Tuesday, November 16, 2010

ETP

Perbanyakkan maklumat ETP supaya tidak diputarbelitkan

SEKARANG ada pihak tertentu berusaha mencari apa sahaja jalan untuk memburuk-burukkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan ETP - peranannya yang mirip dengan fungsi Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian (PEMANDU) bertujuan menyediakan satu jentera penyampaian lebih berkesan antara pihak awam dan swasta dengan rakyat.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata, ia juga merupakan komitmen kerajaan untuk merealisasikan program transformasi iaitu sebahagian daripada elemen penting Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Bagi DAP, ETP ini penuh dengan retorik.

Ada pihak pula melihat, usaha menambahkan lagi pusat-pusat hiburan dalam projek ETP tidak dilihat selari dengan amalan dan nilai budaya negara ini.

Maka ada yang berkempen bahawa ETP ini tidak akan mendapat sambutan rakyat. Lebih-lebih lagi apabila Malaysiakini memetik undian mengenai perkara ini dari laman web Utusan Online.

Bagi saya, inilah budaya orang Malaysia apabila menerima sesuatu perkara yang baru. Ada sahaja yang tak kena pada mata dan fikiran mereka.

Susah sangatkah orang Malaysia hendak menerima sesuatu yang baharu? Dahulu semasa Tun Dr. Mahthir Mohamad merancang pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan, DAP yang paling lantang menuduh itu projek membazir. Begitu juga dengan Projek Jambatan Pulau Pinang, tetapi sekarang kenapa tidak kata projek itu membazir.

Malah sekarang mereka turut berebut-rebut memasang impian untuk menawan Putrajaya. Kita jangan lupa, orang yang tidak suka rakyat maju dan menyokong kerajaan sahaja yang paling lantang mencipta tohmahan dan fitnah tentang transformasi kerajaan sekarang.

Kita tunggulah apabila ETP telah mula mendapat kesan positif dan menunjukkan pulangan hasil, maka pada masa itu mereka lupa dan membisu seribu kata terhadap tuduhan sebelum ini.

Untuk itu saya menyarankan kerajaan memperluaskan kefahaman mengenai ETP ini kepada rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

Apa yang sedang berlaku sekarang adalah berpunca daripada masalah ada individu tidak cukup maklumat dan kurang memahaminya. Mereka inilah akan tertanya-tanya apakah signifikannya ETP.

Percayalah, jangan kita terperanjat apabila masih ramai rakyat yang belum memahami sepenuhnya program transformasi berkenaan. Apatah lagi ia adalah inisiatif yang baru diperkenalkan.

Apa yang saya faham setakat ini ialah ETP akan merungkai perubahan dalam negara yang perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran global untuk bersaing dengan China, India dan terkini Vietnam.

ETP adalah pengwujudan satu paradigma baru dalam bentuk konsep 1Malaysia, yang bertujuan membawa semua rakyat Malaysia bersama tanpa mengira latar belakang etnik dan agama, agar mereka boleh bergerak seiring.

Kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi untuk meningkatkan per kapita rakyat Malaysia daripada kini AS$7,000 kepada AS$15,000, dengan mewujudkan kira-kira 3.3 juta pekerjaan, dan mengenal pasti 135 projek utama di negara ini.

Ada baiknya pemikiran lama orang Malaysia diubah, jika kita mahu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Para pakar dari luar negara menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai Wawasan 2020 sekiranya ETP dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

AMIRUL SYAFIQ

Sungai Buloh, Selangor

No comments:

Post a Comment