Ke mana mereka bila diperlukan?
Sedarlah wahai rakyat yang telah memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum 12 (PRU 12). Inilah dikatakan akibat daripada 'marahkan nyamuk kelambu di bakar'. Bangunlah dari lamunan demi masa depan generasimu.
Lihatlah tatkala rakyat di utara bergelut dengan musibah banjir dan memerlukan segala bantuan dan perhatian baik dari segi kewangan dan tenaga, pihak Yayasan Selangor dengan sewenang-wenangnya tanpa sedikit pun berasa bersalah tergamak membelanjakan wang sebanyak RM300,000 hanya untuk menjayakan Majlis Ulang Tahun Ke 40. Wajarkah ini?
Di mana perginya pemimpin-pemimpin pembangkang yang kononnya memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan rakyat, pada hal inilah masanya untuk mereka membalas jasa rakyat yang telah meletakkan mereka di tampuk kepimpinan negeri.
Mana pergi Anwar, mana pergi Wan Azizah? Tidakkah anda sebagai seorang ibu sedih melihat rintihan seorang ibu yang telah kehilangan rumahnya akibat dilanda banjir?
Mana pergi Lim Guan Eng, mana perginya Azmin Ali, mana perginya Nik Aziz, mana perginya Haji Hadi? Mungkin mereka jijik untuk mengharungi air banjir, tetapi sanggup pula turun ke Gua Musang untuk berkempen. Survival politik masing-masing lebih penting daripada kesejahteraan rakyat. Bukankah tolong menolong sesama manusia di bumi ini dituntut oleh Islam? Ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul.
Mana perginya MB Kedah serta Wakil-wakil Rakyatnya? Tidur enak dibuai mimpi di rumah agaknya, sedangkan rakyat bersabung nyawa menghadapi banjir. Terserlahlah sikap sebenar MB Kedah yang melenting dan menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar daripada seorang yang beragama Islam.
Bukankah lebih mulia jika beliau memohon maaf dan berjanji akan berusaha memperbaiki keadaan dan membentangkan program-program yang telah diatur untuk membantu mangsa-mangsa banjir? Ketika itulah beliau patut membersihkan nama beliau jika benar seperti apa yang beliau katakan bahawa pihak media telah berbohong. Itulah platform yang paling sesuai.
Rakyat Kedah bukannya buta atau tuli. Mereka tahu apa yang berlaku. Diharap sekarang mereka dapat mengenal dengan lebih jelas yang mana satu batu yang mana satu manikam.
Kelibat pemimpin-pemimpin PKR tidak seorang pun nampak di Kedah. Ini kerana pemimpin-pemimpin PKR sedang sibu memutarbelitkan proses pengundian parti, ibarat kata pepatah 'mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih' dan juga 'meludah ke langit terkena muka sendiri".
Pemimpinnya sibuk menabur fitnah di merata ceruk rantau negeri sehingga tidak cukup ruang agaknya. Ataupun rakyat sudah bosan mendengar fitnah-fitnah beliau, hingga ke luar negara beliau pergi. Tidakkah beliau sedar negara inilah tempat beliau dan nenek moyangnya dilahirkan?
DAP pula secara perlahan-lahan dan teratur berlandaskan pelbagai alasan asyik dengan agenda untuk menghakis orang Melayu di Pulau Pinang. Habis tanah, kampung dan Dewan Orang Ramai telah dan akan dirampas. Peniaga-peniaga Melayu dianiaya. Ironinya terjadi di tanah kelahiran pemimpin tertinggi PKR dan mereka membisu seribu bahasa.
Pas pula dengan Nik Aziz yang asyik mengeluarkan fatwa-fatwa mengikut tafsirannya sendiri. Wahai Hadi tegur-tegurlah Nik Aziz tu. Apakah bersekongkol dengan DAP itu dapat menyebarkan fahaman Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam?
Apakah pembangunan dan pembaharuan yang telah dilakukan oleh parti pembangkang di negeri-negeri yang diperintah mereka? Bertambah kacau bilau adalah. Betul kata Dr. Asri dan YB Zulkifli Nordin, sudah sampai waktunya Anwar berundur.
Kepada Wan Azizah, tidakkah anda dapat melihat kemungkaran yang berlaku dalam PKR? Sanggupkah anda sebagai seorang Melayu beragama Islam melihat bangsamu yang tanah dan kampung halaman mereka dirampas? Sanggupkah anda melihat rakyat kaum lain di negeri kelahiranmu sendiri ditindas tanpa belas kasihan? Tidak sangka wanita Melayu berwajah lembut seperti anda sanggup bersekongkol dengan DAP dan menggadai masa depan cucu cicitmu, negeri dan negaramu demi kerakusan politik suamimu.
Sebagai seorang ibu, perbetulkanlah anakmu Nur Izzah yang tak sampai sepenggal pun menjadi wakil rakyat hendak berhujah mengenai Perlembagaan. Sudah cukupkah ilmu di dada? Janganlah perkara Perlembagaan pun hendak dipolitikkan demi survival politik beliau. Ingatlah masa depan anak-anakmu dan cucu cicitmu nanti, jikapun anda tidak peduli dengan nasib rakyat jelata yang lain. Sedarlah, jarum halus parti pembangkang telah berjaya meresapi mindamu.
Saya doakan moga hatimu terbuka, masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan.
ZARINA AHMAD
Petaling Jaya, Selangor
No comments:
Post a Comment