Alahai Yayasan Selangor
TERTARIK membaca ruangan Forum di Utusan Malaysia keluaran 12 November 2010 tentang kurang cerdiknya MB Selangor mempertahankan pelantikan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Haji Ilham Marzuki dan timbalannya, Mohd. Saifulruddin Sulaiman Daud.
MB menyatakan pelantikan Ilham dibuat atas pengalaman dalam selok-belok perniagaan. Cuba semak dan beritahu kami, perniagaan mana yang berjaya dibawa oleh Ilham dan timbalannya itu?
Saya ingin bertanyakan MB Selangor, dia faham ke tidak tujuan penubuhan Yayasan Selangor? Apa misi dan visi Yayasan Selangor? Kalau mahu cari untung semata-mata dan diabaikan amanah sebenar ia ditubuhkan, tutup sahaja Yayasan Selangor. Nampak sungguh kedangkalan MB Selangor ini.
Kita memang hendak Yayasan Selangor melahirkan ramai pelajar cemerlang. Itulah perniagaan pokok Yayasan Selangor!
MB tahu atau tidak bahawa 70 peratus aktiviti Yayasan Selangor adalah pendidikan dan hanya 30 peratus sahaja adalah pembangunan. MB tahu atau tidak dengan tempoh hanya lapan bulan Ilham dan Saifulruddin menerajui Yayasan Selangor, berapa perbelanjaan yang telah mereka buat?
Belanja jamuan berbuka puasa dengan mengalu-alukan kedatangan 1,500 orang saja adalah RM167,400 (termasuk bayaran tambahan untuk bekalan makanan yang tidak cukup). Ini patut SPRM siasat.
Belanja jamuan rumah terbuka Yayasan Selangor RM281,000. Cuba nyatakan berapa kos kerja-kerja menaik taraf Kem Bina Semangat Ampang Pecah yang kononnya mencecah jutaan ringgit!
Belanja sambutan 40 tahun Yayasan Selangor bukan RM300,000 tetapi lebih, benarkah?
Benarkah kerja-kerja tender yang dinaikkan anggarannya berkali-kali ganda?
MB pula percaya bulat-bulat kepada laporan yang dihantar kepadanya. Cuba semak dan minta mereka keluarkan laporan untung-rugi. Belanja keluar berjuta-juta tapi wang masuk berapa banyak? Inikah yang dikatakan berpengalaman dalam perniagaan?
MB cubalah hantar pengintip dan tengok kakitangan Yayasan Selangor buat kerja macam mana?
Atas kemurkaan DYMM Sultan Selangor, saya amat setuju, mereka ingat Yayasan Selangor adalah Yayasan Ilham dan Saifulruddin. Mana ada pelantikan jawatan kanan baik dari peringkat kerani, eksekutif dan pengurus dibuat dengan cara tunjuk dan undi?
Tapi inilah yang berlaku bawah rejim baru itu. Tidak perlu ada penilaian prestasi, ujian bertulis dan juga temu duga.
Tolonglah jaga baik-baik amanah Yayasan Selangor ini. Kita tidak mahu ada orang yang datang itu hanya bertugas untuk dua tahun ini sahaja kerana menjangka pakatan pembangkang akan kalah dalam PRU-13 akan datang.
Janganlah punahkan amanah yang sudah terbina itu. Dulu perkara-perkara sebegini tidak pernah berlaku.
BUJANG SENANG
Petaling Jaya
No comments:
Post a Comment