat kena pada tempatnya memandangkan pengundi kaum India boleh menjadi undi penentu pada pilihan raya kecil itu nanti.
Selain Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Pengerusi BN dan Menteri Besar Johor,Tan Sri Abdul Ghani Othman selaku Pengerusi Badan Perhubongan UMNO/BN Negeri, mungkin ada baiknya jika Presiden MCA juga dilibatkan dengan pimpinan jentera pilihan raya DUN Tenang itu nanti.
Pelantikan seperti ini yang mungkin berlaku pada pilihanraya umum diperingkat Parlimen ataupun DUN jarang berlaku pada pilihan raya kecil yang lebih memerlukan sentuhan ajaib tokoh politik tempatan. Ini seperti dibuktikan dengan perlantikan Ahli Parlimen Gua Musang,Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya merampas semula DUN Galas daripada Pas dan membawa kemenangan cemerlang kepada BN tempohari.
Ini memandangkan mungkin berlaku perpecahan sokongan pengundi dari keturunan Cina yang mana Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berasal dari sana. Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga telah melantik Datuk Chua Jui Meng sebagai Pengerusi PKR Negeri Johor. Kedua-dua "Chua" ini pernah menganggotai kabinet dengan memeggang portfolio yang sama iaitu sebagai Menteri Kesihatan yang mana Soi Lek menggantikan tempat Jui Meng yang kemudian berhijrah ke PKR.
Daripada fakta-fakta yang disebutkan, sebagai langkah berjaga-jaga, mungkin tidak salah kalau disimpulkan senario politik Johor khususnya DUN Tenang yang berhadapan pilihan raya kecil ketika ini bolehkan disamakan dengan pepatah Melayu yang amat popular iaitu 'air tenang jangan disangka tiada buaya" yang masih dipakai oleh masyarakat moden berbilang kaum di negara ini.
MAT PIAH TEH DERIS
Seri Kembangan, Selangor
No comments:
Post a Comment