Digelar monyet kerana pertahan hak
KERANA menggoncang, memanjat dan merantai dirinya pada pagar utama Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam demonstrasi pada hari kedua persidangan baru-baru ini, dia dipanggil monyet oleh wakil rakyat DAP, R.S.N. Rayer.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik, iaitu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga bekas 'bosnya' turut menggelar dirinya sebagai monyet yang dibawa oleh Pemuda UMNO ke sidang DUN.
Sebagai ahli Pas, sudah tentu Ariff Ibrahim, 38, kecewa kerana gelaran tersebut diberikan oleh rakan-rakan sekutunya sendiri dalam pakatan pembangkang.
Menceritakan semula kejadian itu, dia memberitahu, mulanya dia berhasrat untuk tidak membuka mangga pada rantai yang mengikatnya selagi belum dapat berjumpa pemimpin kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Dia mahu mendapat penjelasan daripada mulut mereka sendiri berhubung beberapa isu melibatkan orang Melayu.
Bagi ahli jawatankuasa Pas Bahagian Tanjung itu, tindakan tersebut mungkin jalan terbaik untuk membolehkan rakyat yang ditindas sepertinya bersemuka dengan pemimpin kerajaan negeri.
Bagaimanapun, dia terpaksa akur dengan arahan anggota-anggota polis supaya membuka ikatan rantai tersebut.
"Tindakan saya adalah sebagai susulan terhadap bantahan dan memorandum yang pernah dihantar kepada kerajaan negeri sebelum ini.
"Namun, sehingga hari ini, segala luahan kami tidak mendapat maklum balas daripada mereka," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Dalam demonstrasi pada 2 November lalu kira-kira pukul 10.30 pagi, lebih 200 anak jati Pulau Pinang daripada pelbagai latar belakang berhimpun di depan DUN sebagai membantah dasar-dasar kerajaan negeri yang lebih bersifat menindas rakyat.
Dalam bantahan itu, bukan sahaja orang Melayu, ia turut disertai kaum lain. Antaranya peniaga di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), pemilik tanah di Kampung Genting, ahli UMNO, Pas, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan warga emas serta fakir miskin yang sebelum ini bertindak memulangkan semula wang ihsan pemberian kerajaan negeri.
Ini bukan kali pertama Ariff bertindak seberani itu kerana dia pernah 'menyerang' kenderaan Guan Eng disebabkan tidak berpuas hati dengan cara kepimpinannya.
Ia berlaku pada bulan Ramadan lalu ketika kenderaan yang dinaiki Guan Eng baru sahaja membelok masuk ke kawasan Masjid Kampung Rawa untuk menghadiri majlis berbuka puasa di masjid berkenaan.
Dia dikatakan melompat ke atas bonet kereta berkenaan sambil memegang poster bantahan.
Menurut Ariff, bukan dia tidak mahu menggunakan saluran yang betul, iaitu menerusi Pas untuk menyatakan bantahan tetapi parti itu lebih-lebih lagi para pemimpinnya sendiri dilanda masalah dalaman.
"Bukan saya tidak percaya seratus peratus kepada parti sendiri, tapi Pas Pulau Pinang memang bermasalah.
"Pas seperti tidak endah masalah orang Melayu, tidak mahu turun padang siasat sendiri, pemimpin-pemimpin Pas diam saja setiap kali isu berbangkit," ujarnya.
Untuk meminta bantuan daripada rakan dari parti-parti lain dalam pakatan pembangkang jauh sekali.
Berdasarkan pengalamannya berkhidmat di bawah Wei Aik dulu, dia tidak nampak wakil rakyat DAP itu bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan nasib orang Melayu.
Meskipun ditugaskan untuk menjalankan program-program bagi menambat hati orang Melayu ketika itu, Wei Aik dilihat sering berdolak-dalik bila dia memberikan pandangan atau mengajukan permasalahan.
"Saya nampak DAP tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah orang Melayu seperti perobohan gerai peniaga kecil, pengusiran dari kampung tradisional, pengambilan tanah dan isu tanah kubur.
"Bila saya ajukan perkara-perkara sebegini, mereka cadangkan saya tubuh cawangan DAP Melayu untuk menarik lebih ramai kaum tersebut menyertai parti berkenaan sekali gus menyelesaikan segala masalah.
"Di situ saya mulai sedar bahawa orang Melayu selama ini hanya dipergunakan oleh mereka," jelasnya lagi.
Bagi Arif, dia tidak menyesal atau takut untuk melakukan tindakan serupa pada masa depan.
Apa yang penting baginya, dia mahu menegakkan kebenaran terutama berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.
Dia masih ingat amanat bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor, "Biar parti kalah, asal Islam menang.'
"Kepimpinan kerajaan DAP Pulau Pinang saya umpamakan seperti sebelah tangan pegang madu, sebelah tangan lagi pegang pisau.
"Ia ternyata bercanggah dengan prinsip amal maaruf nahi mungkar yang mereka laung-laungkan selama ini," ujarnya mengakhiri pertemuan.
Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Pulau Pinang
No comments:
Post a Comment