Hilang ketuanan kekalkan kedaulatan Melayu
KETUANAN Melayu sebagai satu abstrak bahawa wujudnya bangsa itu di tanah tinggi dan berbukit yang dinamakan Malaya. Abstrak ini sering dimainkan oleh pemain politik dan terbaru pemain politik Melayu sendiri dalam kongres tahunan sebuah parti politik pembangkang.
Hal ini telah diperingatkan banyak kali baik oleh pihak istana mahupun individu yang tidak berpolitik agar tidak mempersoal dan mempertikai hak istimewa Orang Melayu pada Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagi mereka konsep ketuanan Melayu mewujudkan hubungan pihak tuan dengan hamba. Ini dimaksudkan orang Melayu diibaratkan tuan, manakala orang bukan Melayu sebagai hamba kepada orang Melayu.
Walhal realiti orang Melayu tidak pernah mengawal orang bukan Melayu dari apa-apa aspek pun sama ada pemilikan harta, agihan kuasa, hak pendidikan dan sebagainya. Pemahaman hubungan tidak bertamadun ini sengaja dimomok-momok dan diuar-uarkan kerana cita-cita politik tinggi ingin menawan Putrajaya.
Jika orang Melayu disifatkan sebagai tuan ada kebenarannya kerana asal usul dan sejarah yang panjang seperti terbentuk tamadun Melayu sejak 1,300 tahun lalu.
Catatan sejarah membuktikan bahawa Wilayah Kepulauan Melayu mengakui tamadun Melayu sejak Empayar Srivijaya di Sumatera abad ke-7. Rumpun Melayu membina peradabannya hingga menguasai sebuah wilayah tanah daratan dan pengairan dan Asia Tenggara yang dikenali gugusan kepulauan Melayu.
Pada abad 11 dan 12 peradaban bertukar nama kepada Melayu diikuti Perlak (840), Samudera Pasai (976) kepada kerajaan Jawa seperti Taruma abad ke-5, Sailendra abad ke-8, Mataram abad ke-9, Majapahit akhir abad ke-13, Demak abad ke-15.
Bantam, Pejajaran, Surabaya dan seterusnya kerajaan Trengganu sekitar (1303), Melaka (1400), Sulu (1405), Brunei (1406), Mindanao (1515), Banjarmasin dan Makasar (1,604), Ternate (1486), Tidore (1475) Patani dan Aceh sekitar 1500 dan Johor Riau (1700).
Namun dalam konteks sejarah tidak pula orang bukan Melayu sebagai hamba dan mengawal serta memaksa ikut telunjuk orang Melayu. Malah mereka tidak dipaksa menukar nama, agama, budaya dan bahasa masing-masing seperti negara jiran, iaitu Indonesia dan Thailand.
Ini jelas terpesong apabila menganggap bahawa ketuanan Melayu mengongkong kehidupan kaum lain kerana kononnya orang Melayu memiliki status dan kuasa lebih tinggi. Berbanding mitos orang kulit putih, tidak berlaku penyingkiran hak-hak kaum lain mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan di negara ini.
Mereka berusaha menukar fikiran pengundi agar tidak mempercayai pemimpin yang menggunakan prinsip keadilan, kuasa dan kualiti. Orang Melayu perlu kefahaman bahawa biarlah hilang konsep ketuanan asalkan kedaulatan Melayu tetap tegar dan konsisten.
Dr. Zulkeflee Yaacob
Tanjong Malim, Perak.
No comments:
Post a Comment