PKR terjerat dalam perangkap sendiri
KUALA LUMPUR 29 Nov. - Usaha terdesak Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menghapuskan ketuanan Melayu dan menggantikannya dengan ketuanan rakyat tidak akan mendapat sokongan masyarakat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya yakin, parti itu yang bakal terjerat dalam 'perangkap' mereka sendiri kerana rakyat sudah bosan dan muak dengan politik murahan PKR.
Sambil menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, usaha terdesak pucuk pimpinan PKR itu tidak akan mengubah imej buruk parti tersebut.
"Usaha PKR untuk kononnya menjadi juara kepada pengundi bukan Melayu hanya akan lebih menjerat mereka sendiri kerana rakyat sudah muak dan bosan. Jika ahli sudah bosan dengan arah politik PKR, apatah lagi rakyat.
"Soal menggantikan dengan ketuanan rakyat tidak timbul kerana inilah perjuangan BN selama ini. Kita jauh lebih mengutamakan rakyat dengan pelbagai dasar mesra rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKR melalui presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali, mengumumkan 'perang' kepada ketuanan Melayu semasa kongres parti itu yang berakhir semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan Wan Azizah dan Azmin adalah bertujuan untuk mengalih isu penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan PKR sehingga memperlihatkan amalan kronisme serta nepotisme kronik.
"Tetapi saya yakin usaha mereka tidak akan berjaya memandangkan PKR adalah sebuah parti bakul sampah. Segala sampah-sarap yang dibuang oleh parti lain dilonggokkan dalam PKR menyebabkan ia cacamarba," katanya.
Mengenai tindakan Wan Azizah yang menyifatkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'anugerah Tuhan', Ahmad Zahid berkata: "Saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai pagi tadi, mereka menyifatkan haiwan di hutan juga anugerah Tuhan," .
Sementara itu mengulas perkara yang sama, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hanya kerana pertimbangan politik, Wan Azizah sengaja mempersenda orang Melayu dengan mendakwa bahawa PKR menolak hak dan kedudukan golongan berkenaan yang selama ini telah diterima oleh semua pihak.
Sehubungan itu Naib Presiden UMNO tersebut menyifatkan kenyataan Wan Azizah berkepentingan politik dan sangat tidak bertanggungjawab serta menimbulkan keresahan dan polemik di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
''Pimpinan PKR sanggup melakukan apa sahaja demi meraih sokongan rakyat tanpa memikirkan impaknya kepada proses pembangunan negara dalam jangka masa panjang.
''Apa yang ditimbulkan oleh PKR jelas sekali cuba untuk merendah-rendahkan konsep ketuanan Melayu. Kita tidak mahu institusi kesultanan Melayu turut direndah-rendahkan,'' katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, Wan Azizah, pimpinan dan ahli-ahli PKR perlu sedar dan insaf bahawa satu ketika dahulu orang Melayu telah menolak gagasan Malayan Union yang dibawa oleh pihak penjajah kerana ia cuba meminggirkan peranan dan sumbangan sultan dan raja-raja Melayu dalam pemerintahan
''Saya lihat, pemikiran dan ideologi yang cuba diterapkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parti itu adalah menyamai dan menyerupai dengan konsep dan propaganda yang dibawa dalam Malayan Union. Tindakan beliau ternyata sengaja menidakkan perlembagaan dan undang-undang negara,'' tegasnya.
Hishammuddin menegaskan, ketuanan Melayu bukanlah untuk menjadikan Melayu ini 'tuan'.
Katanya, selama berpuluh tahun UMNO membawa perjuangan ketuanan Melayu, tidak ada satu bangsa pun yang ditindas atau menjadi hamba.
No comments:
Post a Comment